gaya hidup
Nak Kahwin Lain? – Utamakan Perasaan dan Keselesaan ANAK-ANAK Supaya Sama-Sama Rasa BAHAGIA
Jodoh pertemuan sudah ditentukan Yang Maha Esa. Siapa kita untuk menolak takdir. Ada perkahwinan yang terkandas di tengah jalan. Ada yang bercerai hidup dan ada yang ditinggalkan pasangan dek maut menjemput.
Ada pasangan meneruskan hidup sebagai ibu atau bapa tunggal bersama anak-anak hingga hujung hayat. Ada yang tidak mampu menolak jodoh datang menyapa lagi. Diketemukan dengan orang baru sebagai pengganti pasangan.
Persoalannyanya, jika perkahwinan baru mendapat sokongan dan persetujuan anak-anak, tidak mengapa. Mudahlah cara. Namun, yang selalu menjadi isu apabila anak-anak tidak setuju dengan keputusan si ibu atau ayah.
Bunyinya mungkin kejam tapi yang melaluinya saja yang faham keadaan itu. Bagaimana untuk menerima orang asing berada dalam rumah kita? Dia pula menjadi pengganti kepada ayah atau ibu yang sudah tiada.
Anak-anak yang sudah cerdik berakal pasti boleh membezakan antara ayah/ibu tiri dan kandung. Perasaannya lain. Jika dapat pengganti yang baik dan ikhlas, syukurlah. Sebaliknya, kalau diberi yang lebih teruk, pasti hancur masa depan.
Kredit Foto Google
Bagaimana Membuat Keputusan Yang Tepat
- Teluslah dengan bakal pasangan dan anak-anak. Kamu perlu merungkaikan satu persatu perihal keluarga yang bakal disatukan. Pastikan tiada rahsia agar semuanya diketahui agar mereka dapat terima semua kelebihan dan kekurangan daripada perkahwinan baru itu
- Adalah sangat penting untuk anak-anak mengenali lebih dekat dengan bakal ayah atau ibu tiri mereka. Ia pastinya mengambil masa yang sedikit lama untuk mengenal hati dan mewujudkan kemesraan. Sabar.
- Sekiranya anak-anak tidak dapat memberi persetujuan, beri mereka masa untuk memahami dan menghadamkan semua itu. Pujuk bakal pasangan untuk turut sama mengambil hati anak-anak
- Jangan terlalu mendesak atau mempertahankan keputusan yang ingin dilakukan. Hormati juga hak dan kemahuan anak-anak.
- Banyakkan berdoa dan mohon Tuhan lembutkan hati anak-anak. Jangan lupa solat istiqarah untuk diberi petunjuk yang baik. Manalah tahu hati anak-anak memberi isyarat yang tepat
- Jika bakal pasangan juga mempunyai anak-anak daripada perkahwinan lama, pastikan mereka diperkenalkan terlebih dahulu
- Yakinkan anak-anak bahawa kamu tidak akan berubah sekalipun sudah berkahwin lain. Caranya? Dengarkan luahan mereka dan bagaimana mereka mahu kehidupan kalian diteruskan pada masa akan datang?
- Berbicaralah hati ke hati dengan bakal pasangan tentang tanggungjawab yang berat untuk dipikul kelak. Pastikan pasangan benar-benar sanggup untuk menerima anak-anak kamu baik dan buruknya.
- Jika terlihat masih sulit, gunakanlah orang tengah atau wakil yang dirasakan boleh menjadi jurucakap antara kamu dan anak-anak. Fahamkan mereka mengapa kamu perlukan pengganti. Bukan untuk seronok-seronok, tapi demi menjadi sistem sokongan dalam keluarga kalian.
- Sebolehnya, jangan berkahwin lagi selagi tidak mendapat persetujuan dan kerelaan anak-anak. Anak-anak yang ketiadaan salah seorang ibu atau ayah, jiwa mereka lebih ‘keras’ dan kuat memberontak. Selesaikan satu persatu dilema dalam keluarga terlebih dahulu, jangan ditambah bebanan yang tak diketahui penyelesaiannya nanti.