Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Highlights

Muat Naik Foto Masakan – Ada Yang Kata Tak Baik, Ada Yang Anggap Sebagai Terapi. Anda Bagaimana?

Huda Hussain 26/04/2020 | 15:07 MYT
Saya tidak pasti sama ada apa yang saya fikirkan ini sama atau tidak dengan semua kaum ibu di luar sana. Sebelum tidur, pasti mula berfikir apa nak dimasak untuk esok hari. Bahan apa lagi yang ada, tak cukup dan sebagainya. Maklum sajalah, kalau buat persiapan lebih awal mudah nak merancang apa menu untuk jadi santapan berbuka dan bersahur seisi keluarga.
Dan kalau buntu sekalipun, buka saja Facebook dan Instagram. Pasti ada yang menambat selera dan menarik perhatian kita untuk mencuba. Lebih-lebih menu atau resipi baru, lagilah teruja. Menjadi kelaziman juga kebanyakan wanita untuk muat naik foto masakan di media sosial.
Kredit Foto: Google
Ada yang beranggapan ia sebagai self reward dan satu bentuk terapi sesudah berhempas pulas menyiapkan segala juadah. Tidak kurang juga ada yang beranggapan ia sebagai perkongsian untuk beri idea kaum ibu atau bapa untuk memasak. Namun ada juga yang berandaian tidak elok jika ditayangkan di media sosial segala jenis masakan yang dimasak. Bimbang nanti kalau ada yang kurang berkemampuan atau golongan miskin melihat foto itu. Lantas mengundang rasa tidak senang pula.
Menurut pendapat pendakwah bebas, Ustaz Fawwaz Mohd Jan dalam satu ceramah dan rakaman video ceramah itu dikongsi di Facebook dalam soal ini; Islam mementingkan konsep perkongsian bersama. Menurutnya lagi, jika kita menunjuk-nunjuk kepada orang lain maka wajib untuk kita berkongsi untuk sama-sama merasai nikmat makanan.
Kredit Foto: Google
“Dalam Islam, Nabi kata, sekiranya makanan yang kita makan itu dilihat atau dihidu oleh orang lain maka kita wajib beri kepada orang itu makan makanan yang kita tunjuk untuk mereka merasainya bersama.
“Apa yang kita tunjukkan itu boleh menyebabkan orang teringin. Zaman sekarang ini, ramai orang yang buat begini tanpa menyedari kesan terhadap orang lain yang melihatnya,” katanya.
Katanya, perbuatan itu seecara tidak langsung boleh mengundang kurang senang dalam kalangan rakan-rakan di alam maya apatah lagi ia boleh menimbulkan keinginan terutamanya bagi wanita yang mengandung.
Sehubungan itu, Ustaz Fawwaz menasihatkan orang ramai agar menghentikan tabiat gemar memuat naik gambar makanan di media sosial terutama menerusi aplikasi WhatsApps dan Facebook.
Sumber: https://bm.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=898685
Kredit Foto: Google
Dan menurut Ustaz Azhar Idrus, beliau menjelaskan bahawa tindakan memuat naik gambar makanan di Facebook ketika bulan puasa tidak jatuh haram hukumnya. Ujarnya, namunpun begitu ulamak ada berpesan supaya janganlah kita ketika berpuasa bersikap terlampau menayang-nayangkan gambar makanan.
"Ada kata haram kita letak gambar makanan, jawapannya tidak begitu, sebab Rasulullah bersabda, kalau kita beli satu makanan atau kita masak makanan, lalu jiran kita lihat atau jiran kita tercium baunya sunat kita beri makanan kepada jiran kita itu, sunat beri kepada jiran kita yang senang dan kalau jiran kita yang kelaparan wajib kita beri.
"Masalah gambar ini orang kias, sebenarnya tidak haram, cuma kita jangan terlalu menayangkan gambar makanan kerana bukan semua orang mampu beli apa yang kita tunjukkan di media sosial, tetapi itulah hendak kata haram saya tidak berani," katanya ketika menjadi panel dalam program Bersama Ustaz Azhar Idrus, Aku, Ramadan dan Facebook di Dewan Sultan Muhammad ke V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15 Shah Alam.
Sumber: https://zikirpilihan.blogspot.com/2016/05/tanya-ustazapa-hukum-upload-gambar.html
Kredit Foto: Google
Berdasarkan pandangan dua ilmuan agama ini dapat disimpulkan bahawa, muat naik foto masakan di media sosial sewajarnya berpada-pada. Tetapi bagi mereka yang sememangnya menjalankan perniagaan berasaskan makanan dan masakan, tidak menjadi satu kesalahan untuk berbuat demikian. Solusinya mudah, semua berbalik kepada niat kita. Adakah niat kita untuk berkongsi atau sememangnya mahu menunjuk apa yang kita mampu masak dan sediakan untuk keluarga? Terpulang kepada kewarasan akal untuk membuat pertimbangan. Jika baik dan positif yang kita lihat, maka hasilnya juga adalah baik dan positif. Dan jika negatif yang kita nampak, kesudahannya negatiflah ia. Fikir-fikirkan.
#Masakan #Media Sosial #Menu
;