Personaliti

“Pernah Dua Tiga Bulan Tak Bayar Sewa Rumah, Nak Kena Halau Dah...” Stacy Kongsi ‘Struggle’ Bergelar Selebriti.

gempak
Huda Hussain
21/04/2021
08:12 MYT
Sponsor Banner
“Pernah Dua Tiga Bulan Tak Bayar Sewa Rumah, Nak Kena Halau Dah...” Stacy Kongsi ‘Struggle’ Bergelar Selebriti.
Menghiasi paparan Media Hiburan Throwback minggu ini, hosnya Radin menyingkap serba sedikit kehidupan dan populariti yang pernah dikecapi pasangan selebriti suami isteri Akim Ahmad dan Stacy ataupun nama Islamnya Ummu Syaikhah Stacy Abdullah. Lebih menarik, sesi penggambaran episod kali ini diadakan di studio milik mereka, Rhythm and Rhyme. Studio yang turut menempatkan ruang untuk latihan menari, yang sinonim dengan aksi lincah Stacy juga studio fotografi diterokai Radin dan kru Media Hiburan Throwback. Studio ini juga berfungsi sebagai tempat untuk membina keyakinan diri sebagai langkah persediaan membuat persembahan pentas. Juga Stacy memanfaatkan ruang yang ada untuk mengajar sesiapa yang menghadiri kelas tarinya. Teruja bercampur berdebar mahu imbau semula saat mula menapak dalam industri, melihat kembali petikan artikel dari Media Hiburan, kedua-duanya dilihat cukup sporting melayan satu persatu artikel yang ditunjukkan Radin.
Kredit Foto: Astro Prima
‘Akim Mengaku Kerap Ke Pusat Hiburan’ Berdekah-dekah Akim dan Stacy berbalas ketawa saat Radin membaca petikan artikel ini yang diterbitkan pada Januari 2010. Sambil mengimbas stail potongan rambut yang dikatakan pernah menjadi ikutan ramai, ujar Akim, “Tak salah pun masuk kelab malam. Memang saya mengaku, waktu muda-muda dulu saya pergi ke sana. Tapi bila dah kahwin ni, takkan nak tinggal anak masuk kelab kan?” terangnya bersungguh. Sekadar mahukan kepastian, Radin mencungkil bibit-bibit pertemuan antara Akim dan Stacy. “Kita kenal buat pertama kali waktu Akim AF finale. Dan saya perform masa tu. Saja-sajalah tengok junior AF saya ni. Walaupun saya baru setahun jagung dalam industri. Dan dalam ramai-ramai tu, saya tengoklah eh macam ‘helok’ rambut yang ke depan tu,” tutur Stacy ringkas.
Kredit Foto: Astro Prima
'Chaq & Stacy Selesa Di Kediaman Baru' Tatkala Radin mengunjukkan artikel yang telah dibingkaikan ini, terpinga-pinga wajah Stacy melihatnya. “Oh, masa ni sewa rumah. Tak mampu lagi nak beli waktu tu” akuinya jujur. Berkongsi kisah perjalanan seorang gadis dari Penampang, Sabah hingga menjejakkan kaki di Kuala Lumpur, Stacy sama sekali tidak pernah melupakan bagaimana sukar dan peritnya dia memulakan kehidupan sebagai perantauan. “Ini saya tak pernah cerita di mana-mana. Masa tahun pertama atau tahun kedua, memang struggle. Pernah sampai tak bayar sewa rumah. Ya lah jadi penyanyi ini, kita bukan dapat gaji setiap bulan. Kita tunggu ada job dan lepas tu dah dapat job kena tunggu bila dapat payment pula. Jadi memang struggle. Famili pula bukan orang senang. Bila dalam keadaan seperti itu, tiada tempat nak cari. Pernah dua tiga bulan tak bayar sewa, nak kena halau dah waktu itu. Sampaikan tak fikir lagi kalau tidur di luar ke, bergaduh dengan tuan rumah ke. Memang struggle sangat,” hurai Stacy lagi.
‘Nubhan, Akim Dan Dafi Mencari Cinta Sejati’ Kala bingkai artikel ini bertukar tangan, selamba saja respon Akim, “Oh… Ada gambar ex boyfriend awak lah” seraya begegak gempita ketiga-tiga mereka tertawa. Lantas membawa kepada luahan hati mengapa Stacy yang menjadi pilihannya untuk dijadikan isteri. “Dia seorang yang nampak kasar tapi lembut,” ujar Akim seraya berbunga riak wajah Stacy mendengarnya.
‘Akim Cinta Baharu Juliana Evans’ Artikel yang diterbitkan pada 2012 ini menggandingkan Akim dengan Cik Puan Juliana Evans dalam satu drama bersiri pendek ‘Cornetto Inikah Cinta?’. Dan apabila ditanya Radin sama ada Stacy cemburu atau tidak memandangkan ketika itu mereka sudahpun menjalin cinta, “Jauh betul, mustahil,” jawabnya seraya disambut hilai tawa mereka.
Kredit Foto: Astro Prima
‘Kulit Stacy Terbakar Kerana Pelangi Senja’ Menyorot kembali kenangan ketika menjalani sesi penggambaran video muzik Pelangi Senja yang pernah hit suatu ketika dulu, jelas Stacy banyak momen yang terpaksa dilaluinya untuk menyudahkan klip video muzik ini. Dilakukan di Semporna, Sabah dia rupanya pernah menelefon Akim berkata tapak sulaiman disitu warna warni ronanya. Serentak itu ujar Stacy, “Bila tengok ni, ia membawa kenangan disebalik cerita dan antara sebab Stacy berkahwin dengan Akim. Waktu shoot ni, pernah muka naik jerawat. Dan dek kerana makan ubat, badan pula mengembang. Tapi abang tak pernah lari walau saya gemuk,” ulasnya lagi dan memaktubkan kata itu ulas Akim, “Saya terima seadanya” komennya jujur.
‘Stacy Tak Perlu Lelaki Kaya’ Melihat fotonya sendiri yang tampil lebih langsing dan bergaya, “Oh… Waktu ni dah agak yakin sedikit. Dah kurus,” ulasnya menguntum senyum. Cuba mencungkil kisah disebalik tajuk artikel ini, Raden mendapatkan kepastian sama ada punya cerita yang tersendiri. “Mungkin ada seseorang yang dah stabil dalam industri cuba menghampiri Stacy ke atau macam mana?” soal Raden. Tidak menolak andaian itu, bagi isteri Akim Ahmad ini, “Benda-benda sebegini memang ada dalam industri. Lebih-lebih lagi perempuan. Dan mungkin saya bercakap begitu kerana sudah terbiasa. Waktu sekolah dahulu misalnya memang dah terbiasa dengan survival sendiri. Berdikari, cari duit sendiri. Tak dapat lelaki kaya pun tak mengapa,” ujarnya lagi.
Kredit Foto: Astro Prima
‘Akim Mahukan Perhatian’ Rupa-rupanya sebelum pasangan selebriti ini berkahwin, percintaan yang terjalin antara mereka pernah terputus di pertengahan jalan. “Kita bergaduh besar time ni yang” ujar Stacy kala melihat fotonya yang tampil mengenakan skirt dan jaket kulit hitam. “Sebenarnya sepanjang enam tahun kami berkawan, banyak kali sebenarnya kami putus-sambung-putus-sambung. Tetapi frasa tak boleh hidup tanpa kamu sememangnya kena dalam perhubungan kami. Walaupun dua-dua buat hal, masing-masing ada ego tapi sesama kami saling menampung kekurangan dan kelebihan yang ada. Seimbang lah kata orang. Kalau bergaduh macam mana sekalipun, tak boleh kalau tiada dia. Dan kami berkongsi rasa yang sama.” akui Stacy.
Nak tahu apa lagi yang diimbas Akim dan Stacy? Jangan lupa tonton Media Hiburan Throwback yang bersiaran setiap Rabu 9.00 malam di Astro Prima.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live