Personaliti
Pelbagai Cara Selebriti Zahir SOLIDARITI Buat Palestin. Teruskan Apa Cara Pun Sebagai Perjuangan Kecil Kita
Sudahlah. Ketepikan isu artis langgar SOP, selebriti kayangan itu dan ini. Dalam setandan pisang, tidak semuanya busuk. Begitulah pepatah yang harus kita pegang dalam menilai sesuatu kelompok masyarakat itu.
Jangan kita tidakkan jasa bakti dan perjuangan sebahagian besar selebriti tanah air yang turut bersama memperjuangkan bumi Gaza menentang kezaliman rejim Zionis menerusi pelbagai cara dan saluran.
Yang baik jadikan teladan, yang buruk buat sempadan.
Selebriti Salur Bantuan, Dana dan Suara
Antara selebriti yang dilihat aktif dalam membantu perjuangan ini ialah Heliza Helmi. Beliau berkesempatan menjejaki bumi suci itu pada tahun 2012 lagi dan melihat sendiri penderitaan dan ketabahan penduduk di situ.
Dipetik dari laporan Berita Harian, Heliza berkata, apa yang berlaku sebenarnya adalah isu kemanusiaan.
"Bayangkan rumah kita didatangi dan dicerobohi orang yang tidak dikenali, lalu kita dihalaunya. Bukan saja itu, kita dicederakan dan dibunuh sesuka hati. Jadi apa perasaan kita apabila di tempat mereka?
"Disebabkan itu, tidak kira bangsa dan agama, ini adalah isu kemanusiaan. Apa yang berlaku ini terlalu dahsyat. Banyak sekali yang kita perlu bantu untuk baik pulih semula dengan kos yang tinggi," katanya.
Heliza berkata, mereka yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung membentuk My Aqsa Defenders yang dianggotai lebih 15 badan.
Penyanyi Faizal Tahir juga dilihat sebagai antara selebriti yang lantang memperjuangkan hak Palestin. Sehinggakan beliau tidak tergamak untuk memuatnaik gambar sambutan Rayanya bersama keluarga kerana terkesan dengan peeprangan yang berlaku ketika bulan Ramadan dan Syawal ini.
Faizal bekerjasama dengan kumpulan Mirwana mengadakan persembahan virtual bagi mengutip dana untuk My Aqsa Defenders.
"Selepas berfikir panjang saya membuat keputusan memendekkan cuti demi saudara kita di Palestin. Saya tidak boleh mengangkat senjata membantu mereka. Hendak lawan di alam siber pun tidak pandai. Jadi, saya buat apa yang saya mahir," katanya yang bakal mementaskan showcase itu pada 30 Mei depan pada harga tiket serendah RM49.
Pelakon Ben Ali berkata, sejumlah RM40,000 daripada hasil jualan produk Absolut Chocolat di Malaysia dan Singapura.
"Saya dan isteri juga memberi sumbangan peribadi sebanyak RM12,000. Isteri sangat terkesan dengan apa yang menimpa rakyat Palestin. Hampir setiap hari dia menangis apatah lagi melihat kanak-kanak menjadi mangsa," katanya.
Tidak ketinggalan personaliti ikon, Mizz Nina dan Suami, Noh Salleh yang tidak hanya berkongsi pelbagai muatnaik di laman sosial mereka mengenai perkembangan terkini berkaitan peperangan di Gaza, malah turut berkolaborasi dengan Tabung MyAqsa Defenders (MAD) yang disertai pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), selebriti dan ikon kemanusiaan untuk mengumpul dana.
Laporan terkini memaklumkan tabungn tersebut berjaya mengutip jumlah derma hampir RM17.8 juta hasil sumbangan orang ramai untuk rakyat Palestin.
Dan ramai lagi selebriti tempatan yang turut sama melahirkan sokongan dan solidariti terhadap penduduk Palestin dengan pelbagai cara atas nama perikemanusiaan. Ada yang menyumbang wang secara terus ke tabung berdaftar, ada yang melaungkan menerusi protest di laman sosial dan tidak kurang juga yang menyumbang menerusi penjualan produk mereka seperti tudung, alat solek, makanan dan sebagainya.
Apa pun cara dan laluan yang kita lakukan untuk menzahirkan sokongan ini, teruskan dengan penuh istiqomah dan keikhlasan. Jangan berhenti sehingga saudara kita di sana benar-benar mendapat keadilan dan hak mereka.
Kita tidak mampu mengangkat senapang untuk turun berjuang di sana, tapi kita ada pelbagai medium untuk ‘menjahanamkan’ rejim Zionis ini secara halus. Gunakanlah apa saja kemudahan dan teknologi hari ini selagi ia tidak melanggar syariat. Dan sebaik-baik senjata umat Islam itu pastilah doa. Maka, jangan pernah berhenti mendoakan mereka di sana.
Must-Watch Video