Highlights

Nasi Lemak Je Pun, Tapi InsyaAllah Saham Akhirat - #InfakNasiLemakTeacherZura Tak Untung Mana Tapi...

gempak
Afiza Kamarulzaman
16/09/2019
07:49 MYT
Sponsor Banner
Nasi Lemak Je Pun, Tapi InsyaAllah Saham Akhirat -  #InfakNasiLemakTeacherZura Tak Untung Mana Tapi...
Apa firman Allah s.w.t tentang sedekah?
“Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik lelaki maupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik, nescaya akan dilipatgandakan (pahalanya) kepada mereka dan bagi mereka pahala yang banyak.” (Surah Al-Hadid: 18)
Dalam sebuah hadits Kursi, diberitahu yang maksudnya, “Barang siapa berniat untuk bersedekah, kecepatan Allah membalasnya lebih dari gerakan sedekahnya.”
“Perumpamaan orang-orang yang mendermakan (sedekah) harta bendanya di jalan Allah, seperti (orang yang menanam) sebutir biji yang menumbuhkan tujuh untai dan tiap-tiap untai terdapat seratus biji dan Allah melipat gandakan (balasan) kepada orang yang dikehendaki, dan Allah Maha Luas (anugerah-Nya) lagi Maha Mengetahui“. (Surah. Al-Baqaroh: 261)
Kredit foto: kerr.abdullah
Atas kesedaran betapa besarnya ganjaran pahala dari amalan bersedekah itu, Wanita manis yang berasal dari Johor ini mendapat idea bersama suaminya untuk menjalankan perniagaan menjual nasi lemak sambil berinfak.
Menarik tentang wanita ini, dia seorang guru tadika yang kini sudah menetap di Kuala Lumpur.
Daripada kerjayanya itu, dapat saya rasakan betapa besarnya jiwa seorang wanita bernama Zura Azreen, 35 ini.
Tidak mudah melayan anak-anak kecil apatah lagi sehari suntuk dengan bilangan yang ramai, namun inilah yang menjadi ‘passion’ beliau.
Menurut Teacher Zura, sudah tujuh tahun beliau ‘terjebak’ dalam pendidikan awal kanak-kanak ini. Bagi Teacher Zura saat bersama kanak-kanak adalah sangat ‘stress free.
Kredit foto: kerr.abdullah
Setiap hari, beliau bangun pagi dengan perasaan tidak sabar untuk ke sekolah, mahu melayan celoteh anak-anak ini yang sudah dianggap seperti anak sendiri.
Katanya lagi, anak-anak kecil ini punya kuasa magis penghilang duka dan menjadikan kita lupakan seketika masalah sendiri.
Tidak cukup dengan kerjaya mulia yang dilakukan setiap hari itu, pada hujung minggu pula, beliau meneruskan galian pahala dengan menjalankan perniagaan infak nasi lemak.
Inilah yang dikatakan ‘tamak pahala’. Mahu tahu bagaimana perniagaan #InfakNasiLemakTeacherZura ini dijalankan? Jom, bual bicara sama Teacher Zura yang peramah dan periang orangnya.

Kredit foto: kerr.abdullah
Bagaimana terlintas mahu memperkenalkan perniagaan infak nasi lemak ini?
Pada mulanya, saya hanya berniaga nasi lemak kecil-kecilan secara carboot sale bersama suami, Afiq Ikhwan pada hari minggu sahaja.
Sekadar suka-suka dan mengisi masa lapang, selain menambah pendapatan. Ibu saya, Puan Masitah Ibrahim ialah orang terawal yang tidak putus-putus memberikan semangat untuk saya untuk berniaga.
Kebetulan pula, nasi lemak resepi arwah ibu mertua saya Puan Aklima Hasan yang berasal dari Pantai Timur sangat enak dan menjadi kesukaan saya. Itulah resepi pertama yang diajar oleh beliau kepada saya.
Dan, hasil masakan nasi lemak saya juga boleh tahan sedap, hahaha.. kata kawan-kawanlah. Jadi, mengapa tidak diketengahkan juga untuk dinikmati orang lain.
Kredit foto: kerr.abdullah
Bila mula tercetusnya idea ini?
Apabila tiba bulan Ramadan yang lalu, saya terfikir untuk melakukan sesuatu yang boleh menjana pahala pada bulan yang penuh barakah ini.
Saya fikir kebolehan saya membuat nasi lemak, dan saya gabungkan dengan niat bersedekah. Maka, terpantullah ilham ini. Sambil berniaga, sambil bersedekah dan infak.
Memang tepat pada waktunya, saya perkenalkan peniagaan ini, permintaan pada bulan Ramadan itu sangatlah di luar jangkaan. Tidak menang tangan kami suami isteri menunaikan permintaan orang yang mahu menginfakkan nasi lemak kami ini.
Alhamdulillah, terbukti luar biasanya amalan sedekah kalangan orang Malaysia.
Berapa harga #InfakNasiLemakTeacherZura? Terdapat dua pilihan nasi lemak iaitu nasi lemak biasa RM2 dan nasi lemak ikan aye (tongkol) RM3 seungkus.
Kredit foto: kerr.abdullah
Agak murah ya. Ada ke keuntungan daripada hasil jualan?
Jujurnya, memang tak banyak untung yang diperolehi kalau nak dibandingkan dengan kos barang, tenaga dan kos penghantaran. Namun, inilah yang saya dan suami telah berbincang dari awal lagi idea ini tercetus.
Bukan keuntungan besar yang kami cari tetapi berniaga sambil bersedekah, bersedekah sambil beramal. Alhamdulillah, Allah sentiasa mencukupkan rezeki kami dari cabang yang pelbagai.
Kredit foto: kerr.abdullah
Bagaimana cara perniagaan ini? Maksudnya nasi lemak dihantar terus ke tempat yang pelanggan mahu infakkan atau pelanggan uruskan sendiri?
Oh, kami uruskan semuanya. Seperti yang saya katakan tadi, saya mahu galakkan orang bersedekah dan memudahkan urusan tersebut. Kita tidak mahu niat bersedekah pelanggan kami tersekat disebabkan alasan-alasan seperti tiada masa untuk hantar atau tidak tahu golongan mana yang perlu dibantu?
Jadi, pelanggan hanya perlu memilih pilihan nasi lemak yang mereka mahu sedekahkan, samada biasa atau ikan.
Kemudian, pelanggan membuat pembayaran secara online dan kemudian kami akan hantarkan nasi lemak ke tempat-tempat yang telah ada dalam senarai kami seperti rumah jagaan anak-anak yatim, rumah asnaf , jemaah di masjid dan surau-surau.
Yang terbaru kami mengagihkan infak nasi lemak ini kepada pekerja-pekerja berstatus rendah dalam komuniti seperti pengawal keselamatan, tukang cuci, tukang sapu dan juga pekerja kontrak.
Kredit foto: kerr.abdullah
Apa objektif utama kaedah perniagaan ini?
Menjadi salah satu platform untuk memudahkan orang ramai bersedekah.bukan semua orang suka sedekah dengan pemberian duit selepuk macam tu, kan?
Ada yang lebih suka bagi makan, pakaian dan barangan harian. Jadi, biarlah kami menjadi orang tengah untuk memudahkan proses itu.
Pada masa yang sama, saya dan suami juga dapat membuat kerja amal. Anak-anak saya juga belajar untuk melakukan kerja-kerja amal ini.
Bagaimana sambutan setakat ini?
Seperti yang saya katakan tadi, orang kita ramai yang suka bersedekah. Sambutan sangat menggalakan. Alhamdulillah, buat masa ini, jadual tempahan kami penuh setiap hujung minggu.
Rata-rata yang berinfaq menyatakan bahawa servis begini memudahkan lagi mereka untuk bersedekah kerana mereka hanya perlu bayar harga nasi lemak selebihnya kami yang uruskan.
Kami akan update dari masa ke semasa.
Kredit foto: kerr.abdullah
Anda dan suami bekerja tetap, bagaimana mengejar masa untuk menyiapkan tempahan saban minggu? Kami hanya menjalankan servis ini pada setiap hujung minggu (Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja) supaya tidak mengganggu waktu kerja.
Dua hari sebelumnya, suami akan membeli bahan-bahan untuk memasak manakala saya pula akan menyediakan bahan-bahan yang boleh disimpan lama seperti ikan bilis dan kacang tanah.
Pada hari Jumaat, saya mula memasak pada jam tiga petang dan biasanya kami menghantar infaq nasi lemak pada waktu petang sekitar jam enam ke lokasi-lokasi berdekatan.
Pendapat peribadi anda tentang amalan infak dan sedekah? Berinfak atau bersedekah tidak akan menjadikan kita miskin malah Allah telah berjanji banyak kita memberi, lebih banyak rezeki yang Allah akan kurniakan kepada kita. Jangan takut, jom cuba!
Kredit foto: kerr.abdullah
Komen anda kepada peniaga yang hanya memikirkan untung sahaja tanpa punya niat untuk beramal jariah?
Itu terpulang kepada niat masing-masing. Ada yang berniaga memang untuk mencari untung kerana itulah sumber pendapatan utama mereka untuk membiayai keperluan harian.
Namun, tidak salah kiranya kalau sesekali kita beramal jariah, kan? Yang penting; niat. Selagi ada permintaan, kami akan sedaya upaya merealisasikan kerana kami yakin dengan rezeki Allah yang sangat luas.
Insya-Allah, kami dalam perancangan untuk mempelbagaikan lagi menu kami. Doakan usaha kami ya!
TIPS NASI LEMAK SEDAP TEACHER ZURA: 1). Nasi lemak mesti ada rasa lemaknya dan cukup manis masinnya. Nasi jangan tawar.
2). Untuk memasak sambal nasi lemak harus lebihkan minyak masak ketika menumis dan elakkan memakai cili boh. Sebaiknya, guna cili kering yang dikisar sendiri. Kena pandai agak rasanya, mesti cukup masam, masin dan manis sambal tumis, baru terangkat!
Kredit foto: kerr.abdullah
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024