Highlights

PKPB – 10 Perkara Paling Rindu Nak Buat Sepanjang Puasa Dan Sambut Hari Raya Tahun Ini

gempak
Huda Hussain
12/05/2020
15:52 MYT
Sponsor Banner
PKPB – 10 Perkara Paling Rindu Nak Buat Sepanjang Puasa Dan Sambut Hari Raya Tahun Ini
Hanya Allah sahaja yang mengetahui apa yang tersirat disebalik musibah Covid-19 yang kini sudahpun mengorbankan 285,445 nyawa (sehingga artikel ini ditulis) dan melibatkan 186 buah negara. Bermula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 berkuatkuasa sejak 18 Mac hingga 31 Mac, kemudian dilanjutkan bermula 31 Mac hingga 14 April (PKP Fasa 2) seterusnya disambung lagi selama dua minggu bermula 15 April hingga 28 April (PKP Fasa 3. Memandangkan kes positif terus meningkat, PKP Fasa 4 terus bersambung sejak 29 April hingga 12 Mei. Dan Terkini PKPB (Fasa 5) dilanjutkan bermula 13 Mei hingga 9 Jun.
Sungguh, bukan mudah pihak kerajaan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan penglibatan kementerian-kementerian lain mahu menyusun semua ini. Ia dilakukan demi keselamatan masyarakat kita di seluruh negara. Daripada sebelum Ramadan bahkan hingga selepas 17 Syawal, kita sering diingatkan untuk kekal memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) terus dipatuhi. Antaranya termasuk penjarakan sosial diamalkan, langkah-langkah penjagaan diri seperti kerap mencuci tangan dengan sabun atau hand sanitizer, memakai topeng muka dijadikan sebagai rutin normal baharu dalam kehidupan seharian.
Tidak dinafikan lagi, rutin menjalani Ramadan berubah drastik bagaikan 360 darjah. Siapa sangka kita cuma mampu duduk dirumah dan hanya dibenarkan keluar apabila perlu sahaja. Dan ini antara rutin atau perkara yang kita rindukan untuk melakukannya, lebih-lebih lagi sepanjang Ramadan dan membuat persiapan menjelang 1 Syawal:
​Kredit Foto: Google
1. Rindu Mahu Ke Masjid Bersolat Tarawih
Sejak masjid dan surau diarahkan tutup, serasa sunyi saja. Hati jadi sayu saat melihat rumah-rumah Allah tidak lagi diimarahkan seperti biasa. Masjid yang menjadi pusat peribadatan dan lambing penyatuan umat Islam sunyi disana sini. Melihat pintu yang terkunci rapat, diletakkan plastik sebagai kawasan larangan sudah cukup membuatkan hati kita tersentuh. Lantaran itu, kita diingatkan untuk menunaikan solat dirumah sahaja. Inilah salah satu hikmahnya, jalinan erat dan kasih sayang sesama keluarga kembali bertaut apabila hampir setiap waktu menunaikan solat berjemaah. ​​
2. Rindu Mahu Berbuka Puasa Bersama Keluarga
Jika tidak, awal puasa atau minggu pertama Ramadan ada dalam kalangan warga kota yang sanggup mengambil cuti dan memperuntukkan masa untuk berbuka puasa bersama keluarga dikampung. Namun demikian amalan itu tidak lagi dibolehkan susulan arahan rentas negeri tidak membenarkan kita berbuat demikian. Beruntunglah bagi mereka yang tinggal berdekatan ataupun satu daerah dengan keluarga. Sekurang-kurangnya dapat juga menjenguk ibu bapa dan berbuka puasa bersama mereka.
3. Rindu Mahu Ke Bazar Ramadan
Susulan arahan Bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19, rata-rata masyarakat kita semakin aktif dan rajin ke dapur. Pelbagai menu dicuba. Ada yang menjadi, ada yang tidak. Dan sebagai alternatif, Bazar Ramadan Online atau -bazar ditawarkan sebagai platform menjual pelbagai juadah dan hidangan berbuka puasa. Daripada lauk-lauk, kuih-muih, minuman dan banyak lagi makanan disediakan untuk tempahan secara online.
Kredit Foto: Google
4. Rindu Mahu Berbuka Puasa Di Luar
Menjadi kebiasaan bagi masyarakat kita berbuka puasa di luar. Sama ada restoran ataupun menikmati juadah buffet Ramadan di hotel-hotel, amalan ini juga antara yang dirindui untuk dilalui bersama keluarga mahupun teman-teman. Walaupun restoran dan kedai makan dibenarkan beroperasi, tetapi beberapa syarat dan pematuhan ketat perlu dipatuhi. Misalnya jarak antara meja makan perlu sekurang-kurangnya dua meter. Namun masih ramai yang bimbang untuk berbuka puasa di restoran atau menikmati pelbagai menu buffet Ramadan yang ditawarkan. Semua ini kerana kerisauan masih ada dalam kalangan masyarakat. Sudahnya, hanya masak sendiri dirumah atau menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan yang disifatkan lebih terjamin.
5. Rindu Ziarah Rumah Orang-Orang Tua, Raikan Anak-Anak Yatim
Bagaikan sudah menjadi budaya bagi sesetengah organisasi, syarikat korporat, pertubuhan kebajikan mahupun individu untuk melakukan amalan ini terutamanya dalam bulan Ramadan. Menyantuni golongan asnaf, sama ada berbuka puasa bersama anak-anak tahfiz, anak-anak yatim mahupun meluangkan masa dengan menziarahi orang-orang tua amat dirindui. Sambil menziarah, ada yang mengambil kesempatan menghulurkan sumbangan dan bantuan Aidilfitri seperti membeli baju raya dan menyampaikan duit raya. Apa khabarlah agaknya mereka di rumah-rumah kebajikan ya? Harapnya semua baik-baik dan sihat hendaknya.
Kredit Foto: Google
6. Rindu Mahu ‘Shopping’ Raya
Aktiviti paling digemari rakyat Malaysia! Pusat membeli-belah, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid India, Shah Alam, Bangi Sentral dan banyak lagi lokasi tumpuan membeli-belah sempena persiapan menyambut Hari Raya bertukar sepi. Jika tidak, dengan tempoh berbaki 10 hari Ramadan; di sana-sini sesak dengan orang ramai yang berpusu-pusu membanjiri kawasan ini untuk membeli baju raya dan pelbagai kelengkapan meraikan 1 Syawal. Namun semua itu tidak dapat dilakukan tahun ini walaupun ada peniaga yang sudah mula berniaga. Kerana rata-rata masyarakat masih bimbang dan takut untuk keluar membeli-belah barang keperluan raya seperti biasa.
7. Rindu Nak Balik Kampung
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf terlebih dahulu kepada seluruh rakyat Malaysia ketika mengumumkan perincian perkara ini. Hal ini kerana sejak PKP berkuatkuasa, rentas negeri untuk tidak dibenarkan kecuali bagi hal-hal kecemasan seperti kematian. Dan arahan yang sama masih dikekalkan. Lantaran itu, rentas negeri bagi menyambut Hari Raya dan balik kampung masih tidak dibenarkan. Maka luluhlah hati anak-anak yang tinggal di perantauan. Apakan daya, semua ini dilakukan demi mencegah penularan dan memutuskan rantaian Covid-19. Hanya mampu lakukan video call sahaja untuk melepas rindu ahli keluarga dan saudara-mara di kampung halaman. Kuatkan semangat okey!
Kredit Foto: Google
8. Rindu Nak Bersalam-Salaman, Peluk Cium Ahli Keluarga
Walaupun PKPB memberi kelonggaran yang membolehkan ziarah Hari Raya sesama jiran dan ahli keluarga yang tidak melebihi 20 orang pada satu-satu masa dan dalam daerah yang sama, namun amalan penjarakan sosial tetap perlu dipatuhi. Lantaran itu, pihak KKM mengingatkan agar amalan bersalaman dan peluk cium ketika bertemu saudara-mara dan sahabat handai perlu dielak bagi mengekang penularan Covid-19. Lebih-lebih lagi bagi warga emas, mereka adalah kelompok yang berisiko tinggi untuk dijangkiti. Moga dijauhkan hendaknya. Hati-hati okey!
9. Rindu Nak Konvoi Raya
Masih ingat dengan iklan Raya Tenaga Nasional Berhad (TNB) tahun lalu mengenai kisah Nabila dengan atuknya dan seluruh ahli keluarga yang konvoi beraya? Alahai, rindu rasanya nak ulangi rutin dan amalan ziarah-menziarahi saudara-mara sempena Aidilfitri ini. Tetapi apakan daya, tahun ini kita hanya beraya dirumah saja. Paling tidakpun cuma berkunjung ke rumah jiran. Maka, hasrat untuk konvoi raya ini harapnya dapat dilakukan pada Aidilfitri tahun hadapan. Insya-Allah.
Kredit Foto: Google
10. Rindu Mahu Ke Rumah Terbuka
Boleh dikatakan aktiviti ini sudah menjadi tradisi dan budaya dalam kalangan masyarakat kita menganjurkan rumah terbuka. Tidak kiralah sama ada berskala kecil atau besar-besaran, orang kenamaan, syarikat korporat mahupun entiti keluarga; amalan ini antara yang paling dirindui untuk kita meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa. Selain dapat berkumpul, ia juga disifatkan menjadi wadah penyatan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Ya, kalau sebulan berpuasa maka sebulan jugalah rumah terbuka sana sini. Oh, rindunya!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live