Oleh: Afiza Kamarulzaman

Sumber foto: Shutterstock.com

PEJAM mata kejap, tarik nafas dalam-dalam. Berikan tepukan untuk diri sendiri. Akhirnya kita berjaya melalui setahun lagi kehidupan ini hingga sampai ke destinasi 2017. Dan, nanti apa lagi yang menanti untuk 2018? Semuanya masih menjadi rahsia yang di atas sana.

Usah gusar kerana mahu atau tidak, kita tetap harus menitinya sehari demi sehari seperti tahun-tahun nan sudah. Apakah bahagia atau sengsara? Permulaan yang baik atau pengakhiran yang perit? Hanya sabar dan tabah menungganginya nanti.

Miss Cherry sendiri tidaklah berasakan 2017 ini meninggalkan tinta-tinta yang cemerlang atau membahagiakan sangat. Ya, tahun ini adalah tahun paling banyak mengguris hati Miss Cherry. Menyentapkan rasa namun di sebaliknya juga mendewasakan Miss Cherry (dewasa sehingga timbul banyak pula garis halus di wajah). Ramai yang tanya khabar Miss Cherry tempoh hari. Bagaimana keadaan menempuhi segala badai yang melanda?

Bagi Miss Cherry kekuatan kita adalah daripada kita sendiri. Tiada orang lain yang mampu membantu memberikan kita ketabahan dengan hanya menabur kata-kata atau sebagai pendengar setia.

DIA DEPRESI SAMPAI MAHU BUNUH DIRI

Seorang teman yang mengalami depresi paling teruk tahun ini menghubungi Miss Cherry. Dia hampir mahu kelar tangannya dek tekanan yang melanda. Katanya, ujian demi ujian yang ditimpa Tuhan kepadanya bagaikan tiada hari esok.

Bermula pada awal tahun, dia terputus pendapatan bulanan kerana berhenti kerja. Kemudian, ibunya dijemput Ilahi. Diikuti masalah rumahtangga yang tidak berkesudahan. Disuruh berpindah oleh tuan rumah dan anak pula asyik sakit-sakit. Dia akhirnya buat keputusan untuk menamatkan sahaja riwayat hidupnya.

Namun rupanya masih ada yang sayang, yakni Sang Pencipta. Entah daripada mana datangnya kesedaran, ditiupkan hidayah. Dia tiba-tiba tersentak apabila terfikirkan tanggungjawabnya sebagai manusia bukanlah hanya memikirkan tentang masalah sendiri. Dia dilahirkan di dunia ini dengan kepayahan oleh si ibu. Diberi peluang oleh Tuhan untuk hadir ke bumi ini sebagai makhluk sempurna berakal fikiran, kenapa harus dia menafikan haknya untuk terus hidup sebagai seorang manusia yang berpedoman?

KENAPA ADA YANG MENYESAL DENGAN TAKDIR TUHAN?

Akhirnya, kawan Miss Cherry itu tekad untuk bangun mencuci segala noda. Dia kembali merencana hidup baru dan berharapkan ada sinar untuknya kembali ‘bernyawa’. Nah, berapa ramai lagi yang di luar sana berasakan hidup ini begitu sempit untuknya? Sedangkan bumi Allah ini tercipta seluas-luasnya.

Berapa ramai yang berasakan ujiannya amatlah berat? Sedangkan dia sendiri tidak pernah berasakan hidup tanpa makan dan minum. Siapalah kita untuk mengatakan bahawa ‘aku teruk diuji’, sedangkan kita sendiri tidak tahu siapakah lagi manusia di muka bumi ini paling teruk diuji oleh-Nya?

KALAU TAKAT ‘STRESS’ SEBAB TAK BAYAR PTPTN, MEMANG NAK KENA SEKEH!

Kerana itu apabila ada adik-adik WeChat stres tidak bayar PTPTN, mahu meroyan dalam status laman sosialnya, rasa mahu saja disekehkan kepalanya. Belum dilihat dunia luar itu, yang lebih besar pancarobanya.

Dan ditanya lagi kenapa aku diuji? Jawab Miss Cherry, kerana Tuhan sayang. Tuhan rindu kita. Tuhan mahu kita selalu ingat Dia. Tuhan mahu kita mengadu kepada-Nya. Tuhan mahu dengar keluhan kita. Dia yang menciptakan kita. Dia tidak akan menciptakan sesuatu yang sia-sia. Pastinya Dia mahu kita hargai setiap apa yang Dia berikan kepada kita. Ujian itu juga pemberian-Nya. Pasti bersebab kenapa kita dipilih menerima ‘pemberiannya’ itu.

Jangan sedih. Anggap sahaja setiap ujian itu umpama garam dalam masakan. Bayangkan kalau gulai tiada garam. Pasti tawar hambar dan tidak membuka selera.

Begitulah kehidupan. Kalau hanya dilalui dengan kesenangan dan kelapangan tanpa diusik sang ‘kecewa’ pasti membosankan. Umpama ‘wardrobe’ yang hanya ada baju hitam atau palet mekap yang cuma ada warnanya putih. Pasti kelam. Jadi, apa yang hendak digusarkan terus-terusan.

Percayalah, Tuhan tidak akan selamanya memberikan kamu hujan yang lebat dan guruh berdentum. Pasti, dia akan hentikan hujan dan guruh itu dengan si pelangi yang cantik berwarna-warni.

“The more you praise

and celebrating your life,

the more there is in life to celebrate.”

– Oprah Winfrey