Penuh Wad Chef Wan Dengan Hadiah, Tak Putus Orang Melawat – Kita Baik Dengan Orang, Inilah Ganjarannya!

Afiza Kamarulzaman
Februari 26, 2020 15:41 MYT
Jarang kita dengar Dato' Chef Wan atau lebih senang dipanggil Chef Wan sakit atau dimasukkan ke wad. Tiba-tiba, beberapa hari yang lalu Chef Wan berkongsi di Instagramnya yang beliau telah ditahan di hospital kerana diserang penyakit kayap di kakinya. Seperti yang kita sedia maklum, Chef Wan seorang yang gemar berkongsi dengan pengikutnya perihal kehidupan peribadinya tanpa berselindung. Apa yang pengikut baca di kapsyen Instagramnya, itulah realiti sikapnya.
Walau ada kala, kata-katanya itu kedengaran agak tegas dan lantang, namun banyak pula kebenarannya. Maklumlah, kata-kata daripada seorang veteran yang kaya pengalaman, begitulah. Agak panas telinga untuk mendengarnya, namun jika diteliti maksudnya pasti tiada tujuan terselindung melainkan hanya mahu membetulkan kesilapan yang beliau nampak pada mata halusnya.
Pada sisi lain seorang Chef Wan itu, banyak pula kebaikan dan contoh baik yang boleh kita teladani. Jika tidak, masakan ramai yang menyenangi beliau dan terbukti saat beliau terlantar sakit beberapa hari ini, wadnya begitu sibuk dengan kunjungan keluarga, sahabat-handai dan saudara-mara yang tidak putus-putus menziarahinya. Kongsinya pada satu muat naik di Instagramnya, beliau terpaksa menghantar pulang beberapa jambangan bunga dan berbakul-bakul buah-buahan ke rumah kerana meja wad sudah penuh!
Yang baik kita ambil jadikan pedoman untuk kita sebagai generasi muda melalui kehidupan ini dengan lebih baik; kehidupan yang semakin ‘miskin’ dengan nilai-nilai murni dan akhlak yang budiman. Mari kita suburkan kebaikan kepada orang di sekeliling kita, jauhkan sikap pentingkan diri dan berasakan hidup ini hanya untuk ‘aku’ semata-mata. Ini antara yang penulis nampak rutin kebaikan yang selalu Chef Wan amalkan dalam kehidupan sehariannya.
Kebaikan Chef Wan yang Wajar Dijadikan Contoh:
Menjaga dan berbakti kepada ibu
Selalu Membantu Keluarga
Amalan Mengeratkan Silaturahim
Suka Meraikan Teman-Teman
Berbuat Baik Dengan Pembantu
Menjaga Orang Sakit
Dan, mungkin ada banyak lagi kebaikan-kebaikan lain yang dilakukan beliau yang kita sendiri tidak tahu. Apa pun, didoakan Chef Wan lekas sembuh dan diberikan kesihatan yang lebih baik agar dapat terus menabur bakti kepada ibu, keluarga dan masyakarat.
#Chef Wan