Nak Jaga Keamanan IPAR-DUAI, Elakkan 10 Perkara Ini – Biar Tak Rapat, Janji Hubungan Selamat, Tiada Umpat.
Afiza Kamarulzaman
28/10/2020 07:52 MYT
28/10/2020 07:52 MYT
Kata orang, apabila kita berkahwin dengan pasangan, bermakna kita akan ‘berkahwin’ juga dengan ahli keluarganya. Kita akan punya sepasang lagi ibu bapa dan adik-beradiknya juga akan menjadi sebahagian daripada ahli keluarga kita sendiri. Mahu atau tidak, inilah keluarga yang kita harus terima baik dan buruknya.
Ada orang dikurniakan kakak, abang dan adik ipar yang baik-baik. Syukur alhamdulillah. Diri kita dialu-alukan masuk ke dalam keluarga mereka dengan begitu ikhlas dan dianggap seperti keluarga sendiri. Baik buruk kita diterima seadanya. Sakit pening kita sentiasa dalam keprihatinan mereka. Saat susah dan senang dikongsi bersama.
Ada pula kurang bernasib baik, jatuh ke dalam keluarga yang kurang mengalukan sehingga diri dianggap orang asing. Serba-serbi tak kena di mata mereka sehingga menjadi bahan umpatan dan buruk sangka. Mahu dibawa diri, tak sampai hati. Maka, tanggunglah selamanya makan hati. Jadi, elakkan bersengketa dengan elakkan 10 perkara ini. Biarlah hubungan tidak rapat, asalkan masih boleh bertegur-sapa, bertentang muka daripada hidup bermusuhan.
Kredit Foto: Google
10 Perkara ‘Jangan’ Buat Kalau Nak Hubungan Selamat
- JANGAN masuk campur hal yang melibatkan perselisihan antara mereka adik-beradik. Usah jadi penasihat atau orang tengah. Kalau dicerita sekali pun, dengar saja, jangan dilontarkan apa-apa perkataan. Dibimbangi, kalau mereka berbaik, kita pula menjadi ‘bahan punca’.
- JANGAN memandai-memandai memberi sebarang pendapat atau idea jika tidak diminta sama ada cadangan berupa nasihat atau pertolongan fizikal. Ada orag tidak suka ‘orang luar’ melebih-lebih berbanding keluarga mereka sendiri. Kalau terjadi apa-apa, balik-balik kita disalahkan.
- JANGAN ceritakan keburukan pasangan atau masalah dalam rumahtangga kepada ahli keluarga pasangan yakni ipar-duaimu. Kita tidak tahu bagaimana penerimaan mereka? Sekalipun kita menceritakan situasi benar, takut mereka menyalahkan kita dan menganggap kita mengada-adakan cerita.
- JANGAN bercerita kesenangan atau kelebihan yang kamu miliki. Simpan saja rahsia kamu dinaikkan pangkat atau gaji, atau membeli kereta baru atau apa saja yang mungkin menjentik rasa iri di hati mereka. Tambahan pula, jika mereka tidak mampu menyaingimu.
- JANGAN duduk dalam kalangan mereka yang sedang umpat mengumpat atau buruk-memburuk perihal antara mereka ahli keluarga. Bawa diri jauh agar kamu tidak tahu dan tidak perlu ambil tahu. Takut nanti kamu dikatakan ‘dalang’ dan ‘petualang’. Kalau ahli keluarga sendiri boleh menjadi ‘bahan’, apatah lagi kamu, sebagai ipar. Ambil jalan selamat.
- JANGAN ceritakan keburukan ipar-duaimu kepada pasangan. Kalau pasangan ada ‘deria rasa’ dan ternyata ipar-duai itu memang buruk tingkahnya, akan terbuka juga kebenaran di depan mata pasangan itu sendiri. Doa dan luahkan saja kesedihan hatimu kepada Illahi.
- JANGAN terlalu aktif di WhatsApp group keluarga pasangan. Tidak perlu berkongsi apa-apa yang tiada kaitan dengan hal keluarga kerana takut niat kita disalahertikan. Tidak semua berlapang dada membaca apa jua hantaran atau perkongsian kita. Maka bersikap pasif adalah jalan selamat.
- JANGAN ‘berkawan’ di media sosial. Ada yang mungkin boleh, maka teruskan. Bagi yang susah untuk bersikap positif dan berbaik sangka, maka lebih baik elakkan saja. Tidak berkawan di media sosial bukan bererti bermusuhan. Ada perkara mungkin baiknya dirahsiakan saja, hanya sesuai untuk perkongsian dengan kawan-kawan semata.
- JANGAN pinjam-meminjam dalam kalangan ipar-duai. Memanglah sepatutnya, dengan ahli keluargalah tempat terbaik untuk dirujuk andai berlaku kesusahan. Namun, lihat pada situasi dan orangnya. Jika, ada pilihan lain silakan. Dibimbangi berlaku ungkit-mengungkit atau aib-mengaib apabila hubungan retak.
- JANGAN doa yang buruk-buruk buat ipar duai. Apa pun yang dilakukan yang menyinggung hatimu, istighfar banyk-banyak dan teruskan bersabar kerana selama itulah pahalamu berjalan, Insya Allah. Maka, sebaiknya doakan kebaikan untuk mereka dengan harapan mereka akan berubah menjadi orang yang lebih mulia. Doa yang baik itu akan berbalik kepadamu.
Kredit Foto: Google