Highlights
“Pengorbanan SUAMI Tak Ternilai. Dialah Orang Pertama Pakaikan Saya Tudung, Tengok di Youtube” – Ayu Damit
Penghijrahan Ayu Damit mengenakan tudung dipuji ramai. Namun, tidak ramai yang tahu di sebalik perubahan itu, rupanya suamilah orang yang menjadi pendorong utama. “Ayu terdetik untuk bertudung apabila suami secara berseloroh bertanya, “bila nak pakai tudung?” Ayu balas, “awak pergilah beli”. Tak sangka suami betul-betul pergi beli dan dari hari itulah Ayu tekad bertudung,” cerita Ayu.
Kongsi Ayu lagi, ketika awal bertudung dulu, suami jugalah menjadi orang pertama yang bantu Ayu mengenakan tudung. “Dia gigih google cari di Youtube, cara untuk pakai tudung. Dialah yang bantu ikatkan tudung Ayu kerana masih baru waktu itu.”
Tambah Ayu, pengorbanan suami terhadap dirinya tidak mampu dibalasnya dengan apa cara sekali pun. Kasih sayang dan tanggungjawabnya sangat menyentuh hati. Masih terkenang bagaimana mereka hari pertama tiba di Kuala Lumpur untuk memulakan hidup baru. Waktu itu rumah kosong, tiada apa pun, hanya sebuah televisyen 14 inci. Mereka berusaha bersama sehinggalah ada semua yang mereka miliki hari ini.
Ekonomi Terkesan Tapi Lekas Cari Jalan Keluar
Seperti kebanyakan orang lain yang terkesan dengan pandemik yang melanda negara, Ayu juga tidak terkecuali. Namun, lekas-lekas dia memikirkan jalan keluar bersama suami agar tidak terus menanggung kesempitan hidup dek ketiadaan ‘job’ ketika PKP diumumkan dan masih dilihat tiada kesudahan.
Seperti kebanyakan orang tahu, Ayu kini mengusahakan perniagaan menjual kek pisang dan bauhulu. Dia dan suami juga sibuk mengusahakan ladang cili yang menunggu untuk dituai hasilnya. Bagi Ayu, tiada apa yang perlu dimalukan dalam mencari rezeki yang halal. Janji ada usaha dan mintalah bantuan kawan-kawan untuk bantu promosi demi keluarga.
Bercakap soal kelangsungan hidup, Ayu yang berasal dari Sabah sentiasa ingat kenangan hidup ketika kecil yang mana mereka sekeluarga duduk di rumah atas air. “Kalau tiada makanan, mak dan ayah akan ke laut menangkap udang, ketam dan sebagainya untuk dijadikan lauk.
Saya juga masih ingat ada satu ketika kami ketiadaan beras, hanya tingga satu pot. Jadi, saya masak beras menjadi bubur untuk dimakan kami lima beradik,” kenang Ayu kisah kesusahan mereka waktu kecil dulu. Mungkin inilah kunci kekuatan Ayu sehingga kini.
Dikecam Dek Transformasi Lebih Cantik
“Susah nak puaskan hati semua orang. Kalau kita tak jaga nanti orang kata kita sememeh. Bila dah cantik, orang kata pakai susuk,” luah Ayu apabila dikecam sesetengah netizen dek perubahan dirinya yang kelihatan lebih cantik dan langsing kebelakangan ini.
Ayu memberitahu di dalam program Rumah No.107 bahawa dia ditaja oleh sebuah klinik kecantikan bernilai RM10,000. Bukan bermakna dia keluarkan duit sebanyak itu. Cuma dia boleh melakukan semua rawatan di situ pada nilai tersebut seperti suntikan vitamin dan sebagainya.
“Ya, saya memang ada lakukan rawatan tarik benang pada muka saya untuk bagi tegang. Daripada segi penjagaan badan, saya memang berusaha turunkan berat badan ketika memasuki pertandingan Gegar Vaganza dulu. Dan, memang nampak ketara saya kurus dalam program tersebut,” tambahnya.
Must-Watch Video