gaya hidup

Orang Yang Suka TAYANG Kekayaan Hakikatnya Tiada Keyakinan Diri, Tak Puas Selagi Orang Tak Tahu

gempak
Afiza Kamarulzaman
01/10/2021
03:48 MYT
Sponsor Banner
Orang Yang Suka TAYANG Kekayaan Hakikatnya Tiada Keyakinan Diri, Tak Puas Selagi Orang Tak Tahu
Bukan dengki tetapi ada kala naik serabut tengok apabila kisah kekayaannya lalu-lalang di sana-sini. Seumpama sudah tiada modal lain nak diuar-uarkan, selain membongkar duit berjuta, aset berkoyan yang dimiliki.
Tidak pasti kenapa sekarang ia menjadi trend. Mungkin kewujudan media sosial hari ini menjadikan kebanyakan orang semakin ketagih menjadikan kekayaan sebagai ‘content’ meraih likes dan komen.
Kalau dulu, kekayaan seseorang bagaikan satu ruang privasi. Ia terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum, apa lagi menunjukkan duit cash secara terang-terangan atau harga barangan yang terpakai di badan dan sebagainya.
Orang dulu berasakan ia satu perbuatan ‘kurang adab’ dan sangat tidak manis menunjukkan kekayaan yang dimiliki. Jika orang tahu, tahulah, tak perlu diceritakan satu persatu sehingga mengundang rasa riak dan sombong.
“Kaya dulu-dulu kaya ada ‘class’. Kaya media sosial sekarang kaya ‘no class’!”Ujar teman saya yang tak kurang kayanya tapi tidak pernah sekali memuat naik video atau gambar aset yang dimiliki.
Mereka Mahu Kelihatan Lebih Daripada Orang Lain
Kebanyakan orang yang suka menayang kekayaan ini, secara psikologinya mereka mempunyai kekurangan daripada segi keyakinan diri. Justeru, mereka menggunakan kelebihan itu sebagai pendorong diri dan kuasa menguatkan hati.
Bayangkan kalau mereka miskin, bagaimana mereka mendepani dunia? Dan lihat orang yang tidak berharta sekarang ini? Mereka tidak perlukan harta berkoyan-koyan untuk meneruskan hidup berdepan orang ramai. Apa yang penting, jujur menjadi diri sendiri.
Inilah kekuatan sebenar. Keyakinan yang dibina dari dalam diri tanpa sokongan kebendaan. Jadi, jika kamu jatuh terduduk sekali pun, kamu masih boleh berjalan seperti biasa meneruskan hidup tanpa rasa segan.
Seorang teman berkongsi. “Aku ada seorang kawan yang jenisnya suka menunjuk apa saja yang dia beli dan ada di media sosial. Itu aku tak kisah, cuma satu perangai dia yang aku tak berkenan, setiap kali jumpa orang baru dikenal, dia akan sibuk tanya kerja apa, gaji berapa, duduk di mana, kereta apa?”
Apabila dia tahu orang itu kerja atau keretanya lebih hebat, wajahnya mula berubah. Nampak sungguh keresahan dalam dirinya. Tiba-tiba dia menjauhkan diri dan memberi pelbagai alasan tentang keburukan orang itu.
Tapi cuba kalau dia berkenalan dengan orang yang gajinya lebih rendah dan life style biasa-biasa, wajahnya automatik berseri-seri. Lebih berseri kalau orang itu memuji-muji apa dia sedang pakai atau kereta yang dibawanya. Fuh...naik terus taringnya! Dia akan jadikan orang itu ‘modal’ membesarkan dirinya.
Itulah kisahnya orang yang suka menayang kekayaan kepada umum. Mereka mahukan perhatian dan kelebihan dari pelbagai segi. Hatinya rapuh jika orang tidak mempedulikannya, apa lagi jika tiada yang memuji dan mengidolakannya.
Dia mahu satu dunia tahu yang dia memang kaya, dia berkemampuan segala-galanya. Sedangkan kalau sudahnya kaya, tak perlu dicanang-canang, orang pasti akan tahu. Tapi bezanya orang kaya begini, kepuasannya bukan terletak pada kekayaannya tapi pada pandangan orang.
Penatkan jadi orang yang sebegitu? Tapi inilah kehidupan, pelbagai rencam dan ragam...
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live