Walaupun negara sekali lagi dilanda lockdown, siaran Rumah No 107 diteruskan dengan rakaman secara maya untuk episod ke lima kali ini. Bersesuaian dengan situasi pendemik yang semakin parah sekarang ini, pihak produksi telah menjemput Nora Danish dan Tiz Zaqyah untuk berkongsi pengalaman mereka yang disahkan positif Covid-19.


Mereka berdua telah dijangkiti melalui pengurus mereka yang turut mendapatnya daripada ahli keluarga terdekat. “Kami sama-sama berlakon dalam drama Covid Oh Covid dan ketika itu memang kami banyak meluangkan masa bersama, makan, berbual, termasuklah bersama pengurus kami yang sama,” cerita Nora.


Menurut Nora, mereka sedaya upaya mengikut SOP yang ditetapkan cuma mungkin ketika makan dan berbual itu, mereka duduk dekat dan tidak menyangka ia menjadi asbab jangkitan.




Beraya Dalam Kuarantin Kendiri

Kebetulan ketika itu hampir memasuki bulan Syawal dan mereka terpaksa beraya secara kuarantin kerana tempoh jangkitan masih bersisa pada Hari Raya. “Tapi Nora bersyukur kerana dibolehkan untuk kuarantin sendiri di rumah kerana tidak menunjukkan simptom yang teruk. Nora tak dapat bayangkan kalau terpaksa menjalani kuarantin di MAEPS.

Nora ada kawan yang berada di MAEPS dan dia berkongsi keadaan di sana yang padat dengan pesakit dengan jumlah kakitangan KKM yang terhad.

Sungguh menyedihkan dan Nora tetap bersyukur kerana tidak perlu ke sana. Tak dapat nak bayangkan kalau menjalani 14 hari di situ,” ujarnya lagi.

Apa pun Nora sangat memuji perkhidmatan yang diberikan kakitangan KKM kerana sentiasa hari memantau mereka menerusi panggilan telefon dan tidak jemu menjawab setiap soalan yang dikemukakan. “Bukan sebab Nora ni artis, tapi memang cara mereka melayani pesakit Covid-19 sangat dipuji. Kawan Nora yang bukan artis pun kata yang sama, terima kasih buat frontliners kita.”





Tiz Menggigil Malam Sebelum Itu

Tiz juga berkongsi pengalaman yang sama apabila menjadi salah seorang yang disahkan positif melalui individu yang sama. “Malam sebelum dapat tahu yang Tiz positif tu, memang Tiz tiba-tiba rasa menggigil. Kemudian, makan panadol dan okey semula. Kami memang tak ada simptom sepanjang 14 hari tu.”

Nora mencelah, “Ya, tak ada apa yang berat cuma pada hari ke 9 tu lah, Nora hilang deria rasa, makan apa pun tak rasa. Sebenarnya, kejadian ini membuatkan Nora rasa bersyukur dengan nikmat Allah. Bila dah Tuhan tarik, barulah kita rasa, oh macam ni rupanya orang yang tak de rasa.”

Apa pun, mereka menasihati semua masyarakat supaya mengambil langkah berjaga-jaga, jangan ambil mudah dengan setiap SOP yang telah disarankan. “Awalnya dulu, Nora pun ada juga terasa eh, kenapalah data kes Covid-19 kita ni macam ni?

Ada terlintas juga, mungkin data nombor ni tipu tapi apabila dah kena sendiri, barulah kita tahu yang Covid ni memang ‘real’. Maka, sama-samalah kita berusaha untuk mengurangkan jangkitan, jangan lupa vaksin,” ujarnya.