Lebaran tahun ini pasti menjadi sejarah yang tidak dapat dilupakan terutamanya buat perantau yang terkandas di rumah masing-masing dek tidak dapat merentas negeri pulang ke kampung berhari raya. Mana mungkin terjadi hari yang sepatutnya kita meraikan hari kemenangan setelah sebulan melawan nafsu,, tiba-tiba kita tidak boleh bergembira seperti selalunya.


Tidak boleh bersama mak ayah. Tidak boleh bersama sanak-saudara. Tidak boleh kunjung-mengunjung. Tidak boleh bersalaman, berpelukan. Tiada lagi silaturahim mampu dibina dengan sentuhan mesra dan berkumpul beramai-ramai mengimbau kenangan manis bersama. Sungguh. Buat mereka yang sememangnya mengamalkan sambutan meriah ketika Hari Raya bersama keluarga tercinta, pasti terkesan dengan PPKB ini.



Kredit Foto: Afiza Kamarulzaman


5 Perkara Yang Dulu Kita Buat Ketika Raya, Kini Dikesali:
  1. Merajuk tidak mahu pulang beraya ke kampung halaman. Maka, bersedihlah mak ayah menunggu anak cucu tak kunjung tiba sehingga pagi Lebaran. Ada yang bertindak beraya di ibu kota dek merajuk dengan kisah lama atau perselisihan faham sesama ahli keluarga dan tidak kurang juga yang memilih untuk beraya di luar negara atas alasan bercuti. – Kini, menyesal!
  1. Asyik melayan telefon bimbit tanpa mempedulikan orang sekeliling. Hatta, ketika mengunjungi saudara-mara atau kenalan hadir ke rumah kita pun, ada anak-anak muda yang leka dengan telefon tanpa menghiraukan mereka yang di depan mata. Mereka lebih aktif di media sosial daripada menghabiskan masa bersama yang tersayang. – Kini, kecewa!
  1. Mengelak untuk ziarah-menziarah. Kalau ibu dan ayah mengajak untuk konvoi melawat Mak Long, Pak Ngah, Tok Wan dan lain-lainnya, ada sahaja alasan yang diberi. Mahu jaga rumahlah, tidak sihatlah, sakit perutlah. Pelbagai cara dilakukan untuk elak mengunjungi sanak-saudara. Bagi kamu, ia bukanlah sesuatu yang penting. Lain hari boleh jumpa. – Kini, rindu!
  1. Mengadap televisyen sepanjang hari. Katanya banyak program-program menarik ditayangkan di televisyen sepanjang Hari Raya, jadi tidak mahu lepaskan peluang itu. Alat kawalan jauh sentiasa di tangan sedangkan orang yang datang, bersalaman pun tidak. Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Tidak langsung difokus kepada mereka yang datang menziarahi. – Kini, merana!
  1. Sombongnya kita dulu, bersalaman tidak mahu, apatah lagi untuk berpelukan dan berlaga pipi. Silaturahim diabaikan. Sedangkan itulah cara kita menyebarkan kemesraan dan kasih-sayang. Dan, kini jangankan bersalaman atau bersentuhan, jarak pun harus dipatuhi minimum satu meter antara satu sama lain. Maka, jadilah kita seperti berada dalam kubikel masing-masing. – Kini, bersendirian!


Kredit Foto: Afiza Kamarulzaman