Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Personaliti

Pasangan Pergi Mengejut, Bersediakah Anda? Tak Mungkin READY, Walau Kita Tahu Arwah Akan Tinggalkan Kita.

Afiza Kamarulzaman 04/05/2021 | 15:35 MYT
Dalam program Borak Kelamin episod 10 yang disiarkan Isnin baru ini di Astro Ria membincangkan topik ‘Pasangan Pergi Mengejut, Bersediakah Anda? Hal ini bukan hanya tentang persediaan mental dan emosi, malah turut menyentuh tentang pembahagian harta si mati.
Istimewa, Borak Kelamin menjemput seniwati, Dato’ Ziela Jalil sebagai tetamu jemputan untuk berkongsi kenangan ketika suami dijemput Illahi pada tahun 2008. Mereka hanya sempat bersama 18 tahun mengulit bahagia dengan dikurniakan dua orang cahaya mata, Puteri Julia Nabilah dan Megat Jufri Nasrullah.
Ketika diminta mengimbas kembali bagaimana saat akhir berdepan dengan Allahyarham Tan Sri Megat Junid, cerita Dato Ziela yang mesra dipanggil Kakak, “Arwah dah memang sakit waktu itu, namun jauh di sudut hati saya masih berasakan arwah ada harapan untuk sembuh, kakak memang positif dan tak mahu fikirkan tentang kematian.”
Tambah Ziela lagi, beliau masih ingat sehari sebelum pemergian arwah, iaitu hari Rabu dikhabarkan berita kematian bapa pelakon Rosyam Nor. “Kakak beritahu arwah dan esoknya hari Khamis, pada pagi Subuh arwah pula menghembuskan nafas terakhir di sisi kakak, isteri pertama dan anak-anaknya.”
Bertahun-tahun Hidup Diasak Rindu Tak Terubat
Lebih mengharukan apabila Ziela Jalil meneitakan bagaimana keadaan beliau pada awal pemergian Allahyarham suami yang sangat dicintainya itu. “Empat ke lima bulan pertama itu, kakak akan ulang alik ke kubur dua kali sehari sampaikan Emak naik risau kerana takut kakak terkena badi mayat ke?
Tapi sebenarnya itulah cara kakak untuk kuatkan kembali semangat kakak untuk menempuhi hidup tanpa arwah. Apabila menziarahi pusaranya, terubat sedikit rindu. Memang lama kakak berkeadaan begitu. Kadang-kadang, apabila rindukan arwah, kakak pakai t-shirt atau kain arwah untuk melepaskan rindu,” ujarnya sebak.
Mengimbas detik bersama arwah yang merupakan bekas tokoh politik ternama itu, tutur Ziela, “arwah seorang bapa penyayang. Beliau selalu bawa anak-anak berjalan-jalan sekitar rumah. Saat paling disukai arwah apabila dapat menyuapkan makan kepada anak-anak dengan tangannya sendiri. Arwah seorang yang sangat baik dan kakak yakin dia pergi setelah berjaya melunaskan semua tanggungjawabnya kepada semua.”
Persediaan Daripada Segi Pembahagian Harta
Tidak dapat tidak apabila bercakap soal kematian, pasti terselit cerita pembahagian harta yang ditinggalkan si mati. Ziela yang turut mempunyai madu dan anak-anak tiri pasti mempunyai pengalaman tersendiri bab pembahagian harta Allahyarham suami setelah kematiannya.
“Sebenarnya dalam Islam sendiri menuntut apabila seseorang itu meninggal, sebaiknya harta pusaka yang ditinggalkan diselesaikan sebelum arwah dikebumikan lagi. Tapi, yalah, berbeza dengan budaya masyakarat kita yang menganggap isu ini sebagai sensitif dan perlu masa untuk diselesaikan.”
Ziela menambah, “Walaupun harta yang ditinggalkan suami tidaklah banyak mana, tapi masa yang diambil untuk selesaikan hal ini sekitar enam tahun juga. Apa pun, kenangan bersama arwah tetap bersama kakak. Arwah banyak mengajar kakak menjadi lebih matang dan dewasa dalam mendepani kehidupan ini.”
Wasiat Bukan Isu Besar Kalau Kita Ikut Hukum
Turut diundang dalam program ini ialah Pakar Kaunseling Keluarga, Puan Suzana Ghazali. Menurut beliau isu pembahagian harta si mati tidak sepatutnya menjadi isu besar jika ia diselesaikan mengikut hukum Islam yang lengkap dan sempurna. Cuma, menjadi kelaziman dalam masyakart kita akan timbul pelbagai isu sampingan lain apabila bercakap soal faraid.
“Untuk mudahkan pembahagian, tuntutan boleh difailkan di mahkamah walau dengan kehadiran seorang waris sudah memadai untuk proses dijalankan. Satu kelebihan untuk isteri pula, apabila suami meninggal boleh saja terus memfailkan harta sepencarian sebelum harta itu dibahagikan. Dan, mahkamah akan tentukan pengiraannya nanti,” jelas Puan Suzana.
Terangnya lagi memang ada baiknya seseorang itu membuat hibah ketika masih hidup untuk memudahkan urusan kelak. Ini kerana waris tidak boleh ditinggalkan wasiat semata. Untuk mudahnya, buatlah hibah bersyarat bagi mengelakkan kesulitan pada masa akan datang.
Puan Suzana turut ditanya perihal hutang-piutang si mati juga. Siapa selayaknya untuk menyelesaikannya? Jawab beliau, “waris tidak dituntut untuk menyelesaikan hutang si mati kerana ia adalah tanggungjawab si mati itu sendiri waktu hidupnya. Namun, jika ada rasa sayang dan simpati kepada si mati, waris boleh melunaskan hutang itu untuk memudahkan urusannya di sana kelak.”
Apabila ditanya pendapat beliau tentang persediaan daripada segi mental dan emosi, ini jawapan beliau, “tidak salah untuk kita bersedih seketika. Kita faham, tiada siapa mampu untuk ‘ready’ menerima kehilangan orang yang disayang walaupun kita sudah diberi tanda seperti sakit.
Cuma, jangan keterlaluan. Jangan sampai merosakkan diri dan arwah. Kita perlu teruskan hidup dan usaha untuk bertenang. Hanya kalau kita dalam keadaan tenang barulah kita dapat bantu arwah di sana dengan menyedekahkan doa dan sebagainya,” nasihat beliau.
#Kematian #Ziela Jalil #Borak Kelamin
;