Highlights

Nak BERKAT Gaji Yang Dapat Setiap Hujung Bulan? NIATLAH Kerana Allah. Insya Allah Dipermudahkan-Nya.

gempak
Huda Hussain
23/02/2020
15:44 MYT
Sponsor Banner
Nak BERKAT Gaji Yang Dapat Setiap Hujung Bulan? NIATLAH Kerana Allah. Insya Allah Dipermudahkan-Nya.
Bagi mereka yang kerja makan gaji, pastinya tatkala melangkah masuk ke hari Isnin dirundung perasaan malas. Seakan berat kaki mahu memandu ke pejabat. Bangun pun lewat, bersiap pun ala kadar saja. Itu belum dikira kalau sudah penuh agenda sepanjang hari, dari pagi hingga ke petang. Dan apabila mengingatkan hari Isnin ada mesyuarat yang perlu dihadiri serasa mahu ambil cuti sakit saja.
Kredit Foto: Google
Mungkin semua ini lumrah khususnya bagi mereka yang sudah lama berkhidmat di syarikat yang sama. Atau mungkin sudah ‘masak’ dengan kerenah politik pejabat. ‘Monday blues’ itu biasa tetapi janganlah menjadikannya sebagai satu kebiasaan pula kerana bimbang nanti akan mempengaruhi prestasi bekerja.
Ada yang berpendapat pekerjaan mereka tidaklah segah mana. Tetapi apabila dikelilingi rakan sekerja yang ‘satu kepala’, susah dan senang bersama itulah yang menjadi penguat, membuatkan mereka bersemangat mahu ke pejabat. Namun tidak semua bertuah dikurniakan peluang seperti ini. Ada juga sebaliknya. Rakan sekerja biasa-biasa saja tetapi dek kerana gaji yang lumayan, maka segala tekanan dan beban kerja ditelan dengan penuh reda. Walaupun pada hakikatnya hati itu seakan tiada lagi ‘nafsu’ untuk menabur budi dan khidmat kepada syarikat.
Lantas apa yang perlu diperbaharui saat diri diulit kemalasan, dibelenggu fikiran negatif dan sarat dengan syak wasangka? Kembalilah kepada ajaran agama. Apabila niat kita bekerja untuk Allah, mendapat reda Allah pasti Dia akan melorongkan jalan agar segala kerja kita dipermudahkan. Ikuti butiran berikut:
Kredit Foto: Google
Kerja Itu Satu Ibadah
Sabda Rasulullah S.A.W “Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.” Ingatlah bahawa setiap perkara harus yang dilakukan oleh seorang Mukmin dengan unsur niat, ia bertukar menjadi ibadat. Namun, perkara haram tetap haram hukumnya walau bagaimana suci sekalipun niat si pelaku. Apabila sebut soal ibadah, seharusnya ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh tanpa mengharapkan balasan atau habuan. Kerana dipenghujungnya nanti biarlah Allah yang mengadilinya. Begitu juga dengan soal kerja. Ia sebenarnya menuntut tanggungjawab dan amanah yang perlu disempurnakan sebaik mungkin. Berikan yang terbaik untuk kepuasan diri sebagai tanda kita mampu melakukannya tanpa mengharapkan pujian atau balasan.
Ikhlaskan Niat Dalam Bekerja Apabila sudah tertanam dalam diri kita bahawasanya kita ikhlas bekerja, percayalah rezeki yang Allah akan kurniakan itu berlipat kali ganda. Dan hadirnya daripada sumber dan jalan yang kita tidak sangka. Jika kita melakukannya hanya semata-mata mahukan pujian daripada bos atau majikan, kerja asyik nak ‘mengipas’ dan membodek memang takkan ke manalah jawabnya. Kerna apabila kita meletakkan kebergantungan kepada makhluk lantas melupakan Maha Pencipta, saat itulah kita akan diuji dengan pelbagai dugaan. Rakan sekerja ‘tikam belakang’, rasuah, tiada lagi integriti akhirnya akan memakan diri. Justeru cuba selami diri dan perbaiki.
Amanah, Adil dan Bertanggungjawab
Islam mengajar umat-Nya agar sentiasa berusaha mengamalkan budaya kerja yang cemerlang dengan bertunjangkan iman dan akhlak. Bagi yang menyedari hakikat ini, mereka akan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti dan produktiviti pada setiap masa tanpa rasa jemu. Mereka sedar bahawa bekerja itu bukan sekadar tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara malah ia merupakan amanah Allah SWT. Berapa ramai di antara kita (pekerja) yang sedar tentang perkara ini. Berapa ramai komuniti pekerja yang memandang remeh mengenai kerja, bekerja dengan sambil lewa, curi tulang, menggunakan peralatan pejabat untuk kepentingan peribadi, solat pada waktu kerja sedangkan masa yang diperuntukkan untuk solat diisi dengan berbual kosong.
Sumber: https://upm.edu.my/
Justeru, lakukannya dari mula. Niat dalam diri, ‘Aku keluar bekerja kerana Allah, Aku mahu mencari rezeki yang halal lagi diberkati’ Insya-Allah, semoga segala urusan kerja kita dipermudahkan-Nya. Ujian, cabaran dan rintangan itu pasti ada tetapi berbalik kepada kekuatan keimanan dan ketekukanan kita dalam bekerja. Barulah berkat gaji yang kita peroleh hendaknya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live