Ada yang menyatakan ia berpunca dari faktor genetik. Tidak kurang juga yang menyifatkan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak dipengaruhi oleh pemakanan yang tidak sihat. Ya, tiada salahnya kedua-dua andaian ini kerana ia saling terkait. Namun untuk melihat semua isu itu, ia bermula daripada sikap dan peranan ibu bapa yang menyediakan keperluan makanan bagi anak-anak.


Menerusi muat naik di laman Facebooknya, Dr Ahmad Samhan yang sering berkongsi ilmu dan tips mengenai isu kesihatan semasa ada langkah untuk menangani isu ini. Berikut adalah hasil perkongsian dan tulisan Dr Samhan untuk manfaat semua.

Kredit Foto: Facebook Ahmad Samhan


“Eh, comel je aku tengok anak kau. Dahla putih, berisi pula tu”. Ramai mak ayah tak merasa bimbang dan ambil mudah dengan ‘kegemukkan’ anak. “Ala, biarlah dia makan. Seronok tengok dia berselera. Nanti besar pandailah dia diet, jaga badan”
Jangan begitu. Tak pelik jika anak-anak akan mengalami obesiti sehingga dewasa kerana sudah terbiasa dengan tabiat makan sebegitu dari kecil.


Obesiti Satu Penyakit Dalam Kalangan Kanak-Kanak

Kegemukan atau obesiti adalah satu penyakit yang semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak pada masa kini dan seseorang kanak-kanak itu dianggap obes apabila Indeks Jisim Tubuh atau Body Mass Index (BMI) adalah tinggi bagi umur dan jantinanya.
Jika ibu bapa perasan setiap kanak-kanak mempunyai buku rekod kesihatan ‘baby book pink or blue’, graf berat serta tinggi boleh dilihat di ruangan belakang buku tersebut. Sekiranya berat sentiasa di bahagian atas sehingga melepasi graf teratas, bermakna anak itu mempunyai berat yang berlebihan.

Kredit Foto: Google

Malaysia dinamakan sebagai sebuah negara yang mempunyai kadar obesiti paling tinggi dalam kalangan kanak-kanak di Asia Tenggara dengan nisbah 1:5 kanak-kanak mempunyai berat berlebihan atau obes dan hal ini sangat membimbangkan. Kajian NHMS pada 2015 mendapati sebanyak 11.8 peratus kanak-kanak berusia bawah 18 tahun mengalami obesiti. Berdasarkan data ini, seramai 1.65 juta kanak-kanak Malaysia yang bersekolah dijangka mengalami obesiti menjelang 2025 sekiranya kita tidak mengambil sebarang tindakan.


Daripada jumlah itu, seramai 88,000 kanak-kanak Malaysia akan mengalami masalah dalam toleransi glukos, seramai 28,000 orang akan menghidap diabetes Jenis 2, seramai 191,000 kanak-kanak bakal mengalami tekanan darah tinggi dan 264,000 akan menghidap penyakit hati berlemak tahap satu.
Selain penyakit-penyakit serius, obesiti juga merupakan penyebab gangguan tidur serius atau ‘obstructive sleep apnea’(OSA) dan sindrom hipoventilasi dalam kalangan kanak-kanak. Dalam kalangan kanak-kanak obes, salur udara menjadi sempit disebabkan jumlah lemak yang banyak pada bahagian leher. Ini menyebabkan penurunan dalam pernafasan dan mengganggu tidur.

Kredit Foto: Google


Peranan Ibu Bapa

Apabila mempunyai terlalu banyak lemak di sekitar abdomen dan dada, pernafasan menjadi sukar dan berlakunya hipoventilasi. Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik, memberi pemahaman serta menjadikan pengambilan makanan berkhasiat dan seimbang sebagai amalan sejak anak-anak masih kecil. Anak tidak tahu bahawa makanan diproses atau makanan sejuk beku tidak mempunyai khasiat yang sama dengan makanan sebenar. Jadi, ibu bapa perlu mendidik anak-anak tentang kesan buruk terhadap kesihatan jika makanan diproses itu dimakan setiap hari.

Kredit Foto: Google

Tips & Trick

1. Tarik perhatian mereka dengan warna-warna makanan sebenar seperti betik, oren, epal, lobak merah, tomato dan didik mereka tentang nutrisi dan khasiat makanan-makanan ini. Jika mak ayah pun tak amalkan makanan yang berkhasiat dan sihat, bagaimana anak ingin mencontohi. Mak ayah adalah cermin anak-anak.

2. Galakkan kanak-kanak makan lima hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari serta makan mengikut masa yang betul iaitu sarapan pagi, tengah hari dan malam di samping terapkan amalan makan bersama ahli keluarga serta elakkan makan sambil menonton televisyen.