Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Highlights

Peranan Usahawan – Jadikan Media Sosial Untuk Mendidik, Beri Inspirasi. Bukan Tayang Kekayaan, Kemewahan Semata.

Huda Hussain 15/07/2020 | 13:25 MYT
Kebelakangan ini, semakin ramai yang menceburi bidang perniagaan. Baik yang muda mahupun masih bergelar mahasiswa, rata-rata orang kita tidak ketinggalan mahu mencuba. Cara mereka berjinak-jinak dalam dunia perniagaan bermula sebagai ejen, dropship dan sebagainya. Tidak kiralah apa jua jenis perniagaan; sama ada kosmetik, makanan mahupun menawarkan perkhidmatan semuanya menjanjikan pulangan sekiranya kita benar-benar berusaha dan bekerja keras. Ya semuanya mahu berniaga.
Lebih-lebih lagi yang mempunyai pengaruh dan ‘kekuatan’ tersendiri di media sosial, semuanya berlumba-lumba mahu cari duit lebih. Sama ada berskala kecil atau besar sesuatu perniagaan itu; sekiranya ia dirancang dengan strategi pemasaran yang tepat, kena pada masa dan selera orang ramai maka untung besarlah.
Kredit Foto: Google
Tetapi Senarionya…
Namun apa yang mengecewakan dalam kalangan masyarakat kita adalah peranan usahawan itu sendiri yang disifatkan sebagai gagal mendidik dan memberi sumber inspirasi. Masakan tidak, di media sosial menjadi tempat bagi mereka menunjukkan segala kekayaan yang diraih hasil daripada perniagaan yang diceburi. Bagaikan berlumba-lumba pula siapa yang membeli atau berjaya dapatkan beg tangan antarabangsa koleksi terbaru.
Ya, tidak semua bertindak sedemikian. Tetapi masih ada dalam kalangan usahawan yang berpendapat perlu menunjukkan gaya hidup mewah di media sosial dalam erti kata lain sebagai mahu memberi inspirasi ataupun menjadi ikutan.
Kredit Foto: Google
Sedangkan mereka yang baru menceburkan diri dalam perniagaan seakan minda telah dicemari dengan stigma berniaga untuk raih kekayaan agar dapat hidup senang-lenang dan mewah. Benar, tak salah berbelanja atau mahu menikmati keuntungan hasil daripada perniagaan yang diusahakan. Cumanya tak perlulah tayang di media sosial. Menjinjit beg tangan ternama, bercuti di hotel enam tujuh bintang, keluar masuk butik fesyen jenama antarabangsa. Selayaknya bukan itu gaya hidup yang seharusnya dipamerkan. Percayalah, kalian akan nampak lebih ‘mahal’ dan eksklusif daripada terus-terusan menunjukkan segala kekayaan dan kemewahan yang ada.
Justeru, Apa Peranan Mereka?
Contohilah ahli perniagaan atau usahawan terkemuka yang lain. Semakin berjaya, semakin menunduk dan merendah diri. Yang kita tidak pernah tahu mereka menaiki kereta apa, tinggal di rumah agam mana, bercuti ke negara mana dan lain-lain lagi. Jadikan platform media sosial untuk berkongsi, mendidik dan memberi inspirasi bagaimana untuk tingkatkan ekonomi sendiri melalui perniagaan. Beri kata-kata semangat.
Kredit Foto: Google
Kalian cipta ruang perniagaan untuk terus membantu dengan menawarkan peluang pekerjaan. Hasilkanlah produk atau apa jua yang bersesuaian untuk membantu meningkatkan taraf hidup orang lain. Nilai yang ada tunjukkan kepada masyarakat di luar sana boleh dijadikan aset yang jauh lebih bernilai untuk orang lain turut sama mengikut jejak kalian.
Manfaatkan pengaruh dan kekuatan pengikut kalian di laman sosial untuk terus berkongsi ilmu dan kepakaran yang ada. Jangan lupa berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan. Jika ikhlas tak perlu ditayang dan dijaja sana sini berapa yang anda sedekahkan. Sebaliknya ajaklah pengikut kalian dan berikan garis panduan yang semampunya untuk menarik perhatian mereka. Dalam pada mereka membeli produk atau hasil keluaran perniagaan kalian, ada nilai tambah yang lain boleh dimanfaatkan. Bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat juga.
#Media Sosial #Usahawan
;