Bukan susah hidup dalam dunia media sosial zaman sekarang. Kalau suka dengan post seseorang itu, kita tengok. Kalau tak suka, kita ada pilihan untuk ‘hide’ atau ‘unfollow’ sahaja. Kenapa pula perlu dijadikan isu besar sehingga membenihkan rasa benci, membawa kepada umpatan dan akhirnya terputus hubungan realiti.


Kadang-kadang penulis tak faham sikap sesetengah orang hari ini yang suka menjadi ‘hakim’ dalam menentukan cara dan kehidupan seseorang itu hanya dengan melihat akaun media sosialnya. Ada sahaja yang tidak kena apabila orang itu berkongsi sesuatu. Kalau dia kongsi, tak apa pula. Bukankah pelik?


Seperti yang kita tahu, alam media sosial ini sememangnya tidak ‘real’. Banyak yang dicipta semata-mata untuk memenuhi kehendak ‘content’ demi menyajikan yang indah-indah dan sesuatu yang dirasakan ‘laris’ untuk mendapat tinggi tontonan atau like. Jadi, kenapa semua perkara kita perlu ambil serius?


Beginilah, anggap sahaja media sosial sebagai satu platform untuk berhibur dan mengisi masa lapang. Ia bukan sukatan kepada gaya hidup hakiki. Dengan ini, kamu tidak perlu membawa apa yang muncul di media sosial masuk ke dalam kehidupan sebenar.


Cuba berlapang dada dengan setiap ‘posting’ orang di akaunnya. Sebagai pengikut dan penonton, sebaiknya kita lihat saja. Jika ada sesuatu yang tida betul pada hukumnya, boleh saja dinasihati secara peribadi terus kepadanya. Tidak perlu menyimpan syak wasangka atau dihebahkan pula kemudiannya.


Ruang media sosial itu ruang peribadinya. Tiada akta yang menggariskan apa yang boleh dan tidak untuk dikongsi selagi tak menyalahkan sensitiviti agama dan negara. Kalau setakat perkongsian hal kehidupan peribadinya, terimalah saja apa saja yang dihidangkan.


Fikir yang baik-baik. Dia ada caranya sendiri meraikan kehidupannya. Ya, mungkin kehidupan nyatanya tidak seindah yang dicipta di media sosial tapi itu saja jalan untuk dia berasa sedikit perasaan seronok itu, mengapa salah? Biarlah. Beri dia ruangnya sendiri dengan tidak mencemuh pula. Doakan yang baik untuknya dan semoga doa yang baik juga berbalik kepada kita.