gaya hidup
Perasmian Sukan Olimpik 2020 Tokyo – Tetap Gah Walau Tak Meriah Tanpa Kehadiran Penonton.
Sukan Olimpik 2020 pastinya terpahat dalam sejarah penganjuran sukan bertaraf antarabangsa dan kalendar sukan amnya. Masakan tidak, buat julung kalinya, inilah temasya sukan paling berprestij dirasmikan tanpa kehadiran penonton. Tidak seperti pemandangan yang selalu kita lihat apabila stadium dipenuhi ribuan penonton yang bersorak riang tanda sokongan kepada negara masing-masing. Dan kali ini serasa janggal dan sunyi semuanya kerana pandemik Covid-19.
Kredit Foto: Google
Meski ramai yang teruja mahu menyaksikan dihadapan mata perasmian dari negara tuan rumah yang cukup terkenal dengan teknologi canggihnya; namun semua itu hanya mampu dilihat dari skrin televisyen sahaja.
Memetik sumber dari agensi berita AFP, hampir AS$1.5 bilion (RM6.33 bilion) diperuntukkan penganjur bagi melakukan renovasi Stadium Olimpik yang boleh memuatkan 70,000 kapasiti. Namun demikian upacara pembukaan diarahkan penganjur tanpa kehadiran penonton susulan pandemik Covid-19 yang masih belum reda.
Kredit Foto: Google
Sungguhpun begitu, seramai 950 tetamu kehormat (VIP) dari seluruh dunia termasuk 150 dari Jepun dibenarkan hadir untuk menyaksikan upacara perasmian pembukaan temasya gilang-gemilang ini yang berlangsung hampir tiga jam.
206 kontinjen mengesahkan penyertaan dengan Malaysia menghantar 30 atlet yang akan mempamerkan aksi masing-masing. Sukan Olimpik 2020 dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos menampilkan 27 acara meliputi 10 jenis sukan.
Kredit Foto: Google
Seramai 13 wakil kebangsaan termasuk atlet dan pegawai berarak masuk lengkap berbusana bertemakan Laksamana Hang Tuah. Atlet badminton negara, Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying diberi kepercayaan membawa Jalur Gemilang ketika perarakan masuk kontinjen negara. Enam lagi atlet yang menghadirkan diri pada upacara pembukaan adalah Pandelela Rinong (Terjun), Nur Dhabitah Sabri (Terjun), Ng Yan Yee (Terjun), Phee Jinq En (Renang), Welson Sim (Renang), Farah Ann Abdul Hadi (Gimnastik).
Kredit Foto: Google
Menyingkap mengenai pakaian yang disarung, kontinjen Malaysia tampil segak dan anggun dengan pakaian tradisonal inspirasi daripada lagenda keperwiraan Melayu, Laksamana Hang Tuah. Rekaan pakaian daripada Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam ini mengambil ilham warna Jalur Gemilang untuk menyerlahkan lagi keseluruhan pakaian.
Kredit Foto: Google
Biarpun tidak meriah tanpa kehadiran penonton, titipan semangat terus diberi buat atlet kita agar dapat merangkul kejayaan sekali gus mengharumkan negara walau dihimpit krisis pandemik Covid-19. Semoga kejayaan mengiringi sepanjang perjalanan kalian dalam temasya sukan terbesar dunia ini. Ganbatte Malaysia!