gaya hidup

MiF – Perluas Bakat Pelapis Pereka Fesyen. Bukan ‘Syok Sendiri’ Tapi Perkasa Skil, Gilap Potensi.

gempak
Huda Hussain
30/10/2021
02:00 MYT
Sponsor Banner
MiF – Perluas Bakat Pelapis Pereka Fesyen. Bukan ‘Syok Sendiri’ Tapi Perkasa Skil, Gilap Potensi.
Baru-baru ini InTrend diundang ke Sesi beramah mesra Mara In Fashion (MiF) bersama media. Pertandingan yang bakal menobatkan pelapis pereka fesyen ini bukan sahaja mahu memberi peluang pereka muda ketengahkan hasil idea dan kreativiti mereka. Tetapi turut memperkasa kemahiran berasaskan sumber sedia ada yang dimiliki MARA.
Umum mengetahui MARA sememangnya dekat dalam kalangan masyarakat kita. Bukan sekadar melahirkan para graduan dan usahawan, menerusi pelbagai program khas yang dibentuk semuanya menjurus ke arah memperkasa pelbagai kemahiran. Dan salah satu daripadanya adalah program MiF ini.
Menerusi MIF, peserta yang terdiri daripada pereka muda juga pereka usahawan sedia ada telah diberikan pendedahan serta latihan sebagai usahawan fesyen untuk memahami proses keseluruhan dalam menghasilkan koleksi rekaan yang sealiran trend kontemporari, bercitarasa global serta memenuhi kehendak pasaran semasa.
Dibantu oleh pakar-pakar industri fesyen negara, MiF punya misi untuk meletakkan jenama mereka sebaris dengan pereka fesyen Malaysia yang lain bagi menembusi pasaran tempatan dan luar negara. Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan MARA, Yahya Sani MiF tidak terhenti sekadar disini sahaja tetapi akan terus memantapkan pengetahuan dan kemahiran secara berterusan. “Sama ada secara bersemuka atau online kita akan selarikan,” ujarnya.
Menyentuh mengenai peranan MARA untuk MiF, MARA secara berterusan menyediakan kemudahan pembiayaan dan perkhidmatan dalam program pembangunan keusahawanan melalui MiF ke arah membentuk para pereka fesyen muda untuk menjadi usahawan berjaya yang berkemahiran, berkeyakinan, inovatif, terkehadapan, unik dan seiring dengan kebangkitan pereka muda Asia dan dunia.
Peserta terpilih juga bakal menyertai pertunjukan fesyen di Dubai Fashion Week awal tahun hadapan. Berkongsi pengalaman sepanjang melalui sesi Latihan ini, salah seorang pereka usahawan; Noranis Che Aziz menerusi label Sri Candy “Terlalu banyak yang saya pelajari sepanjang sesi ini. Walaupun tak dapat berjumpa secara semuka waktu pandemik tahun lepas, tapi sesi online yang dijalankan banyak membantu. Macam mana nak sustain maklum sajalah kedai tak boleh buka. Tapi Alhamdulillah dengan ilmu yang dipelajari dapat juga saya teruskan bisnes dan syukur mendapat sambutan menjelang Raya tahun lalu,” kongsinya.
Optimis dan positif dalam nada sama, bagi Zaimi Zulkafli dia tidak melihat soal sudah ada nama dalam industri untuk tidak terus menimba ilmu. Pereka yang sudah menempa nama dalam industri fesyen sepertinya turut merebut peluang untuk belajar dan terus belajar. “Tiada limitasi dalam belajar dan nak tambah ilmu. Walaupun dah dikenali sekalipun, masih banyak lagi yang saya perlu belajar, ambil tahu dan peka dengan perubahan serta perkembangan industri fesyen. Sebab kita tahu fesyen itu sendiri berkembang dengan terlalu cepat. Jadi saya pastikan untuk terus keep on track dengan bantuan daripada pelbagai training session, sharing session dengan pereka fesyen dan lain-lain,” hurainya lanjut.
MiF 2021 bertemakan konsep identiti daripada setiap pereka tampil dengan koleksi busana ready-to-wear (RTW) bakal berlangsung di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur esok, 31 Oktober. Disiarkan secara langsung menerusi platform digital seperti Instagram @mara_in_fashion ia menyasarkan 1,000 tontonan yang akan diadili barisan juri antaranya terdiri daripada pereka profesional seperti FiziWoo, Hatta Dolmat, Rico Rinaldi dan Rizman Ruzaini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live