Highlights

‘Nak Percaya Ke?’ – Dato Ustaz Kazim Elias Kongsi Petua Cara Kenali Seseorang Yang Boleh Dipercayai Atau Tidak.

gempak
Huda Hussain
02/11/2020
10:45 MYT
Sponsor Banner
‘Nak Percaya Ke?’ – Dato Ustaz Kazim Elias Kongsi Petua Cara Kenali Seseorang Yang Boleh Dipercayai Atau Tidak.
Dalam meniti kehidupan bermasyarakat, kita akan dipertemukan dengan pelbagai ragam dan karenah juga sifat manusia yang menguji kita. Sama ada menguji kesabaran, kekuatan mental, kecekalan hati dan lain-lain sebenarnya akan membantu mematangkan tindak tanduk juga pemikiran. Apa yang baik dijadikan sempadan, yang buruk dijadikan tauladan. Kerana hakikatnya hidup ini kita saling memerlukan antara satu sama lain. Lantaran itu, kita perlu berhati-hati untuk memilih dengan siapa kita berkawan dan lebih penting berwaspada untuk menaruh kepercayaan terhadap seseorang. Video durasi empat minit lebih yang dicerap daripada video salah satu ceramah Dato Ustaz Kazim Elias boleh dijadikan panduan dan rujukan bersama dalam membicarakan perihal ini.
Kredit Foto: Google
  1. Sering Menjaja Cerita Buruk Orang Lain
Sepanjang kita berbual atau mengenalinya, si dia asyik menceritakan perihal buruk atau jahat orang lain kepada kita. Contohnya, “Aku pergi rumah Din tadi. Ya Allah anak Din tu sakit mata aku nengoknya”. Walhal kita tidak bercerita sekalipun tentang Din apatah lagi anaknya. Tetapi si dialah yang selalu membawa cerita mengenainya. Lantas apa yang perlu kita lakukan? Berhati-hati dengan orang yang bersifat sebegini. Kalau dia boleh membawa cerita orang kepada kita, tak mustahil dia boleh menjaja cerita kita pula kepada orang lain.
Kredit Foto: Google
  1. Cuba Ceritakan Satu Rahsia Kepadanya, Heboh Atau Tidak Selepas Itu
Cuba lakukan ‘eksperimen’ dengan menceritakan satu perkara yang menjadi kerahsiaan anda kepada si dia. Dan lihat sama ada ia terbongkar, dihebahkan kepada orang lain atau tidak. Jika ia tersebar, maka anda sudah boleh ketahui bahawa sesungguhnya si dia tergolong sebagai orang yang tidak boleh dipercayai.
Kredit Foto: Google
  1. Apabila Bercerita, Orang Lain Juga Kongsi Perkara Yang Sama Mengenainya
Dialah yang beritahu, dialah yang sampaikan, dialah yang bawa cerita. Apabila semua orang yang kita kenali menceritakan perihal yang sama, maka anda boleh membuat kesimpulan apakah jenis manusia si dia ini. Namun apabila ditanya secara terus terang dan bersemuka, si dia akan menafikannya dan terus berdolak dalih. Tidak pernah sekalipun mengakui kesalahannya waima meminta maaf atas perbuatannya. Justeru, insan seperti ini perlu dijauhi, tidak boleh dijadikan kawan apatah lagi menaruh kepercayaan terhadapnya.
Kredit Foto: Google
  1. Kalau Sambil Dia Ketawa Sambil Bercakap, Berhati-Hati
Ini petua yang saya ambil dan pelajari daripada orang tua-tua dahulu. Kata mereka, kalau kamu bercakap dengan seseorang yang sambil dia gelak sambil dia bercakap; berhati-hati. Kata orang tua-tua, perangai orang sebegini ‘tak berapa cantik’. Contoh, sambil dia gelak, dia bercakap-cakap. Seolah-olah tidak fokus, mana satu yang perlu dia dahulukan. Kalau ketawa, habiskan ketawa atau gelaknya itu dan kemudian baru bercakap. Nak ketawa, ketawa dahulu. Dan kalau nak cakap, cakap dahulu. Pilih salah satu diantaranya.
Kredit Foto: Google
  1. Asyik Menceritakan Perihal Keluarganya Sahaja
Contohnya, apabila bersua dia hanya menceritakan soal keluarganya semata-mata. “Suami I kan, dia tak suka kalau I stayback lama-lama kat office. Anak I kan, dia bukannya makan jajan macam ni” dan begitulah hingga akhirnya. Si dia bercerita, seolah-olah rakan atau orang lain tak bersuami tak punya anak yang bermacam ragam dan kerenah. Seakan-akan orang lain juga tak punya keluarga sepertinya.
Bagaimana Nak ‘Tackle’ Hati Orang
Hanya melalui lisan, dengan lidah atau dengan sifat al hilm yakni sifat lemah-lembut. Ada seorang sahabat Nabi datang dari Yaman. Datang sekumpulan menaiki unta dan kuda ke Madinah. Apabila mereka sampai di Madinah, mereka tengok Rasulullah S.A.W, lantas mereka terjun dari unta dan kuda yang ditunggangi lalu memeluk dan mencium Rasulullah S.A.W. Tetapi ketuanya, tidak melakukan apa yang dibuat oleh ahli-ahli kumpulannya.
Apa yang dilakukan oleh ketuanya adalah, membersihkan diri terlebih dahulu. Pergi mandi, menyalin pakaian, mengambil wudhu, solat dan apabila sudah bertenang barulah ketuanya pergi berjumpa Rasulullah S.A.W. Kata Rasulullah S.A.W itulah sifat ahli syurga. Berlemah-lembut, cermat dan tingkah lakunya sopan.
Kredit Foto: Google
Kata Dato Ustaz Kazim lagi, nak jadi ahli syurga terletak pada diri dan hati kita. Sebabnya manusia kadang kalanya mulutnya cepat bertindak, tangannya cepat bertindak, kakinya juga cepat bertindak. Lantas bagaimana mahu jadi ahli syurga? Misalnya, kalau hanya salah sedikit; tangannya laju sahaja menampar. Pantang salah sikit anaknya, terus kakinya sepak terajang, mulut pula kalau disebabkan kesalahan yang kecil, laju saja memaki hamun, mencarut dan sebagainya. Sedangkan orang yang dikatakan baik adalah kaki, tangan dan mulutnya semuanya berlemah-lembut. Bukan gopoh, gelojoh dan terburu-buru. Kerana sifat gopoh itu datang daripada sifat syaitan.
Jadikan titipan ini sebagai rujukan dan panduan dalam pada kita mahu mempercayai dan mengambil hati insan sekeliling. Berhati-hati semasa bertutur, lemah lembut dalam meluahkan kata-kata kerana ia adalah cerminan keperibadian dan sifat yang ada dalam diri kita.
Sumber: Video IG @videodakwah.my
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live