Highlights

[PENGAKUAN] “Tiada Hebatnya Jadi GOLD DIGGER. Seronok Sekejap, Duit Banyak Mana Pun Tak Lekat” – Elly.

gempak
Afiza Kamarulzaman
15/08/2020
02:49 MYT
Sponsor Banner
[PENGAKUAN] “Tiada Hebatnya Jadi GOLD DIGGER. Seronok Sekejap, Duit Banyak Mana Pun Tak Lekat” – Elly.
Elly, 28 antara wanita yang terjerumus ke lembah hina itu. Berasal daripada keluarga yang susah dan membesar di sebuah kawasan pedalaman, menjadikan Elly seorang yang sangat mundur dari segala segi. Namun, cita-cita dan angan-angannya besar apabila melihat ada sebilangan teman-teman sekolahnya yang hidup senang dan berduit.
Selepas SPM, Elly terus bekerja di kedai makan membantu keluarganya yang susah. Namun, gaji yang diterimanya tidak banyak mana dan masih tidak mampu menyenangkan hidupnya dan adik-adik. Semakin meningkat usia, kehendak Elly semakin bercabang-cabang. Sesekali dia teringin juga membeli gincu, bertukar baju baru dan beg tangan.
Apabila seorang teman sekolah lamanya pulang ke kampung dengan berkereta Myvi dan kelihatan agak ‘cantik’, Elly mula terpesona. Kata kawannya itu, dia bekerja sebagai promoter di sebuah butik ternama di Kuala Lumpur. Tambah kawannya, kalau bijak dan rajin, banyak cara boleh buat duit di kota besar itu.
Atas rasa ingin cuba yang tidak dapat dibendung lagi, Elly meminta izin ibunya untuk mengikut kawannya itu ke Kuala Lumpur bagi mencuba nasib mencari rezeki di tempat orang.
Kredit Foto: Google
Elly Dilimpahi Peluang dan Wang
Benar kata kawannya itu, Kuala Lumpur ini ibarat lubuk rezeki bagi yang bijak memanfaatkannya. Daripada mengikut kawannya bekerja di butik itu, kemudian dia ditawarkan menjadi model sambilan untuk butik berkenaan. Keistimewaan Elly dikurniakan tubuh yang langsing dan tinggi-lampai orangnya.
Daripada hanya suka-suka membantu majikannya menjadi model katalog, akhirnya banyak peluang datang kepada Elly untuk memperagakan produk mereka. Elly tidak menolak, malah semakin seronok kerana baginya ia kerja yang mudah. Apatah lagi dapat merasa pakai baju cantik-cantik dan disolek indah. Sesuatu yang tak mungkin dinikmatinya sebelum ini.
Dipendekkan cerita, setahun selepas berhijrah ke Kuala Lumpur, kehidupan Elly menjadi semakin baik. Setiap bulan Elly kirimkan wang kepada keluarga di kampung walaupun dia jarang pulang. Namun, adat manusia, tidak pernah berasa puas. Elly tetap berasakan duit gajinya tidak cukup dan mahu mencari wang sampingan lainnya.
Apatah lagi di ibu kota besar ini godaannya sungguh kuat dari segi melihat kemewahan yang diperagakan oleh orang sekeliling. Elly sangat terinspirasi melihat majikannya yang berkereta mewah, membimbit beg berjenama, bercuti ke luar negara dan sentiasa makan di tempat-tempat mewah. Elly teringin!
Kredit Foto: Google
Lembaran Baru Hidup Elly Sebagai Gold Digger
Setelah mengubah imej dirinya dan sudah pandai melaram, Elly kini tampil persis wanita moden idaman kalbu. Kecantikannya mencuri perhatian setiap kali melintasi mana-mana kelab dan hotel. Memang sengaja Elly mengunjungi tempat-tempat yang ‘berpotensi’ untuk dia menjual diri. Ya, Elly semakin bijak setelah diajar oleh teman-teman barunya tentang bagaimana mencari wang sampingan yang lebih mudah dan nampak ‘halal’.
Pancingnya mengena apabila seorang usahawan bertaraf jutawan mula bertukar kad dengannya. Sejak itu, hidup Elly ditaburi kemewahan. Katakan apa sahaja yang diinginkan, pasti tertunai. Beg tangan mewah, jam tangan ribuan ringgit, sepatu luar negara, malah diusung dengan kereta bernilai jutaan ringgit sudah menjadi kenyataan.
Wang tunai dalam tas tangan tidak pernah susut, malah saban bulan ada sahaja yang sudi ‘transfer’ wang mengejut kepada Elly. Nyatakan sahaja amaunnya, pantas tertera jumlah tersebut di dalam akaunnya. Daripada seorang usahawan, bertambah lagi koleksi penaja Elly. Datuk, Tan Sri, anak menteri, semua pernah dicubanya.
“Alah, bukan buat apa pun. Keluar makan, layan borak-borak, dapatlah sagu hati...” kongsi Elly penuh makna.
Kredit Foto: Google
Pelangi, Datangnya Sekejap Saja
Lima ke enam tahun juga Elly hidup dengan kemewahan yang ditaja lelaki sana sini. Menginjak usia lewat 20-an, saham Elly mulai turun. “Perempuan ni pun macam kereta juga. Makin lama, makin turun harganya. Tukarlah spare part macam mana pun, tetapi dikira barang terpakai...” Luah Elly jujur.
Elly akui, kehidupannya ada pasang surut. Walaupun masih dikira muda, namun bagi lelaki mata keranjang, Elly bukan lagi buah yang ranum. Masih ramai gadis-gadis yang lebih segar menanti di luar sana. Saingan sengit. Gadis datang silih berganti, usia adalah pembunuh untuk orang seperti Elly.
Jadi, bagaimana kehidupan Elly sekarang? Mesti banyak aset sudah tersimpan?
Elly hanya ketawa saat diajukan soalan begitu.
“Dalam akaun saya cuma ada tiga ribu ringgit saja. Itu pun duit gaji baru masuk kelmarin. Yang banyak, beg-beg, baju-baju, kasut-kasut. Hahaha...” katanya sambil ketawa manja.
Kenapa tidak menyimpan ketika senang dulu?
“Mana ada gold digger yang senang-lenang seumur hidup? Melainkan jika kamu berjaya menjadi isteri lelaki itu. Bolehlah letak nama atas aset-aset dia. Okeylah, paling saya berjaya dapat pun kereta sebiji. Rumah pun sewa. Tak sempat nak beli, isteri dia dah mengamuk, habis saya kena belasah dengan body guard dia!” Cerita Elly lagi.
Kredit Foto: Google
Untuk Seronok Sementara, Bolehlah...
Sebelum mengakhiri perbualan kami, kata Elly, “Apa-apa pun carilah duit sendiri. Sikit-sikit pun usaha sendiri. Ia lebih berkat dan pasti kamu puas dapat menyimpannya. Tapi kalau nak merasa, cubalah. Hahaha...” Kata Elly dengan ketawa panjang penuh makna.
Namun, dalam nada serius Elly mengharapkan gadis-gadis di luar sana agar menjaga kehormatan diri pada usia yang masih muda dan mentah. Mungkin ada yang akan hanya ketawakan nasihat Elly ini, namun percayalah, kelak kamu akan menyesal, sedangkan waktu itu semuanya sudah terlambat.
Ketika sedang dipuji-puja, sentiasalah beringat dan hati kena kuat. Carilah kawan yang baik untuk didampingi. Kurangkan banyak berangan-angan dan sentiasa ukur baju di badan sendiri. Ingatlah kehidupan ini hanya sementara. Dunia ini hanyalah pentas lakonan yang tidak nyata dan bersifat fantasi. Fokuskan kehidupan untuk di alam sana nanti. Dan, ingat setiap perbuatan jahat kita dihitung, tidak terkecuali walau sebesar hama.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024