Seperti yang dijanjikan menerusi muat naik di laman sosial minggu lalu, pasangan selebriti terkenal tanah air Fattah dan Fazura yang baru bergelar ibu bapa berkongsi khabar gembira sekali lagi. Memilih nama Nur Fatima Aisya, nur bermaksud cahaya, manakala Fatima pula bermaksud puteri Rasulullah SAW, yang tidak menyusu lagi dan Aisya pula memberi erti penuh semangat. Secara ringkasnya dapat disimpulkan, makna nama ini adalah cahaya yang mengambil keberkatan nama puteri Rasulullah SAW yang penuh semangat. Dalam erti kata lain, erti penuh semangat sebagai satu doa agar si cilik ini diharapkan menjadi anak perempuan yang punya motivasi tinggi.


Rata-rata ramai pengikut media sosial dan netizen memuji Fattah dan Fazura yang memilih nama anak mereka dengan nama yang ringkas ini. Selain mudah disebut dan senang dipanggil, semua menyifatkan ia tidaklah terlalu sukar atau berbelit lidah mahu menyebutnya. Apa yang penting adalah makna disebalik nama yang diberi. Mengambil keberkatan hari Jumaat, ia juga antara perkara sunnah yang dianjurkan Islam untuk menguar-uarkan nama anak pada tujuh hari kelahirannya.

Kredit Foto: IG Fattzuralovelife

Pilihan Nama Yang Baik

Tuntutan memilih nama-nama yang elok dan mempunyai makna yang baik amat dianjurkan Islam. Sebenarnya, pemilihan nama-nama yang baik ini sedikit sebanyak boleh mempengaruhi sifat peribadi dan akhlak seorang Muslim.


Abu Daud meriwayatkan daripada Abu Darda r.a bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya pada hari kiamat kelak, manusia akan dipanggil menghadap Allah dengan nama masing-masing dan nama bapa masing-masing (sepertimana nama di dunia). Oleh itu pilihlah nama yang baik-baik untuk kamu sekalian.”


Ini bererti Nabi Muhammad SAW melarang umatnya menamakan anak masing-masing dengan nama-nama tercela yang membawa makna tidak baik. Lebih-lebih lagi hal ini amat penting dalam usaha untuk menjaga kehormatan anak tersebut daripada cemuhan masyarakat.

Sumber: Buku Indahnya Hidup Bersyariat, Dato’ Ismail Kamus


Waktu Sesuai Menamakan Anak

Para ulama’ bersepakat bahawa harus diberikan nama kepada bayi yang baru lahir pada bila-bila masa sahaja selepas bayi tersebut dilahirkan. Tiada waktu tertentu yang dilarang untuk memberikan nama kepada bayi yang telah dilahirkan. Rujuk Mughni al-Muhtaj (4/294), al-Majmuk Syarh al-Muhazzab (8/435), Hasyiyah ibn ‘Abidin (5/213), Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil (3/256), Kasyaf al-Qina’ (3/25), Tuhfat al-Maudud bi Ahkam al-Maulud (hlm.71)


Namun begitu, para ulama’ berbeza pandangan mengenai waktu yang disunatkan untuk memberikan nama kepada anak yang baru dilahirkan kepada tiga pendapat, iaitu:

Kredit Foto: Google

Pendapat Pertama:
Sunat diberikan nama kepada anak yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya. Ini adalah pendapat jumhur (majoriti) ulama’-ulama’ dalam mazhab asy-Syafi’e, Hanafi, Maliki dan Hanbali. Rujuk Mughni al-Muhtaj (4/294), Hasyiyah ibn ‘Abidin (5/213), al-Tamhid (4/320), Hasyiyah ar-Raudh al-Murbi’ Syarh Zad al-Mustaqni’ (4/245-246).


Mereka berhujah dengan beberapa hadith Nabi SAW, antaranya bermaksud: “Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkan untuk memberikan nama kepada bayi yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya” – Riwayat al-Tirmizi (2832)


Aisyah RA telah berkata: “Nabi SAW telah melakukan aqiqah untuk Hasan dan Husain pada hari ketujuh daripada hari kelahiran mereka dan memberi nama kepada mereka berdua" – Riwayat ibn Hibban (5311)

Telah berkata Imam Ibn Qudamah Rahimahullah: “Jumhur (majoriti) ulama berpendapat bahawa waktu yang terbaik untuk menamakan anak adalah pada hari yang ketujuh, manakala hadith Anas bin Malik RA (وُلِدَ لي اللَّيْلَةَ غُلَامٌ، فَسَمَّيْتُهُ باسْمِ أَبِي إِبْرَاهِيمَ) pula menunjukkan bahawa harus memberikan nama pada hari kelahiran bayi, dan bukannya sunat untuk memberikan nama pada hari kelahiran bayi tersenut” Rujuk al-Mughni (9/356).

Kredit Foto: Google

Pendapat Kedua:
Sunat diberikan nama kepada anak yang baru dilahirkan pada hari kelahiran anak tersebut. Ini adalah pendapat sebahagian ulama’-ulama’ dalam mazhab asy-Syafi’e dan Hanbali. Rujuk Mughni al-Muhtaj (4/294), Fath al-Wahhab bi Syarh Minhaj at-Tullab (2/190), Kasyaf al-Qina’ (3/25).


Mereka berhujahkan dengan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan hadith SAW. Di antaranya ialah yang bermaksud: “Dan Aku (Allah) telah menamakannya Maryam” – Surah Ali Imran: 36


Dalam menafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir Rahimahullah telah berkata: “Ayat ini menjadi dalil bahawa diharuskan untuk memberi nama kepada bayi yang baru dilahirkan pada hari kelahiran bayi tersebut seperti mana yang terzahir daripada konteks ayat ini” Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (2/33).


Pendapat Ketiga:
Sunat diberikan nama kepada anak yang baru dilahirkan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya jika anak tersebut hendak dilaksanakan aqiqah untuknya pada hari ketujuh. Jika tidak, disunatkan anak tersebut diberikan nama sebelum hari yang ketujuh. Ini adalah pendapat sebahagian daripada ulama-ulama’ yang bermazhab asy-Syafi’e, Maliki dan pendapat yang dipilih oleh Imam al-Bukhari Rahimullah. Rujuk Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil (5/362), Hasyiyah Qalyubi dan ‘Umairah (4/256).


Mereka berhujah bahawa hadith-hadith yang menyebut berkenaan dengan pemberian nama pada hari yang ketujuh, ia memberi makna bahawa tidak boleh melewatkannya lebih daripada hari yang ketujuh dari hari kelahiran bayi tersebut. Ini kerana jika dinamakan sebelum hari yang ketujuh, ia masih dinamakan hari yang ketujuh (مسمى يوم السابع), maka ia menepati makna hadith. Adapun selepas hari ketujuh, ia tidak lagi dinamakan sebagai hari ketujuh.


Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah berkata: “Jika tidak berhasrat untuk melaksanakan aqiqah ke atas bayi yang dilahirkan pada hari ketujuh kelahirannya, maka tidak boleh melewatkan pemberian nama kepadanya sehingga hari ketujuh sepertimana dalam kisah Ibrahim bin Abu Musa, Abdullah bin Abu Tolhah, Ibrahim anak kepada Nabi SAW dan Abdullah bin az-Zubair. Tidak ada riwayat yang mengatakan bahawa aqiqah telah dilaksanakan untuk mereka pada hari ketujuh kelahiran mereka. Oleh sebab itu, mereka diberikan nama sebelum hari yang ketujuh” Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (9/588)

Kredit Foto: Google

Kesimpulan

Secara umumnya, harus untuk memberikan nama kepada bayi yang baru dilahirkan pada bila-bila masa sahaja selepas kelahirannya. Tiada waktu tertentu yang dilarang untuk memberikan nama kepada bayi yang telah dilahirkan.
Berkenaan dengan waktu yang terbaik untuk memberikan nama kepada bayi, kami cenderung untuk memilih pendapat bahawa bayi yang baru dilahirkan adalah sebaiknya diberikan nama pada hari kelahirannya. Hari ketujuh pula boleh dijadikan hari pengisytiharan nama bayi tersebut kepada sanak-saudara dan orang lain, dan ia sangat bersesuaian jika pada hari tersebut juga diadakan majlis aqiqah untuk bayi tersebut.

Sumber: https://muftiwp.gov.my/