gaya hidup
Pemimpin Malaysia Pasti Bangga Miliki RAKYAT Bersatu Hati, Usah Malu Berterima Kasih dan Perbaiki Khilaf
Menurut laporan Awani, keadaan cuaca yang semakin baik dengan ketiadaan hujan lebat di beberapa negeri semalam, memberi sedikit kelegaan kepada mangsa yang terjejas dengan banjir sebelum ini.
Bagaimanapun, terdapat berita duka apabila pihak berkuasa mula merekodkan penemuan mayat mangsa banjir di Selangor dan Pahang. Sebanyak 11 mayat ditemui di Selangor manakala Pahang mencatat jumlah korban seramai enam orang dengan empat lagi dilapor masih hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, Bentong.
Penemuan mayat itu menjadikan 17 orang terkoban dalam kejadian banjir yang melanda lapan negeri, dan mengakibatkan 66,939 mangsa dipindahkan ke 466 pusat pemindahan sementara (PPS) banjir yang dibuka di Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Kuala Lumpur.
Di Selangor, kawasan Taman Sri Muda, merekodkan penemuan lapan mayat sehingga tengah malam tadi. Dua lagi mangsa maut dipercayai lemas dalam kejadian berasingan di Dengkil, Sepang dengan identiti mereka belum dikenal pasti.
Sementara itu, satu lagi kes maut membabitkan seorang lelaki dipercayai pemandu treler yang ditemui di Desa Coalfields, Kuala Selangor, pada Ahad. Di Pahang, operator kilang M.Gunalan, 38, menjadi korban pertama banjir di negeri itu setelah ditemukan maut pada jam 2.22 petang Jumaat (17 Dis) kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilihat terjatuh semasa meredah banjir.
Korban kedua direkodkan membabitkan seorang lelaki yang dilapor hilang pada 1 pagi Ahad, selepas dia dikatakan cuba meredah banjir di Kampung Cempaka bersama seorang rakan dengan menaiki kereta Proton Exora sebelum kenderaan itu terkandas. Bagaimanapun rakannya terselamat.
Dalam pada itu, tiga mayat wanita dan satu lelaki, dipercayai daripada kumpulan lima individu dilapor hilang dalam kejadian banjir lumpur di Telemong, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada Isnin yang memulakan operasi bermula 9 pagi di kawasan mereka dilapor hilang.
Mayat lelaki ditemukan pada jam 1 tengah hari manakala mayat tiga wanita ditemukan pada jam 1.20 tengah hari, jam 2 petang dan jam 4.23 petang, kira-kira dua hingga lima kilometer dari lokasi mereka dilapor hanyut di kawasan sungai di kampung itu.
Itu antara laporan kematian terbaharu yang diterima membabitkan bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri sejak beberapa hari yang lalu. Apabila membabitkan nyawa terkorban, ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh.
Apa lagi kita menerima banyak laporan daripada mangsa banjir yang mengeluh bantuan dan tindakan lambat diambil sehingga ada yang terpaksa bermalan di atas bumbung rumah dalam kesejukan dan kelaparan.
Lebih meruntun jiwa ada anak kecil, ibu mengandung dan warga emas yang uzur terpaksa bertahan daam situasi berbahaya. Harta benda yang musnah usah dihitung. Ramai yang hilang tempat berlindung dan menanggung kerugian yang bukan sedikit.
Namun, menurut kebanyakan mangsa banjir, mereka amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang datang menghulur bantuan yang tidak diketahui datang dari mana dan daripada pelbagai bangsa.
Ada yang menghulurkan makanan dan minuman, menawarkan tempat perlindungan, menyediakan kemudahan bot, bantuan peralatan asas seperti bantal, selimut, pakaian, susu bayi, lampin, ubat-ubatan dan sebagainya.
Dalam musibah yang melanda, dapat dilihat kemuafakatan yang ditunjukkan rakyat Malaysia walau tanpa diarah pihak berkuasa turun membantu mangsa banjir tanpa mengharapkan balasan dan nama.
Walaupun diakui, ada keterbatasan ruang dan kemudahan untuk mengharung banjir menyelamatkan semua mangsa, namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk berusaha sebaik mungkin.
Dalam keadaan sekarang, bukan masanya untuk menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Namun, dalam sesuatu kejadian yang berlaku itu, pasti memerlukan ‘post mortem’ untuk melihat ketirisan di mana-mana agar perkara sama tidak berulang dan kelemahan boleh diperbaiki.
Takdir itu satu perkara. Namun, persediaan itu amatlah perlu dalam memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan bersiap-sedia untuk berdepan dengan apa jua kemungkinan. Seperti kata seorang mangsa, “ini baru bencana alam, belum lagi peperangan!”
Benar juga, jika kerajaan sendiri tiada persediaan rapi, bagaimana mahu menjamin keselamatan dan nyawa rakyat? Tidak salah untuk setiap pemimpin bermuhasabah seketika. Menurunkan sedikit ego, belajar sesuatu daripada kesepakatan rakyat sendiri walau tanpa diarah-arah.
Ia sesuatu yang ‘common-sense’ untuk kita berasa terus bertindak membantu apabila melihat saudara kita berada dalam keadaan sulit. Perasmian, mesyuarat atau majlis rasmi boleh ditunda. Dahulukan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Rakyat juga pasti, pihak berkuasa sudah dimaklumkan awal mengenai ramalan cuaca dan keadaan semasa sebelum banjir melanda bumi. Di manakah kesiapsiagaan kita? Kenapa rakyat tidak diberi amaran awal? Inilah yang kita mahu ia diperhalusi agar tidak berulang lagi sehingga mengorbankan nyawa.
Kepada mangsa banjir, semoga tabah mendepani ujian ini. Kuatkan semangat. Kepada pemimpin yang diberi amanah, pikullah tanggungjawab yang sudah kalian dambakan ini sebaik mungkin. Ingatlah, setiap satu tindakan yang kalian buat yang melibatkan rakyat akan dipersoalkan oleh Tuhan di sana nanti.
Must-Watch Video