Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Nak Dapat Rezeki Lebih, Diberi Kesihatan, Dilimpahi Bahagia, Ketenangan – Jamu Orang Makan Seikhlasnya.

Afiza Kamarulzaman
30/01/2020 10:28 MYT


“Tiga perkara siapa pun yang ada dalam dirinya, kelak akan dinaungi oleh Allah di bawah arasy-Nya pada hari tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. Iaitu, berwuduk pada waktu cuaca dingin, mendatangi masjid meskipun gelap dan memberi makan orang yang kelaparan.” (Hadis Riwayat Abu Muslim al-Ashbahani).


Begitulah hebatnya ganjaran untuk orang yang memberikan insan lain makan dengan ikhlas. Kalau di Madinah dan Mekah misalnya, kita dapat lihat bagaimana berlumba-lumba orang di sana tidak kira yang kaya atau sederhana mahu memberi makan kepada orang miskin. Penulis pernah ke Tanah Suci pada bulan puasa dan melihat sendiri bagaimana orang di sana mahu menjadi orang pertama yang memberi makan orang berbuka puasa sehinggakan sebaik sahaja kedengaran azan, seorang pak arab ini terus menyumbatkan kurma ke mulut seorang hamba Allah yang sedang mencari juadah untuk berbuka.


Dan, jika kamu ketahui betapa besarnya fadilat memberi orang makan atau belanja orang makan, pasti kamu sentiasa mahu menjadikannya amalan rutin. Tidak lagi berkira-kira atau mengelak saat orang mahu datang ke rumah bertandang atau mengelak untuk membayar apabila makan beramai-ramai.



Kredit Foto: Google




KISAH BENAR – Dulu Kak Liza Kedekut, Takut Belanja Orang


Kak Liza (bukan nama sebenar) bercerita untuk dijadikan iktibar kepada orang lain. Kak Liza seorang usahawan yang perniagaan kecil. Kehidupannya boleh dikatakan senang juga, cukup semuanya. Mempunyai suami dan dua orang anak yang masih bersekolah menengah. Walaupun punya status kewangan yang baik, dia memiliki sikap yang agak menjengkelkan. Agak kedekut dan sangat berkira terutama bab kewangan.


Setiap perkara dicatu sehabis baik. Kalau boleh semua benda dia mahukan percuma. Kalau dia berniaga, tiadak pernah pula mahu diberi sebarang diskaun apa lagi barang percuma! Bukan hanya berkira dengan orang luar, malah dengan adik-beradik dan kawan-kawan rapat pun sikapnya begitu. Dia sangat takut orang mengambil kesempatan terhadapnya. Pantang orang mahu meminjam duit, pasti ada saja alasan yang diberikan.


Kalau ada orang mahu datang ke rumah ada sahaja cara dia mengelak. Tiada di rumahlah, sibuklah, rumah berselerak dan macam-macam lagi alasan yang diberi sehinggakan orang sudah ‘masak’ dengan sikapnya itu. Apabila suaminya tanyak kenapa dia bersikap begitu? Jawab Kak Liza, dia malas mahu melayang orang datang rumah. Nanti nak kena masak, rumah berselerak. Duit lagi nak keluar beli itu dan ini. Belum dikira bil air dan api yang mereka guna! Sampai begitu sekali Kak Liza kira.


Lama-kelamaan perniagaannya semakin merosot. Walaupun masih boleh cukup makan dan pakai, namun keuntungan tidak seperti dulu-dulu. Kak Liza juga bedepan masalah suami yang disahkan sakit gout kronik. Anak-anak pula semakin degil tidak mahu mendengar cakap. Daripada sebaik-baik nikmat, kini Allah turunkan ujian bertimpa-timpa. Kak Liza mula rasa tidak tenang dan gelisah. Suami cuba menasihati Kak Liza untuk muhasabah diri dajn lihat di mana silap dan cubalah untuk mengubahnya.




Kredit Foto: Google




Nikmatnya Berkongsi Rezeki...


Kebetulan satu hari terbuka hati Kak Liza mahu bersembang-sembang dengan pembantu rumah Indonesianya, Tati yang sudah tujuh tahun bekerja dengannya. Sepanjang serumah dengannya, tidak pernah Kak Liza mahu mengenali pembantunya itu dengan dekat. Entah kenapa hari itu, Tuhan berikan kesempatan untuk dia duduk berborak lama dengan Tati. Barulah Kak Liza tahu yang Tati mempunyai tanggungan yang besar di kampung, lima anak dan kedua ibu bapanya masih hidup dan sudah uzur.


Setiap bulan, 70 peratus wangnya dikirimkan ke kampung. Dan, apabila Kak Liza tanyakan ke mana perginya lagi 30 peratus? Jawab Tati, selalunya dia akan belikan barang dapur untuk disedekahkan kepada kawan-kawannya yang kurang berkemampuan di sini. Apabila ditanya kenapa tidak diberikan semua itu kepada keluarganya sahaja? Jawab Tati, “Saya mencari rezeki di bumi Malaysia, kenapa tidak saya berbudi sedikit kepada orang di sini untuk mencari berkatnya. Tidaklah saya hanya tahu mengambil sahaja tetapi tidak pernah memberi.”


Jawapan Tati itu membuatkan Kak Liza tersentak. Gaji Tati hanya secebis daripada pendapatan Kak Liza yang mencecah puluhan ribu ringgit sebulan. Namun, tidak pernah dia berjaya menyalurkan rezeki itu kepada orang yang memerlukan. Jangankan wang ringgit, malah untuk membuka pintu rumahnya kepada orang luar masuk dan menikmati rezeki di dalam rumahnya pun gagal untuk dilakukan.


“Kalau saya punya rumah cantik seperti puan dan wang yang banyak seperti puan miliki itu, pasti selalu saya ajak teman-teman datang bertamu. Pasti saya masak yang enak-enak untuk dijamu mereka. Puan pasti akan rasa bahagia apabila melihat orang lain gembira dan kekenyangan dengan juadah yang puan sediakan seikhlas hati..” tambah Tati membuatkan Kak Liza terdiam membisu seribu kata.


Dan, sejak itu Kak Liza mula mengubah perpektifnya terhadap rezeki dan wang ringgit. Tiada lagi sifat berkira-kiranya itu. Kak Liza mula membuka pintu rumahnya kepada keluarga dan sahabat-handai untuk bertandang. Kak Liza menyajikan sebaik-baik juadah untuk mereka. Allahu, dan kesannya Kak Liza dapat rasai nikmat keamanan jiwa yang lain dari yang lain. Entah kenapa dia dapat rasakan kebahagian apabila melihat orang yang datang berterima-kasih dan bersalaman berpeluk cium dengannya sebaik mahu pulang. Inilah kasih-sayang yang ikhlas dan luhur.


#Jamuan #Sedekah
;