Highlights
“Memanglah Isteri Tu SELEKEH Sebab Dia Bersuamikan Laki Pemalas Macam Kau!” Sedekahkan Isteri Masa Untuk Bersiap.
Semua lelaki sukakan benda yang cantik-cantik. Janganlah tipu kata, “saya bukan jenis lelaki suka tengok perempuan cantik.” Dusta atau sekadar menipu diri sendiri. Sekalipun tidak menoleh, pasti menjeling hujung mata apabila seorang wanita cantik mempesona lalu di depannya. Walaupun bukan niat untuk menggoda tetapi, ia lumrah bagaikan magnet yang menarik untuk terlihat.
Dan, kenapa dulu kamu terpikat dengan isteri itu? Kerana dianya cantik di mata kamu. Dulu, tubuhnya langsing, wajahnya licin, senyuman manis sentiasa terukir dan gayanya mencuri pandangan. Bagaikan tidak puas menatap isteri yang satu itu. Dan, kini setelah bertahun-tahun hidup serumah, anak-anak pun sudah berderet, isteri tidak lagi dilihat seperti permaisuri. Ada kala, berhari-hari tidak tatap wajah isteri, yang dilihat hanya kelibat isteri saja mundar-mandir di dalam rumah itu.
Kredit Foto: Google
Kisah Benar – Mimpi Ngeri Hana Selepas Berhenti Kerja
Ini kisah benar tentang wanita bernama Hana berusia 38 tahun yang sudah menghambakan diri untuk suami dan anak-anak selama lebih 15 tahun. Ketika zaman anak daranya, Hana seorang yang ceria, lawa, bergaya dan sentiasa mengikuti perkembangan fesyen. Baju-bajunya penuh almari, kasut bersusun, beg tangan pelbagai koleksi dan alat solek bertebaran di atas meja solek. Itu juga antara sebab dia diburu sang suami yang terpegun dengan kecantikannya.
Selepas melahirkan anak ke tiga, suami menyuruhnya berhenti kerja kerana anak-anak tidak terurus dan suami sendiri sibuk dengan kerjayanya. Atas nama pengorbanan, Hana meletakkan jawatan sebagai setiausaha di sebuah syarikat korporat. Ketika itu, Hana berusia 32 tahun. Dan, sejak itu bermulalah cerita baru dalam hidupnya yang tidak lagi bersiap setiap pagi untuk ke pejabat. Tidak lagi memakai baju bergosok. Tiada lagi semburan minyak wangi, tidak lagi melukis wajah.
Rutin Hana bangun pagi siapkan rumah, keperluan suami dan anak-anak. Tugasan di rumah lebih berat dan ada kala berlarutan sampai ke tengah malam. Jam dua, tiga pagi berjaga anak merengek mahu susu dan ditukarkan lampin. Masa tidurnya hanya beberapa jam sahaja membuatkan mata sembab dan wajah lesu. Tiada istilah rehat untuk isteri yang ada anak bersekolah dan masih bayi. Ditambah pula suami yang tidak membantu langsung. Tugas suami hanya mencari duit untuk keluarga.
Suami Hana sejenis lelaki tipikal yang berasakan diri Raja ketika di rumah. Pinggan sebiji pun tak mampu diangkat bawa ke sinki. Bayangkanlah, bagaimana Hana menguruskan semuanya tanpa pembantu rumah dengan perlu menghantar dan mengambil anak dari sekolah, ke kelas fardu ain dan ke sana ke sini membeli barang keperluan rumah. Suami diminta belikan garam pun tidak mahu.
Kredit Foto: Google
Kawan Sendiri Terkejut Lihat Hana Yang Sekarang
Setelah bergelar suri rumah sepenuh masa saja, gaya Hana berubah total. Ada yang kata menjadi suri rumahd bukan alasan untuk bercantik-cantik. Tapi, Hana akui dia tidak mampu melakukannya; menguruskan rumah dan menyiapkan diri dalam satu masa kerana anak-anaknya sangat hiper. Maklumlah semua hero! Kalau dulu, anak-anak ada masanya di hantar ke pengasuh, jadi Hana ada masa untuk diri sendiri juga. Setiap minggu maid datang bersihkan rumah. Kini semua Hana buat sendiri.
Pakaian rasmi Hana hanyalah baju kelawar di rumah. Kalau mahu keluar rumah, Hana hanya capai apa yang mudah dipakai saja, baju dan tudung yang tak perlu gosok menjadi pilihan. Tiada masa nak fikir ‘matching-matching’ macam dulu, malah bersolek pun sekadar bedak saja, itu pun kalau sempat dipakai ketika dalam kereta. Awalnya, Hana berasakan semua itu okey kerana baginya dapat selesaikan hal rumah dengan sempurna sudah cukup memberi kepuasan kepadanya dan paling penting untuk suami.
Namun, lama-kelamaan Hana berasakan hidupnya mulai kosong. Kesibukannya menguruskan rumah tangga membuatkan dia terlupa yang dia sudah lama tidak ketawa, sudah lama tidak membelek wajahnya di cermin, sudah lama tidak membelai diri yang dulunya sering dipuji suami dan kawan-kawan. Badan mengembang, muka sembap pucat, kulit kering, rambut serabai, kuku pun patah-patah. Hana mula perasan yang suami mulai menjauhkan diri. Menyentuhnya pun jarang sekali. Ya, Hana baru tersedar.
Itupun selepas terjumpa kawan kerja lamanya yang terkejut melihat keadaan Hana di pasar raya, sampai kawannya hampir tidak kenal Hana. Ia bagaikan tamparan hebat di pipinya apabila kawannya berkata, “Ya, Allah! Kau ke ni Hana? Hana, setiausaha Datin Laila? Kau buat apa sekarang sampai dah berisi macam ni? Hey, lupa tukar selipar ke?” Jerit kawannya sambil melihat selipar getah yang disarungkan Hana sambil ketawa. Ya, dulu Hana sentiasa berkasut sarung atau bertumit tinggi! Selipar adalah ‘big no’ dalam penampilannya.
Kredit Foto: Google
Suami Mula Hilang Selera dan Cinta
Dan sejak itu, Hana mula melilhat kembali ke dalam dirinya. Suami semakin menjauh pun Hana tidak perasan dek sibukkan hal rumah yang tak sudah-sudah. Hana minta pendapat suami mengenai dirinya dan seperti diduga suami tidak mahu layan. Kata suami, buat saja apa yang dah Hana buat sekarang. Namun, kenapa suami tidak lagi sayangkannya seperti dulu? Tidak lagi berpegangan tangan ketika di mall? Tidak pernah lagi Whatsapp tanya Hana dah makan ke? Penat ke?
Akhirnya, Hana mendapat jawapan apabila terhidu hubungan sulit suami dengan gadis berusia 20-an. Anak yang kebetulan bermain dengan handphone suami tiba-tiba melepaskan telefon itu ke tangan Hana dan terlihatlah Whatsapp yang tiba-tiba masuk berbaur cinta dan rindu daripada gadis itu. Ya, Hana akui gadis itu sangat cantik, bergaya sama seperti dirinya sebelum berkahwin dulu. Memang itulah ‘taste’ suaminya bab perempuan.
Dipendekkan cerita, akhirnya mereka berpisah juga apabila hubungan suami dan gadis itu semakin serius sehingga boleh pergi bercuti bersama. Hana minta dilepaskan cara baik dan suami buat syarat mahukan semua anak-anak. Walaupun berat, namun Hana pujuk diri untuk bersetuju. Ini juga mungkin pelajaran terbaik untuk suami kenal tanggungjawab seorang bapa dan betapa susahnya menjaga anak-anak selepas ini. Maka, Hana keluar rumah tanpa apa-apa termasuk meninggalkan anak-anak.
Kredit Foto: Google
Hana Dulu Kembali, Inilah Bahagia Yang Sebenar
Selepas bercerai, Hana kembali bekerja dan alhamdulillah dengan pengalaman yang ada, jawatan dan gajinya cukup baik. Hana menyewa rumah kecil dan memulakan hidup barunya di situ. Rutin lamanya kembali, bangun pagi, bersiap ke pejabat cantik-cantik, wangi-wangi dan bertemu ramai orang. Habis kerja, Hana pulang ke rumah berehat, hiburkan diri menonton televisyen atau melayan media sosial. Makan, selalunya beli sahaja, sesekali masak kalau teringin. Makan seorang, apalah sangat. Mudah.
Hujung minggu, Hana bebas ke spa, salun atau bersama teman-teman menghirup secawan kopi atau sesekali bercuti bersama keluarga. Dua ke tiga seminggu sekali, Hana ke gimnasium atau berzumba. Hana berjaya menurunkan berat badan seperti zaman bekerja dulu. Hana dapat rasakan satu kehidupan baru yang lebih tenang dan membahagiakan. Sesekali Hana ambil anak-anak untuk bercuti bersama. Rasanya inilah masa yang paling berkualiti dapat dihabiskan bersama anak-anak kerana jiwa Hana benar-benar tenang saat melayan anak-anak.
Hal bekas suami? Hana tidak ambil peduli. Suami kini tinggal dengan ibunya dan seorang maid. Jadi, merekalah yang uruskan anak-anak Hana. Khabarnya akan menikahi skandalnya itu dalam masa terdekat. Hana okey saja. Cuma, Hana perasan setiap kali Hana datang menjemput anak-anak, suami akan mengintai dari jendela atas. Namun, lekas-lekas ditoleh apabila Hana memandangnya. Hana hanya ketawa. Begitulah kehidupan. Semoga semuanya akan baik-baik saja demi anak-anak. Sekian.
Kredit Foto: Google
Kesimpulannya, Bahagialah Dengan Cara Sendiri
Pengajaran yang boleh diambil tentang kisah hidup Hana adalah cara menikmati kebahagian dalam hidup. Bahagia itu tidak semestinya mengikut apa yang sudah menjadi kelaziman di sekeliling kita. Orang selalu berkata terutamanya wanita – bahagia itu apabila melihat suami dan anak-anak bahagia. Betulke? Dan Hana cuba mengamalkannya dalam kehidupannya sebelum ini ternyata dia gagal.
Hakikatnya, cara bahagia orang lain tidak boleh disamakan dengan tuntutan rasa kita sendiri. Maka, ciptalah bahagia kamu mengikut apa yang hati dan jiwa kamu mahukan. Ada orang boleh telan apa sahaja yang dilakukan suami asalkan rumah tangga selamat dan anak-anak kekal gembira walau hati remuk memendam rasa sehingga akhir hayat. Ada orang pula hanya mampu membahagiakan orang lain selepas dirinya bahagia dulu.
Jadi, pilihan bahagia itu di tangan kamu. Jangan terikut-ikut dengan kehidupan orang lain. Kita adalah penentu kepada hala tuju kehidupan kita sendiri. Berani berjuang untuk diri sendiri. Ya, pengorbanan itu perlu tetapi biar kena pada tempatnya. Semoga semua wanita di luar sana diberi kebahagian dan bayaran setimpal setelah banyak yang kita korbankan buat keluarga tersayang. Sekian.
Must-Watch Video