Kucing adalah haiwan peliharaan paling popular di kalangan pencinta haiwan. Tidak hairanlah, ia sentiasa mendapat tempat di hati manusia yang tebal sifat kasih-sayangnya. Kebanyakan orang, tidak kira wanita atau lelaki memilih kucing sebagai binatang peliharaan di rumah kerana sifatnya yang manja, mudah dijaga dan sangat memahami jiwa tuannya. Dalam erti kata lain, boleh dijadikan kawan berbual dan berkongsi rasa.


Benarkah kucing mampu mendidik dan membentuk diri manusia? Ya, seorang manusia itu tidak hanya boleh belajar daripada seorang manusia yang lain sahaja. Tuhan mencipta sesuatu itu penuh hikmah dan pengajarannya yang boleh diambil tauladan buat manusia itu sendiri. Maka, penciptaan makhluk bernama kucing itu, bukan hanya sia-sia. Ia sebenarnya boleh dijadikan hikmah untuk makhuk bernama manusia pula.



Kredit Foto: Google




Sifat Murni Seekor Kucing Sebagai Teladan

Banyak sifat kucing yang boleh menjadi pengajaran untuk kita renungi. Sifatnya yang manja dan penuh kasih-sayang membentuk diri tuannya untuk sentiasa berasa belas ikhsan dan menyantuninya dengan adab yang baik. Kucing yang rasa selamat dan disayangi akan dapat mempamerkan rasa itu terus kepada orang yang menjaganya dengan baik. Begitu juga sebaliknya. Kerana itu, setiap kali tuannya balik ke rumah, pasti ia akan mendekati tuannya minta dibelai.


Kucing juga mempunyai sifat sayangkan anak-anaknya. Ibu kucing akan cuba melindungi anak-anaknya sejak ia lahir dari perutnya lagi. Disusui, dihangatkan dan dilindungi daripada gangguang di sekelilingnya. Inilah contoh terbaik untuk ibu-ibu yang menganggap anak-anak itu satu bebanan atau berasakan kurangnya kasih-sayang dalam diri dalam membentuk keperibadian anak-anak.




Kredit Foto: Google




Latih Anak Dengan Tanggungjawab Menerusi Kucing

Ya, inilah salah satu cara terbaik bagaimana membentuk sifat tanggungjawab, disiplin dan penyayang dalam diri anak-anak ketika mereka kecil. Ada orang mengeluh kesah anak-anak tidak punya aktiviti di rumah sehinggakan ibu bapa sanggup berhabis ratusan ringgit menghantar anak menghadiri pelbagai kelas di luar rumah. Sedangkan aktiviti itu boleh saja dipenuhi hanya dengan duduk di rumah. Tetapi, bukan dengan mengadap gajet!


Berikan seekor kucing kepada anak kamu dan ajarinya tentang bagaimana memelihara makhluk itu dengan rasa tanggungjawab dan amanah. Pastikan mereka tahu mengatur masa untuk menyantuni haiwan peliharaan tersebut. Latih anak-anak untuk membersihkan kucing daripada najis dan kotoran, memberi makan dan masa yang sesuai untuk dibawa bermain. Inilah salah satu cara terbaik untuk mereka mula rasa adanya tanggungjawab dalam hidup.





Kredit Foto: Google




Sakitnya Pula Apabila Ia Pergi...

Benar. Inilah yang kebanyakan pemilik kucing kongsikan apabila berdepan dengan tragedi kucing mereka hilang atau lebih menyayat hati saat kematian si comel itu. Sakitnya umpama kehilangan orang yang kita sayang. Ada sesetengahnya tidak mahu lagi memelihara kucing kerana tidak sanggup berdepan dengan kesedihan dek kematian kucing yang sudah bertahun-tahun berada di bawah jagaannya.


Apa pun, di sini jugalah pengajaran terbaik untuk kita mendidik hati menjadi lebih sabar, tabah dan reda. Paling penting, jaga kucing itu seikhlas hari. Pastikan kelengkapannya cukup dan jangan lupa memeriksa kesihatannya hari demi hari. Kucing juga mempunyai penyakit dan alahannya sendiri. Jadi, pastikan kamu tambahkan sikit ilmu mengenai penjagaan kucing yang lebih sempurna.


Kirim salam pada kucingmu itu ya!