Anmum Essential membina IQ dan membentuk EQ. Anak korang menjadi hebat!

Pfizer, Sinovac dan Astra Zeneca – Apa Bezanya? Kenapa Ada Yang Nak Pilih-Pilih? Betul Ke Faham Atau Hanya Ikut Orang?

Afiza Kamarulzaman
17/06/2021 14:50 MYT
Situasi 1 (Pfizer):
“Doktor, saya nak cucuk Pfizer saja sebab keberkesanannya paling tinggi.”


Situasi 2 (Sinovac):
“Doktor, saya banyak baca di internet, orang cakap vaksin Sinovac ni lebih sesuai untuk orang Asia.”


Situasi 3:
“Doktor, saya tak kisah mana-mana pun, janji saya dapat cucuk sekarang.”



Begitulah beberapa situasi yang berlaku dalam kalangan masyakarat kita sejak vaksin Covid-19 diperkenalkan di negara ini. Walaupun pada awalnya terdapat banyak mitos dan pandangan negatif berkenaan vaksin yang dibawa masuk ini, tapi nampaknya ia semakin terhakis apabila peratusan rakyat yang memohon vaksin semakin meningkat.


Cuma yang menimbukan isu sekarang ini apabila terdapat lebih daripada satu jenis vaksin diperkenalkan kerajaan di Malaysia selain Pfizer yang pertamanya dulu. Orang mula berdebat tentang keberkesanan dan risiko setiap satu vaksin yang mahu diambil. Sejauh mana kebenaran adanya perbezaan vaksin-vaksin ini?


Menerusi videonya di Youtube, Dr. Ikram Rauhi, MD berkongsi informasi dan perbezaan antara ketiga-tiga vaksin Covid-19 yang dibawa masuk ke Malaysia.




Dr Ikram Rauhi, MD



Imuniti dan Vaksin


Sebelum pergi lebih lanjut tentang vaksin, Dr. Ikram mahu masyarakat fahami dulu apa yang dimaksudkan dengan imuniti? “Kita perlu faham bagaimana badan melawan virus? Apabila virus masuk ke dalam badan, sistem dalam badan akan berkenalan terlebih dulu dengan virus yang datang untuk memahami jenisnya. Kemudian, ia akan pilih senjata yang sesuai untuk melawan virus ini.”




Ketika itu, badan akan mula menunjukkan simptom seperti demam, lenguh badan dan sakit urat. Apabila sudah tahu cara untuk melawan, badan akan mudah untuk melindungi diri daripada virus ini. Inilah yang dipanggil imuniti.


Jelas Dr. Ikram tentang vaksin pula, “ia adalah pemudah cara untuk badan melawan virus-virus dengan merangsang badan menghasilkan antibodi. Jadi, jangka masa yang lama dulu untuk melawan virus akan menjadi pendek dengan adanya vaksin dalam badan.


Kesimpulannya, vaksin meringkas atau memendekkan masa untuk badan melawan jangkitan virus.”






Kenapa Perlu Ada Banyak Pilihan Vaksin?


Ada yang tanya kenapa kerajaan membawa masuk banyak jenis vaksin ke Malaysia? Jawab Dr. Ikram, “kita perlu faham, terdapat banyak lagi negara yang sedang menunggu giliran untuk membeli vaksin ini. Jika kita hanya memesan Pfizer saja, ia akan melambatkan proses vaksinasi untuk seluruh rakyat Malaysia, mungkin boleh menjangkau sehingga 10 tahun.


Jadi, kerajaan memecahkan pembelian ini kepada beberapa jenis seperti Pfizer, Astra Zeneca, Cansinobio dan Sputnik V.



Kriteria Dalam Pemilihan Vaksin


Inilah yang menjadi pendebatan dan pertelingkahan segelintir rakyat Malaysia tentang keberkesanan sesuatu vaksin itu. Ada yang hanya melihat daripada segi effectiveness sahaja tapi sebenarnya terdapat beberapa elemen lain yang membezakan semua vaksin ini yang perlu difahami seperti:


Kenapa ramai hanya memandang pada faktor keberkesanan sahaja? Dikatakan Pfizer mempunyai keberkesanan sebanyak 95%, manakala Sinovac antara 50.4 ke 91.25%. Sebenarnya, lebih tepat lagi keberkesanan itu bergantung pada keturunan dan genetik masyarakat di sesuatu negara tersebut.


Sebagai contoh terbaru di Thailand, dilaporkan selepas rakyatnya menyuntik dos ke dua vaksin Sinovac, selepas dua minggu, keberkesanannya meningkat sehingga 99.4%. Jelas Dr. Ikram, “kita perlu faham standard atau KPI yang digunakan vaksin itu dan jika sudah lebih 50%, ia telah dikira berkesan untuk digunakan kepada masyarakat.”


Cuba lihat contoh vaksin Influenza, keberkesanannya hanya 50 ke 60% sahaja tetapi itu sudah memadai untuk mengekang penularan wabak tersebut.






Kenali Vaksin Pfizer


Ia menggunakan teknologi baru. Perlu diketahui bahawa di luar virus Covid-19 terdapat spike protein yang menjadi salah satu komponen virus ini yang menyebabkan jangkitan. Teknologi mRna bertindak menghancurkan protein virus Covid-19. Protein yang dihasilkan dalam badan ini akan merangsang badan menghasilkan antibodi untuk melawan jangkitan.


Ya, mRna lebih mudah dan cepat untuk dihasilkan namun masalahnya pula daripada segi penyimpanannya, di mana ia memerlukan suhu -70℃, maka ia amat susah untuk diedarkan ke kawasan-kawasan pedalaman dan jauh.









Apa Pula Vaksin Sinovac?


Ia menggunakan teknologi Inactivated Virus di mana virus yang telah mati disuntik dalam badan manusia. Apabila ini berlaku, badan akan melawan virus yang mati itu dan menghasilkan antibodi untuk melawan jangkitan seterusnya.


Teknologi ini sudah lama digunapakai, malah pernah digunakan untuk penyakit Polio dan Rabies sebelum ini. Dan, ya ia terbukti berkesan. Ia hanya perlu disimpan dalam suhu 2 ke 8℃ sahaja.







Bagaimana Dengan Vaksin Astra Zeneca?


Ia menggunakan teknologi Viral Vector di mana virus diubahsuai untuk dipindahkan ke antigen genetic code ke badan manusia yang kemudiannya menghasilkan antibodi untuk menahan serangan virus. Ia berkesan sebanyak 62 ke 90% dan ini sudah memadai untuk melawan virus Covid-19.


Timbul pula spekulasi yang mengaitkan vaksin ini dengan blood clot atau gumpalan darah. Hakikatnya risiko suntikan vaksin ini hanya 0.0004 sahaja berbanding jika terkensa serangan Covid-19 ini, risiko mengalami gumpalan darah adalah lebih 16.5%. Jadi, yang mana lebih berisiko?



Imuniti Berkelompok (Herd Immunity)


Di sinilah matlamat pemberian vaksin yang dilakukan kerajaan sekarang ini yang mana kita mahu mencapai imuniti bekelompok. Herd Immunity/imuniti kelompok ialah keadaan penularan jangkitan penyakit tidak dapat berlaku kerana sebahagian besar masyarakat itu mempunyai imuniti atau daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit itu.


Imuniti atau daya tahan itu diperoleh hasil imunisasi. Menurut WHO, dianggarkan 60 hingga 70% populasi dunia perlu mempunyai daya tahan terhadap Covid-19 bagi membolehkan 'imuniti kelompok' dapat dicapai dan penularan virus ini dapat dikawal.


Sebagai contoh lihat negara seperti Amerika dan UK, lebih 60% sudah divaksin dan ia dianggap berjaya apabila jangkitan kes Covid-19 turun mendadak. Jadi, marilah kita sama-sama menyumbang kepada imuniti berkelompok ini untuk lindungi diri, keluarga, msyarakat dan negara.












#pfizer #Sinovac #Astra Zeneca
;