Highlights
Musim Cuti Sekolah, Cikgu Cuti? – 5 Guru Ini Beri Pendapat Serupa; “Kami Tetap Cikgu Tak Kira Musim.”
Puan Hardiana
Sekolah Kebangsaan Taman Bersatu, Perak
Subjek: Sains dan English
Kredit Foto: Hardiana
“Inilah cuti panjang pertama saya di sekolah baru kerana sebelum ini saya mengajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Rapat, Ipoh selama 25 tahun. Baru Jun tahun ini saya ditukarkan ke sini. Benarlah seperti yang dikatakn kebanyakan orang, cuti sekolah bukan hanya dinantikan para murid, malah guru-guru juga.
Namun, jangan salah sangka. Walaupun namanya cuti sekolah, hakikatnya para guru tetap terus bekerja pada musim cuti ini. Saya sendiri diamanahkan untuk merangka dan menyediakan jadual waktu persekolahan bagi tahun 2020 nanti. Tidak cukup dengan itu, sebagai seorang guru tahun enam, saya mengambil kesempatan pada cuti yang panjang ini untuk menyusun rancangan bagi persiapan murid menghadapi UPSR tahun depan.
Jadi, kalau nak diikutkan, lebih sebulan cuti yang diberi itu bukanlah kami bercuti kosong. Ada hari-harinya kami masih terus menyudahkan kerja yang bukan sekadar tugasan mengajar di kelas. Guru, tetap namanya guru walau pada musim cuti sekolah, hujung minggu, siang dan malam.
Kredit Foto: Hardiana
Pasti ramai membawa anak-anak bercuti, kan? Ini antara agenda favourite kebanyakan keluarga. Bagus. Carilah lokasi percutian menarik yang dapat dijadikan sumber rujukan baik untuk mereka. Jika tidak, aktiviti rekreasi atau sukan yang melibatkan ibu bapa dengan anak-anak pun bagus sebagai aktiviti musim cuti ini. Seimbangkan aktiviti akademik dan kecergasan. Jangan dilupa juga aktiviti kerohanian. Masa inilah masa terbaik untuk mendekati anak-anak menerusi solat berjemaah dan mengaji bersama-sama.”
Encik Yusaidi
Sekolah Kebangsaan Sungai Melayu, Johor Bahru
Subjek: Matematik
Kredit Foto: Yusaidi
“Sudah pasti cuti sekolah adalah hari yang dinanti oleh semua guru, terutamanya guru yang mengajar di sekolah SKM (sekolah kurang murid). Hahaha... Cuma, janganlah disalah ertikan dengan keistimewaan cuti panjang yang kami miliki ini, jika dibandingkan dengan tuntutan kerja yang digalas kami ketika jadual waktu bekerja.
Bukan mahu mendabik dada, tetapi suka untuk saya kongsikan sedikit perihal tanggungjawab dan amanah kami di sini setiap hari. Saya tahu semua sektor pekerjaan ada tekanannya. Namun, sesuatu yang menarik di sekolah saya ini, bilangan guru di sini hanya 13 orang. Walaupun mendidik anak murid yang tidak seramai sekolah biasa, ia tetap menghidangkan pelbagai ujian.
Ini kerana selain mengajar, kami juga menggalas tanggungjawab yang sama dengan sekolah yang punyai 50 orang guru. Seorang guru di sekolah kami menjalankan pelbagai tugasan yang sepatutunya disandang dua ke tiga guru. Sebagai contoh, seorang guru di sini terpaksa memegang banyak jawatan sampingan seperti Ketua Panitia, Bendahari PIBG, Guru SPBT, Guru Perpustakaan dan Media lantaran jumlah kami yang terhad.
Kredit Foto: Yusaidi
Aktiviti di sekolah kami amat padat dari awal hingga ke akhir tahun. Jadi, dalam kesibukan itu, tugas sebagai guru dalam kelas tidak kami abaikan, malah harus menjadi keutamaan kami. Maka, ramai yang bertanya bagaimana pula masa bersama anak dan keluarga sendiri? Seperti mana fokusnya kami mendidik anak orang lain, pastinya anak sendiri tidak boleh diabaikan walaupun sudah penat seharian melayan anak-anak di sekolah.
Di sinilah, munculnya ‘me time’ buat guru apabila cuti sekolah bermula. Waktu beginilah, baru kami dapat memaksimakan masa berkualiti bersama keluarga. Bercuti dan beriadah bersama anak-anak, menyantuni saudara terdekat menyegarkan kembali diri. Dan, jangan tidak tahu, ketika cuti ini jugalah otak guru-guru tetap ligat merencana persiapan awal sebelum bermulanya sesi persekolahan yang akan datang.”
Puan Rezziana Othman @Arahman
Sekolah Kebangsaan Chepor, Perak
Subjek: Bahasa Arab dan Pendidikan Islam
Kredit Foto: Rezziana
“Assalamualaikum. Jujurnya, cuti sekolah sememangnya hari yang ditunggu-tunggu oleh mana-mana guru sekali pun. Namun, secara peribadinya, perasaan saya sama sahaja. Cuti atau tidak, hari-hari saya tetap berjalan dengan agenda yang padat. Apatah lagi bagi seorang isteri dan ibu beranak empat seperti saya ini, cuti atau pun hari kerja sama sahaja sibuknya.
Kerja tetap menanti cuma tumpuan itu lebih sedikit kepada pengurusan rumah dan anak-anak yang turut sama bercuti. Seperti yang selalu kita dengar, ada kala rutin di rumah itu lebih menggunung dari di tempat kerja. Manakan nak fikir aktiviti anak-anak di rumah seperti ulangkaji, masa riadah, bercuti dan lain-lainnya.
Anak yang sulung pasti lain aktivitinya dengan anak kecil yang baru berusia setahun. Pengurusan masa yang tepat sangat penting. Sama seperti yang kami praktikannya di sekolah. Jadual waktu kena ada agar masa tidak sia-sia, tambahan pula inilah ‘masa emas’ seorang guru untuk dimanfaatkan.
Kredit Foto: Rezziana
Walaupun orang kata, guru akan banyak berehat di rumah dan tidaklah terikat dengan jadual waktu seperti bangun subuh, rutin lain itu tetap ada. Cuma lebih santai. Dan, dalam masa ‘bercuti’ itu sebenarnya kami sebagai guru tidak terus bercuti daripada memikirkan perihal sekolah dan anak murid yang dirindui.
Bagi memastikan sesi persekolah tahun hadapan berjalan lancar, kami tetap perlu membuat perancangan awal tentang pengurusan pembelajaran yang akan datang. Sebaik sekolah dibuka semula, maka ‘perjuangan’ kami tidak akan ada nohktahnya walaupun pada hari cuti hujung minggu.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa dan murid-murid yang sentiasa memberi kerjasama yang baik kepada kami sebagai guru sepanjang setahun bersama. Semoga semua kita mendapat manfaat daripada cuti ini.”
Puan Noor Hanie Kamarul Bahari
Sekolah Menengah Kebangsaan Johor Jaya 1
Subjek: Pendidikan Seni Visual dan Sejarah.
Kredit Foto: Hanie
“Saat cuti sekolah bermula bermakna ia satu kelegaan buat guru kerana dapat menyudahkan segala visi dan misi sekolah. Begitupun, sewaktu cuti sekolah berlangsung, guru-guru dan pihak berwajib bukanlah merdeka sepenuhnya. Kami tetap dikehendaki merancang kokurikulum dan kurikulum untuk tahun hadapan pula.
Guru yang bertugas untuk peperiksaan SPM masih lagi berbakti. Dan guru pemeriksa terus dengan tugasnya untuk menyemak kertas pula. Mungkin segelintir menganggap guru ‘cuti’ apabila bermulanya cuti sekolah. Hakikatnya yang dicutikan adalah pelajar, bukannya guru. Golongan 9 atau dikenali sebgagai guru pentadbir kekal dengan rutinnya bekerja di sekolah menerusi waktu pejabat.
Mereka setia dan sedia menyambut ibu bapa di sekolah seperti pendaftaran kemasukan pelajar baru dan lain-lain hal yang berbangkit, juga urusan pentadbiran Bebanan kami mungkin kurang dari segi tidak perlu lagi membawa tugasan balik ke rumah. Contohnya menanda buku dan kerja pengkeranian yang ada kala kami langsaikan di luar waktu kerja tanpa mengira hari. Belum dikira hal program.
Kredit Foto: Hanie
Apabila pelajar dicutikan bermakna hal koko dan koku itu tiada. Namun, awas! Hal pentadbiran kami masih lagi berterusan. Kami boleh dipanggil bila-bila masa sahaja atas arahan tugasan. Cuti sekolah bukanlah hak kami sepenuhnya kerana ia bukan satu keperluan. Cuti kami yang betul-betul dipanggil cuti ialah ‘rehat khas’. Malangnya cuti itu bukan terus boleh diluluskan tetapi harus melalui budi bicara.
Bayangkan sekiranya anak masuk hospital pada awal tahun, kami hanya layak dapat cuti dua hari sahaja. Bakinya akan dianjak pada satu tempoh yang sesuai. Bermaknya, cuti para guru adalah untuk hal kecemasan dan yang betul-betul penting sahaja. Selebihnya disimpan untuk keperluan lain dan tidak sewenang-wenangnya boleh diluluskan. Mindset masyarakat tentang ‘cuti sekolah’, guru bergembira perlu diubah kerana yang cuti sehabis hati adalah pelajar. Guru tetap dengan tugasannya.”
Puan Mazlisa Banu
Sekolah Menengah Kebangsaan Jelapang Jaya, Perak
Subjek: Bahasa Melayu
Kredit Foto: Mazlisa
“Wow, cuti sekolah! Seronoklah semua cikgu-cikgu dapat rehat sebulan, gaji jalan!” – Itulah persepsi kebanyakan orang apabila bercakap soal cuti sekolah. Alhamdulillah, itulah ‘bonus’ istimewa untuk kerjaya seorang guru. Namun, di sebalik ‘bonus’ yang satu itu, jangan ditidakkan pula kerja lebih waktu tanpa bayaran tambahan ketika bukan musim cuti kami.
Jadi, jangan pelik apabila kebanyakan guru memang teruja apabila cuti bermula. Bukan kerana mahu berehat goyang kaki tetapi kami punya masa untuk ‘refresh’ minda kami seketika bagi membolehkan input lebih segar dapat kami hasilkan untuk anak didik kami nanti. Bayangkan, kami mendepani puluhan anak murid dari Januari sampai ke hujung tahun.
Tidak cukup Isnin ke Jumaat, ada kala di hujung minggu pun, para guru masih menabur bakti kepada anak-anak anda. Kadang-kadang, ada segelintir anak murid lebih banyak masa berjumpa guru mereka daripada ibu bapa mereka sendiri, betul tak? Kami tidak hanya mengajar anak-anak di dalam kelas, ada masa cikgu melatih murid bersukan, tidak ketinggalan mengasuh mereka untuk sebarang pertandingan yang dianjurkan oleh JPN, PPD, dan NGO.
Kredit Foto: Mazlisa
Pendek kata, title guru kami itu akan kami angkut ke mana saja kami pergi. Sebab itulah, kalau jumpa anak murid di luar, mereka tetap memanggil kami Cikgu kerana di mana-mana pun kami tetap Cikgu. Hahaha... Kalau ada peperiksaan, cikgu jugalah yang sediakan soalan dan kemudian menanda kertas peperiksaan itu.
Adakah anda rasa, kami sempat untuk melakukan ‘kerja-kerja tambahan’ itu pada waktu kerja rasmi kami? Sudah pastilah, ia akan dibawa ke luar waktu kerja, maka bertimbunlah kertas dan buku di rumah, sama ada ia disudahkan pada lewat malam atau awal pagi, sebelum masuk kelas. Jadi janganlah difikir sangat perihal cuti hujung tahun itu kerana hanya pada bulan itu sajalah cikgu boleh rehat sekejap. Itu pun kerana semua peperiksaan sudah tamat dan belum berjumpa murid baru untuk tahun depan. Selamat bercuti anak-anak muridku…”
Must-Watch Video