Personaliti

Perempuan Mulut Bisa Itu Biasa Tapi Lelaki Kalau Jenis MULUT LAHAR, Dia Punya Celupar Berdesing Telinga

gempak
Penulis Jemputan
23/02/2021
03:54 MYT
Sponsor Banner
Perempuan Mulut Bisa Itu Biasa Tapi Lelaki Kalau Jenis MULUT LAHAR, Dia Punya Celupar Berdesing Telinga
Teks: Nor Hatina Shuib
Walaupun kajian ada mengatakan wanita lebih banyak bercakap berbanding lelaki, sedarkah kita adakala yang berbicara sedikit itu lebih menyakitkan dan bikin sentap!
Ketika kecil, ibu sering berpesan awal-awal, biar MAK yang berleter seharian, tidak mengapa,nanti kalau AYAH masuk campur dan membebel, kamu juga kecil hati dan merajuk dengan ayat-ayatnya.
Ya, apabila ibu menegur, kesannya kepada psikologi biasa-biasa saja tetapi apabila ayah mengambil alih untuk menasihati, memang terasa sangat. Mahu angkat muka pun rasa malu dan takut.
Betulkan, saat lelaki berbicara sesekali, aduh pedih sungguh, setiap butir bicara menusuk ke sanubari. Tidak kiralah ayah, suami atau rakan lelaki, mereka memang kurang berbicara daripada wanita, tetapi ayat-ayat yang terluah adakalanya membuatkan kita boleh merajuk, kecil hati dan sehingga ke tahap terasa dihina.
Kredit foto: Google
Wanita Wanita Lebih Banyak Bicara, Tetapi Bicara Lelaki Lebih Terkesan
Bayangkan dalam satu hari lelaki hanya menghabiskan sebanyak 20,000 ke 25,000 patah perkataan sehari, tetapi kesannya cukup mendalam terutama saat mereka mengkritik penampilan wanita atau berbicara sesuatu isu berbanding wanita yang menggunakan sebanyak 70,000 hingga ke 75,000 patah perkataan untuk sehari.
Lelaki sememangnya berbeza dengan wanita yang sikapnya lebih peramah dan suka berbicara. Dalam 10 lelaki, hanya 3 daripadanya peramah dan selebihnya suka mendiamkan diri dan hanya bercakap apabila perlu saja.
Tetapi kesannya begitu mengusik jiwa. Selain lelaki pakar menuturkan bicara romantik, lelaki juga hebat dalam berbicara sinis dalam apa juga keadaan.
Sama ada mahu menasihati, menegur , berbincang satu isu ataupun hanya berlawak, memang kesannya ‘ makan dalam’.
Penulis sendiri ketika di saat bangku sekolah dan bekerja, kurang selesa dan gemar menerima teguran daripada lelaki sama ada isu persahabatan atau teguran bab kerja oleh majikan lelaki.
Lebih selesa jika majikan atau ketua wanita yang menegur. Walaupun wanita ini nampak beremosi ketika berbicara, menegur atau menasihati, ayat yang keluar tidaklah berbisa seperti lelaki.
Biasanya, mereka menegur lebih ‘direct’ dan tidak peka serta sensitif dengan penerimaan mereka yang menerima teguran asalkan matlamat mereka sampai saja.
Tidak kurang, teguran majikan lelaki kadang kala memalukan kita sebagai wanita walaupun isu yang mahu ditegur sama saja seperti teguran dibuat bos wanita. Tetapi kaedahnya agak keras dan bersahaja berbanding majikan wanita yang lebih kepada konsep teguran berleter.
Kadangkala diakui, mereka Cuma menegur kesalahan pekerja dan tidak bermaksud apa-apa, tetapi sebagai pekerja wanita, kita akan rasa tidak selesa dan segan apabila lelaki menegur sesuatu perkara.
Kredit foto: Google
Suami Pun Kalau Kritik dan Nasihat Berisiko Buat Isteri Sentap
Bagi yang berumah tangga pula, lain pula kisahnya. Memiliki suami bermulut ‘laser’ memang perlukan kesabaran. Pendiam tetapi mulut cukup PUAKA.
Jenis suami sebegini, mereka menegur dengan cara mereka tersendiri dengan harapan apa yang mahu disampaikan atau dinasihkan buat isteri tersayang sampai terus ke sanubari. Tiada istilah, berlapik atau bermadah.
Tetapi sebagai wanita, macam mana sekalipun tentulah tidak suka suami sinis dalam berbicara. Walaupun, hanya 10 perkataan, kesannya boleh buat isteri berhari-hari sentap dan merajuk.
Tanyalah mana-mana isteri sekalipun, mereka akan rasa sedih dan tidak suka apabila suami menegur. Bicaranya berbisa berbanding si isteri yang berleter.
Bagai manapun, untuk meneruskan perhubungan yang sihat, tidak salah isteri meluahkan rasa tidak selesa anda apabila memiliki suami bermulut puaka. Tambah-tambah lagi yang siap dengan pakej kata makian. Memang meranalah seumur hidup.
Ini mungkin ada kaitan dengan satu kajian di Barat yang mengatakan, lelaki lebih banyak menggunakan otak kiri, iaitu aras berfikir secara saintifik dan logik akal.
Berbanding wanita yang menggunakan otak kanan dan kiri, yang mana fokus otak mereka berupaya mengendalikan beberapa perkara satu masa.
Patutlah wanita boleh berbicara banyak dan pada masa sama boleh mengawal tutur bicara dengan lebih tersusun.
Kredit foto: Google
Media Sosial Turut Jadi Medan Lelaki Banyak Berbicara?
Anda perasan atau tidak, lelaki zaman ini lebih banyak menuturkan bicara mereka di media sosial. Cuba lihat mana-mana page sama ada berita politik, jenayah, hiburan, ekonomi dan isu semasa, ramai lelaki berperang mulut dan bertindih pendapat, sama saja seperti wanita.
Berbeza sifat mereka dalam alam realiti. Mereka yang bersikap pendiam dan cool boleh jadi banyak bercakap di media sosial.
Lebih-lebih lagi isu politik, perkahwinan, poligami atau yang berkaitan dengan mereka, banyak lelaki tidak kira usia berminat untuk mengeluarkan komen atau kritikan sama ada yang membina atau menjatuhkan imej seseorang.
Adakalanya kritikan itu dilihat cukup ‘pedas’, beremosi sama seperti wanita dan penuh dengan kata makian. Malah, agak seram juga melihat ada juga yang komen berunsurkan lucah dan mengaibkan wanita.
Sedangkan ada dalam kalangan yang ‘juara’ di media sosial ini, memiliki sifat sebaliknya. Pendiam, tidak mesra dan nampak ‘alim-alim’ tetapi komen di laman sosial, tidak seperti mereka di alam realiti.
Penulis pernah berhadapan dengan situasi seperti ini. Menerusi satu isu di laman politik orang ternama, rakan lelaki yang bangku sekolah turut komen isu sama. Alahai, rasa terkejut dengan komennya yang begitu angkuh dengan kata makian.
Tidak cukup itu mencarut ayat yang tidak melambangkan peribadi beliau yang sebelum ini dikenali sebagai lelaki sopan.
Nampak ramai juga lelaki tunjuk belang masing-masing apabila menegur selebriti atau instafamous yang berkongsi gambar mereka di media sosial masing-masing.
Sedih melihat peribadi lelaki yang hanya juara di media sosial. Mengkritik tanpa sedar bicara mereka itu cukup keterlaluan. Itu belum lagi bercakap bukan –bukan berkenaan tubuh wanita dengan ironi dan sensual.
Pernah juga intai di sebalik pemilik akaun. Membelek gambar keluarga sang jejaka nampak begitu sopan, bapa penyayang, suami yang bertanggungjawab, tetapi sanggup komen berbaur fitnah dan lucah di Facebook atau Instagram orang lain.
Berdoalah supaya mereka ini bukan lelaki dalam kalangan keluarga kita dan membicarakan hal yang baik-baik saja.
Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Peribahasa ini amat sesuai dijadikan panduan dan peringatan kepada mereka yang lancang dalam berkata-kata tidak kira wanita atau lelaki.
Sedarilah, kadang kala diam itu lebih banyak kebaikan daripada banyaknya bicara. Kadangkala, tanpa sedar, ada hati yang sudah kita guris untuk kepuasan diri.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW mengingatkan di dalam hadis baginda.Sabda Nabi Muhammad SAW: "Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak ke lahannya banyaklah dosanya dan siapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya." (Riwayat al-Baihaqi)
Kredit foto: Google
Jom Lihat Beza Sifat Lelaki dan Wanita.
1. Lelaki lebih sesuai memandu pada waktu malam kerana jarak penglihatan lebih jauh manakala wanita sesuai memandu pada waktu siang yang mana sudut pandang mereka lebih luas dan peka.
2. Kulit lelaki lebih tebal berbanding wanita. Tidak hairanlah kulit wanita lebih cepat mengalami penuaan dan memerlukan penjagaan rapi.
3. Lelaki boleh mengeluarkan 40 patah perkayaan dalam masa satu minit ketika bercakap manakala wanita pula boleh mengeluarkan 100 patah perkataan dalam masa satu minit ketika bercakap.
4. Kuota untuk bercakap bagi seorang lelaki ialah 7,000 perkataan sehari dan kurang bercakap pada waktu malam dan wanita pula sehari antara 20,000 hingga 25,000 patah perkataan.
5. Ketika tidur, aktiviti otak seorang lelaki akan berhenti berehat, manakala aktiviti wanita masih bekerja ketika tidur. Tidak hairanlah wanita lebih peka dan cepat terjaga pada waktu malam berbanding lelaki terutama ketika bayi menangis atau anak sakit.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live