Tidak dinafikan melahirkan anak adalah detik 50/50 bagi seorang ibu. Ia umpama pertaruhan nyawa seorang ibu untuk memberi nyawa kepada insan lain yang dinamakan zuriat. Setelah melalui plot sembilan bulan mengandungkan bayi di dalam rahim, masanya pula untuk mengeluarkannya ke muka bumi ini. Dan proses itu tidak mudah, diselangi risiko yang kita sendiri atau doktor pun tidak mampu memberi jaminan selamat 100 peratus.


Terdapat banyak cara melahirkan anak sama da secara normal, vakum atau pembedahan. Kalau orang dulu, boleh dikatakan kebayakan para ibu melahirkan anak secara normal sahaja. Justeru, kaedah pembedahan waktu itu dilihat sangat janggal dalam kalangan masyarakat kita. Tidak hairanlah, pada waktu itu juga terdapat banyak kes kematian bayi atau ibu melahirkan dilaporkan kerana tiada bantuan pantas menyelamatkan.




Kredit Foto: Google




Rezeki Diberi Sakit Beranak Normal

Rata-rata yang berkongsi pengalaman beranak normal, menyatakan kesakitan yang hanya Tuhan yang tahu. Ngeri dan menakutkan. Namun, itulah nikmatnya bergelar ibu apabila berjaya melaluinya dengan melihat kelahiran si comel ke muka dunia ini. Belum dicongak sakit ketika kontraksi itu lagi. Kesakitannya tidak tergambar sehingga ada yang kata terasa seperti mahu mati sahaja saat itu.


Kemudian, melalui proses untuk melahirkan pula. Beberapa peringkat perlu dilalui seperti bukaan servik yang kebanyakan orang tahu ia berlaku secara perlahan-lahan. Ada yang hanya beberapa ketika, ada yang berjam-jam dan ada juga berhari-hari. Ketika ini juga, kebanyakan ibu mengalami kontraksi yang menyakitkan.


Kesakitan menjadi lebih kuat apabila bukaan servik mencapai bukaan penuh sehingga 10cm. Kesakitan itu membawa kepada sakit belakang, pangkal paha, tepi badan disusuli dengan rasa mual. Bayangkanlah kesemua situasi ini berlaku serentak sehingga menyebabkan fokus seorang ibu terganggu. Akhirnya, proses meneran yang pastinya kemuncak untuk sebuah perjuangan itu.


Belum habis di situ. Proses mengeluarkan uri juga satu pengalaman yang tidak indah untuk sesetengah ibu. Kontraksi ringan akan tetap dirasakan saat uri itu ditinggalkan. Namun, kebanyakan ibu menyatakan ia satu kesakitan yang masih boleh dilalui setelah melihat bayi sudah selamat berada dalam dakapan.





Kredit Foto: Google




Melahirkan Secara Pembedahan Juga Perjuangan Besar


Wanita bergelar ibu itu hebat! Namun, jangan dirosakkan label itu dengan menghukum ibu yang tidak berkesempatan melahirkan secara normal itu sebagai kurang nikmat keibuannya. Proses pembedahahan adalah kaedah melahirkan yang dibenarkan dalam perubatan juga agama. Jadi, kenapa kita harus menilainya daripada aspek yang negatif. Perjuangan ibu melalui proses ini juga tidak mudah.


Ada kalanya, ia lebih perit dan meninggalkan trauma berbanding ibu beranak normal. Ia bukan pilihan tetapi keharusan mengikut nasihat pakar setelah diambil kira beberapa faktor keselamatan ibu dan anak. Jangan dipandang sinis mereka ini kerana nikmat dan naluri keibuan itu tetap sama dirasakan, malah pada satu-satu situasi ia menebal dek pengorbanan yang tidak terperi besarnya.


Dimulai dengan proses ibu dibius atau mengambil epidural untuk memberikan rasa kebas kepada ibu dari bahagian kaki ke perut. Selepas ubat bius sudah beroperasi, proses membelah perut pun bermula. Ia dilakukan selapis demi selapis bahagian kulit dan tisu perut. Kemudian, air ketuban akan disedut. Lantas, posisi bayi akan dicari oleh doktor untuk membolehkannya keluar dengan selamat.


Setelah bayi selamat dikeluarkan keseluruhannya, doktor akan memotong tali pusat plasenta. Walaupun tangisan bayi sudah didengari. Namun, perjuangan ibu belum berakhir. Ibu perlu melalui proses menjahit belahan perut tadi sebelum boleh memeluk anaknya itu. Begitulah langkah asas untuk ibu yang menjalani proses pembedahan. Tidak mudah, bukan jadi mengapa harus dipandang sinis akan proses itu?




Kredit Foto: Google