Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Memang Ada Yang Akan Kemas, Bersihkan Bilik. Tapi Kalau Kita Tolong Kemas Sendiri Kan Bagus?

Huda Hussain
08/11/2021 07:18 MYT
Musim bercuti lazimnya sama ada rumah inap desa (homestay), air bnb dan hotel sememangnya menjadi tumpuan ramai untuk menginap. Beristirehat, luangkan masa bersama keluarga adalah waktu yang paling dinantikan. Bahkan, kebanyakan hotel penginapan, vila dan sebagainya telahpun penuh ditempah hingga Disember. Itulah penangan orang kita yang memanfaatkan peluang yang ada.

Kredit Foto: Facebook Pakar Diari Hati


Sama ada hotel, vila atau homestay masing-masing punya sebab tersendiri memilih penginapan seperti ini. Bagi keluarga besar umpamanya, homestay atau vila pastinya pilihan sesuai kerana saiz bilik dan kemudahan yang selesa bagi memuatkan sejumlah ahli keluarga yang ramai. Walaupun mungkin terhad, tetapi kemudahan yang disediakan juga tidak kurang tandingannya. Semua diberi untuk kemudahan dan keselesaaan pengunjung.

Begitu juga yang memilih untuk bermalam di hotel. Ada yang lebih gemar tidur di hotel untuk menikmati pemandangan dan suasana sekitar serta kemudahan lain. Dan berbicara mengenai kemudahan, antara perkhidmatan yang crucial bagi memastikan bilik penginapan kekal kemas dan bersih adalah housekeeping.

Kredit Foto: Facebook Pakar Diari Hati


Sejujurnya bukan mudah ya nak pastikan bilik penginapan diselenggara dengan kemas dan bersih. Maklum sajalah, Covid-19 masih ada dan kita sekarang sedang dalam proses menyesuaikan diri untuk ‘hidup’ dengannya dalam norma baharu. Setiap bilik penginapan perlu disanitasi, nyahkan segala kuman dan sebagainya.

Lantaran itu, apa kata kita ambil peranan dan turut sama membantu ringankan beban pekerja hotel dengan memastikan bilik berada dalam keadaan bersih dan kemas sebelum 'check out'. Tak susah manapun sebenarnya. Pastikan sampah dibuang dalam tong sampah dan diikat dengan rapi. Kemaskan juga katil, lipat selimut, tarik cadar, letakkan bantal ditempatnya, tuala digantung di bilik air dan lain-lain lagi.

Kredit Foto: Facebook Pakar Diari Hati


Secara tidak langsung, ia menggambarkan sikap dan keperibadian kita walaupun mereka tidak tahu identiti dan siapa yang menginap di bilik sekian-sekian. Bayangkan saja kalau bilik bersepah, berterabur segala sampah dan sisa makanan, kotor sana sini. Dan pengunjung lain yang akan gunakan bilik tersebut terpaksa menunggu lama gara-gara sikap dan tidak pekanya kita terhadap aspek kebersihan dan penjagaan bilik hotel. Memang kita yang bayar segala perkhidmatan yang disediakan. Tetapi alangkah baiknya kalau ada sikap bertimbangrasa dan tanggungjawab untuk sama-sama menjaga kemudahan yang ada?

Cuba jadikan habit kemaskan bilik sebelum ‘check out’. Walau tak mampu rapi dan teratur seperti waktu kita masuk untuk ‘check in’, tetapi sekurang-kurangnya kita bantu ringan kerja mereka. Kalau dapat 10 orang pengunjung yang biasakan diri dengan habit macam ni, ringan dan cepat masa kerja mereka. Senang kan?
#Hotel #Kebersihan #Habit
;