gaya hidup

“Nak Lalui Proses Pemulihan Memang Susah.” Alami Sakit Mental Tak Halang Mohd Khir Kembali Bekerja.

gempak
Huda Hussain
30/07/2021
05:02 MYT
Sponsor Banner
“Nak Lalui Proses Pemulihan Memang Susah.” Alami Sakit Mental Tak Halang Mohd Khir Kembali Bekerja.
Isu kesihatan mental bukan lagi perkara asing dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Jika dulu mungkin ia tidak diperkatakan, tetapi kini isu kesihatan mental kian berleluasa lebih-lebih lagi sepanjang tempoh PKP. Bagaimana keadaan sekeliling mampu mempengaruhi tindakan dan pemikiran seseorang yang kurang upaya mental bukan sahaja boleh memudaratkan diri tetapi juga mengundang bahaya kepada orang lain jika tidak diubati.
Memahami kepentingan isu ini dan kesannya terhadap pekerja, episod Luar Biasa malam ini mengupas mengenai Program Sokongan Pekerjaan dan Intervensi Psikologi kepada pesakit kesihatan mental. Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kuala Lumpur, Dr Salina Abd Aziz diundang untuk mengulas lanjut mengenai definisi kurang upaya mental dan huraian lanjut mengenai Projek Restart (Re-employment, Support, Treatment and Rehabilitation Teamwork) yang dijalinkan atas usahasama Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Perkeso.
Kredit Foto: Astro Prima
Kisah Luar Biasa Mohd Khir Ahmad Melihat kepada susuk fizikalnya nyata tiada kekurangan sama sekali. Tiada cacat cela dimana-mana bahkan sempurna serba-serbi. Tetapi siapa sangka, dalaman dan emosi serta pemikirannya diuji apabila melalui masalah tekanan yang memerlukannya dirawat berbulan lamanya. Bekerja sebagai pemandu, semuanya bermula pada 2004. Bagi Mohd Khir, pekerjaannya dahulu banyak menuntut tenaga dan masa. Berhadapan pula dengan karenah bos yang lama kelamaan membuatkannya mengalami tekanan memburukkan lagi keadaan.
“Saya kurang tidur, badan selalu letih, mood tak baik dan saya jatuh sakit. Kemudian saya terpaksa lalui rawatan di hospital,” akuinya ketika ditemubual kru Luar Biasa. “Lebih kurang sebulan saya ditahan di hospital dan tak dapat balik ke rumah. Sampailah saya dapat ubat yang sesuai dan hingga sekarang saya masih bergantung pada pengambilan ubat,” jelasnya lagi.
Kredit Foto: Astro Prima
Bagi Pengurus Kes Pejabat Perkeso Kuala Lumpur, Aidaiyu Ahmad yang menerima kes daripada rujukan jemaah doktor Perkeso mengendalikan kes Mohd Khir. Tidak disahkan ilat, lantaran itu kesnya dirujuk bagi program Return to Work dibawah Disability Management. “Boleh dikatakan di Malaysia kita masih skpetikal lagi tentang pesakit mental ni. Tak banyak juga majikan yang sanggup ambil dan terima pesakit yang ada sakit mental untuk bekerja. Tapi minat dan motivasi Encik Khir sendiri memang tinggi. Dia memang nak kerja dan kami pun bersemangat nak bantu dia bekerja semula,” ulas Aidaiyu pula.
Berkongsi mengenai rawatan dan terapi yang diberi, Clinical Psychologist KPJ Tawakkal Specialist Hospital, Ignatius Lee berkata “Matlamat kami adalah membantunya bersedia untuk kembali bekerja. Dalam masa sama, mengajarkannya kemahiran untuk bekerja dengan orang lain, cara untuk menangani tekanan di tempat kerja, kemahiran sosial dan memberikan kaunseling. Juga untuk membantu keluarganya,” hurainya lanjut. Penting bagi proses pemulihan dan rawatan ini untuk membantu Khir pulih sepenuhnya.
Kredit Foto: Astro Prima
"Kami bekerjasama untuk memastikannya mendapat sokongan daripada keluarga. Ini perlu, kerana apabila dia kembali ke pangkuan keluarga dan tidak mendapat sokongan ia boleh mendatangkan isu yang besar dalam proses pemulihannya. Majikan juga perlu bersedia menerimanya bekerja semula, memberi layanan yang baik tanpa diskriminasi, tidak meletakkan label atau stigma di tempat kerja. Jadi semua ini memainkan peranan,” jelas Ignatius terperinci. “Nak lalui proses pemulihan tu memang susah. Tapi bantuan daripada segi ubat, doktor, sokongan keluarga, majikan dan orang sekeliling amat membantu. Syukur sekarang saya dapat kerja yang sesuai dan orang sekeliling pun faham keadaan kita jadi semua itu membantu jadi lebih mudah.” luahnya syukur.
Faedah dan Kemudahan Yang Diberikan Perkeso:
  1. Program Kerjasama dan Sokongan Pekerjaan antara Perkeso dan Jabatan Psikiatri & Kesihatan Mental, Kementerian Kesihatan Malaysia kepada pesakit mental yang ingin kembali bekerja menerusi Projek Restart.
  2. Rawatan pemulihan dan psikologi di panel pemulihan Perkeso.
  3. Pencarian dan penempatan pekerjaan.
  4. Khidmat runding cara dan kaunseling bersama Perkeso, pekerja dan majikan.
Kredit Foto: Astro Prima
Penting bagi setiap pencarum atau orang berinsurans mendapatkan bantuan dan rawatan sesuai dengan apa jua masalah yang dihadapi. Lebih-lebih lagi jika punya keinginan dan semangat untuk kembali bekerja. Jangan malu untuk keluar dari kepompong selesa, keluar dan bertanya kepada mereka yang lebih arif agar dapat membantu anda. Sokongan amat perlu bagi pesakit mental untuk kembali pulih. Justeru sebagai masyarakat kita juga perlu memainkan peranan agar sama-sama berganding bahu bersama mereka yang diuji seperti ini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024