Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Highlights

PEHA BERGESEL, Berat Badan Seperti Wanita Mengandung – Wanita Ini NEKAD Turunkan Berat Badan, Hasilnya Cukup Menakjubkan!

Huda Hussain 15/10/2019 | 04:15 MYT

Waktu makan yang tidak menentu dek kerana kerjayanya dalam bidang kewartawanan memberi cabaran untuk Norazurra Aziz tampil langsing. Namun dia gigih. Berdikit-dikit dia cuba. Mengekang nafsu demi memikirkan kesihatan yang tiada galang ganti nilainya.

Ikuti perjalanan wanita ini yang secara tidak langsung turut menarik perhatian suaminya untuk turut sama turunkan berat badan.

Sejak bila mula amalkan ‘eat clean’ dan senaman tabata, boleh kongsikan?

Saya amalkan pemakanan ‘eat clean’ dan tabata baru lagi, pada pertengahan Julai 2019. Mulanya saya sertai program diet dalam talian, menerusi (Whatsapp) atas saranan kawan di pejabat yang menunjukkan perubahan ketara penurunan berat badan.

Kredit foto: Azurra Aziz

Apa yang benar-benar membuatkan anda bersemangat untuk turunkan berat badan?

Apabila lihat di cermin, saya berasa badan teramat gemuk dan berat seolah-olah saya sedang hamil seperti 12 tahun dulu. Dan dalam masa sama, saya mahu buktikan pada seseorang yang pernah perlekehkan bentuk badan saya.

Bagaimana ajak suami turut serta?

Saya tidak pernah mengajak atau memaksa dia. Cuma mungkin keinsafan diri sendiri itu datang apabila dia lihat kawan-kawannya yang berbadan besar mudah dapat penyakit.

Dan tidak kurang juga selalu dijadikan bahan lawak rakan2 sekerja. Malah ada dalam kalangan kawan-kawannya yang meninggal dunia. Bila suami tengok saya sediakan sarapan seperti roti, telur dan salad, dia mula tertarik.
Katanya menarik untuk dicuba. Dan bermula hari itu, dia suruh saya sediakan sarapan yang sama setiap hari. Lama-kelamaan, suami mula ikut cara makan yang betul juga teruja mahu tahu menu sihat yang perlu dimakannya.

Kredit foto: Azurra Aziz

Perubahan yang dirasai?

Saya rasa badan semakin ringan, perut sedikit kempis dan peha tidak lagi bergesel! Hahaha. Rakan-rakan di pejabat juga mulai sedar dan menegur saya kelihatan kurus berbanding dahulu.

Berat badan juga turun sedikit demi sedikit bermula dari 70.2kg hingga terkini 58kg. Dan durasi penurunan berat badan ini berlaku dalam tempoh empat bulan sejak Julai hingga Oktober.
Alhamdulillah, suami juga konsisten turun berat badannya dari 117kg hingga berat badan terkini 87kg dalam tempoh sama.

Kredit foto: Azurra Aziz

Macam mana rasanya perlu tahan nafsu, tidak ambil dan makan yang manis? Pernah rasa nak marah mungkin?

Tekadkan diri untuk kurus, jangan mudah termakan hasutan kawan dan fikir kesihatan diri. Ini yang menjadi pembakar semangat saya untuk kurus. Sejujurnya saya akui, waktu mula amalkan ‘eat clean’ memang seksa tahan nafsu.

Saya dan suami saling mengadu antara satu sama lain. Teringat-ingat sedapnya kalau dapat makan nasi lemak, roti canai dan macam-macam lagi. Apatah lagi saya memang penggemar ais krim dan coklat.
Tapi selepas itu saya cuba buat-buat lupa dan sematkan dalam kepala mahu fokus untuk kurus. Ada juga masanya saya berasa putus asa sebabnya berat tak turun banyak dan masih static walaupun kawal makan dan bersenam.
Tapi saya cepat-cepat pujuk diri dan suami juga beri sokongan. Itulah cara yang memotivasikan kami.

Kredit foto: Azurra Aziz

Tidak leceh perlu siapkan juadah setiap hari?

Untuk sarapan mudah sahaja. Saya hanya goreng telur kemudian makan bersama salad, timun dan roti. Pendek kata, stok salad dan timun memang sentiasa ada dalam peti sejuk.

Kalau mahu tukar menu, kadang-kadang saya buat lempeng pisang. Bancuh malam sebelumnya dan keesokan pagi boleh terus di masak. Makan tengah hari pula kebanyakannya terpaksa makan di kedai.
Tapi perlu kreatif dalam minimumkan lauk. Syaratnya perlu ada protein dan sayur. Nasi pula sesuku sudah cukup!
Kalau perlu hadiri majlis di luar misalnya ke majlis kahwin, saya bungkuskan salad dari rumah dan nasi juga masih saya kekalkan porsi sesuku.

Berbaloi atau tidak bayar yuran bulanan mencecah RM300 sebulan semata-mata mahu kurus?

Sangat berbaloi sebabnya pelbagai ilmu untuk sihat dapat diperoleh. Dari menu makanan yang betul, cara bersenam, baca label makanan, kira kalori dan lain-lain.

Menariknya, keahliannya adalah seumur hidup. Dan kalau ditanya dari segi wang ringgit, kalau dulu saya sanggup keluarkan duit hingga beratus semata-mata mahu beli ubat kurus.
Namun hasilnya dalam tempoh yang singkat sahaja. Dan berat akan naik semula kalau tak teruskan makan ubat. Tidak bagus juga untuk kesihatan.

Kredit foto: Azurra Aziz

Bekerja dalam bidang kewartawanan, ada atau tidak Zura berhadapan dengan cabaran demi misi mencapai berat badan 50kg?

Sememangnya mencabar sebab kerjaya saya tidak tentu masa makan. Tetapi saya peru ingatkan diri sendiri. Sentiasa sediakan dan bawa snek sihat di dalam beg seperti buah epal hijau dan kekacang sihat.

Dan kalau saya perlu penuhi tugasan di luar pejabat misalnya ke mana-mana acara, saya hanya ambil buah-buahan yang disediakan.

Saranan dan tips kepada mereka yang punya impian mahu turunkan berat badan? Dari mana harus bermula?

Kenal fizikal badan terlebih dahulu dan rancang penurunan berat badan yang sihat. Jangan mahu ikut orang lain. Perlu ada target sendiri mahu kurus untuk apa. Mulakan dengan kiraan BMI normal yang patut dicapai sesuai dengan berat badan dan ketinggian anda.

Jauhi pengambilan ubat-ubatan untuk kurus kerana pertama impaknya tidak lama dan kedua takut pula kalau ia memudaratkan kesihatan.
Selebihnya, dapatkan tips daripada kawan-kawan yang berjaya kurangkan berat badan, pelajari menu dan resepi sihat. Selamat mencuba!

Kredit foto: Azurra Aziz
Kredit foto: Azurra Aziz
Kredit foto: Azurra Aziz
Kredit foto: Azurra Aziz

#Gaya Hidup #Diet #Kesihatan
;