Bersiaran untuk episod kedua, rancangan Luar Biasa yang dihoskan Norman Hakim dan Shiha Zikir malam ini cukup menyentuh emosi. Mohd Nor Amirul Shukran, salah seorang peserta Program Ready To Work (RTW) kini bertugas di bahagian Sumber Manusia, Daihatsu Perodua Engine Manufacturing di Senawang Negeri Sembilan. Dan sepanjang lensa merakamkan aksinya, jelas terpancar kegembiraan dan kesyukurannya yang kini mampu berjalan semula.

Kredit Foto: Astro Prima

“Sebelum sakit ni saya bekerja di bahagian Pengeluaran, jaga mesin-mesin. Memang aktif ke sana-sini. Tapi sekarang pergerakan terbatas,” ujar Amirul membuka cerita. Semangatnya ketika bekerja sememangnya terbukti. Tetapi ia bagaikan direntap apabila Amirul diuji dengan kemalangan jalan raya ketika mahu ke tempat kerja. Serasa gelap dunia, tiada sinar apatah lagi masa depan untuknya kembali pulih. Itulah yang dirasainya sewaktu awal kemalangan dahulu. “Masuk wad bulan 10 tahun 2019. Memang rasa down. Malas nak fikir pasal apa orang nak kata. Pendek kata lantaklah apa nak jadi,” luahnya sambil sesekali menyeka air matanya menceritakan kembali peristiwa yang memeritkan keadaannya dua tahun lalu.

Kredit Foto: Astro Prima

Hampir lima ke enam kali menjalani pembedahan, entah bagaimana Amirul mula menemui kekuatan. “Tak tahu macam mana terfikir, dunia ni memang tempat untuk kita diuji. Saya pegang kata-kata tu dan fikir untuk cuba push diri. Dulu selepas accident dah tak ada kaki. Kiranya dah setahun tak pakai kaki, jadi bila dah dapat kaki tu saya degil. Nak juga berjalan macam orang lain” kongsinya lagi.

Kredit Foto: Astro Prima

Mengalami amputasi kaki kanan akibat kemalangan jalan raya ke tempat kerja, dia tidak menyangka menerima panggilan daripada Perkeso dan layak menyertai program ini. Menjalani sesi rawatan pemulihan, reahabilitasi dan latihan di Pusat Rehabilitasi Perkeso yang terletak di Ayer Keroh Melaka, secara tidak langsung memberi sinar dan harapan baru buat Amirul. “Di sana saya tengok ada yang lebih teruk daripada saya. Dan dari situlah juga saya cuba push supaya lebih bersemangat. Setiap hari training, masuk kelas, buat terapi sampailah dapat kaki palsu,” terangnya bersungguh.

Kredit Foto: Astro Prima

Dan semua itu tidak akan mampu dirasai tanpa bantuan Nor Azieemah Ismail, Pengurus Kes Pejabat Perkeso Negeri Sembilan. Menerusi tindakan proaktif, menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan Amirul yang dulunya hilang semangat, kurang yakin, rasa diri tak inclusive dengan masyarakat dapat kembali bekerja. Menurut Azieemah lagi penglibatan dengan pihak majikan amat penting dan perlu untuk mencapai matlamat orang berinsurans agar dapat kembali bekerja dengan mengenal pasti dan menyesuaikan skop tugasan, kapasiti fizikal, kenal pasti inisiatif yang terbaik untuk pencarum. Menyambut baik usaha itu, pihak majikan menerusi Pegawai Eksekutif Daihatsu Perodua Engine Manufacturing Abd Rahman Ismail memainkan peranan dengan membantu Amirul menghadapi situasi sukar ini.

Berdasarkan perkongsian Roshaimi Mat Rosely, Ketua Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso, program RTW ini antara lain berobjektif untuk:
  1. Membantu pencarum mengatasi masalah hilang upaya yang dialami
  2. Memastikan pencarum dapat kemabli semula bekerja
  3. Memastikan keselamatan mereka terus terpelihara.
Kredit Foto: Astro Prima

Datin Paduka Dr Tunku Nor Taayah Tunku Zubir, Pakar Perubatan Rehabilitasi berkongsi mengenai prosedur dan langkah awal yang dimulakan dalam mengendalikan setiap kes. Selain mengenal pasti ketidak upayaan dan tahap kecederaan yang dihadapi pada peringkat awal, ujarnya lagi ketika merujuk kes Amirul, “Kita kuatkan otot, ajar cara bagaimana nak imbangkan badan, kemudian kita ajar bagaimana dia boleh berdiri, berjalan guna alat bantuan, penjagaan bahagian yang luka, juga paling penting latihan pemakaian kaki palsu,” hurainya lanjut. Penting bagi mereka untuk mengembalikan semangat dan moral yang tinggi selain memberi galakan dan perangsang bahawa setiap orang berinsurans boleh dan mampu menjalani kehidupan seperti sedia kala dengan penyesuaian mengikut keadaan.

Semoga perkongsian kisah Amirul mampu membangkitkan semangat sesiapa jua diluar sana yang senasib dengannya. Bagi anda yang diuji dengan kes kemalangan atau hilang upaya misalnya dan dalam masa sama mahu kembali bekerja seperti sebelumnya; jangan berlengah untuk mendapatkan maklumat jelas dan terperinci mengenai program RTW ini. Rundingan dan butiran selanjutnya pasti dapat membantu lebih ramai orang berinsurans atau pencarum untuk mendapatkan informasi lengkap tentang apa yang perlu dilakukan seterusnya. Bukan sekadar bantuan dalam bentuk pampasan, banyak lagi perkhidmatan disediakan untuk membantu anda. Hubungi talian Perkeso ataupun kunjungi cawangan berhampiran. Berkat usaha, ikhtiar dan doa, pasti ada penawar dan solusi terbaik untuk semua.