Lagu Balik Kampung nyanyian Allahyarham Sudirman Hj Arshad kembali memenuhi ruang media sosial sejak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin umumkan rentas negeri dibenarkan. Daripada PKPB, bermula 10 Jun hingga 31 Ogos nanti Malaysia akan memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Malah ramai pengguna media sosial seakan tidak sabar meraikan khabar gembira ini.

Pelbagai muat naik yang lucu dan gembira memenuhi feed dan wall sejak petang semalam. Namun demikian, suka diingatkan betapa pentingnya pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) diamalkan yang kini sudah menjadi kebiasaan baharu dalam kehidupan seharian.


Kredit Foto: Telegram MKN


Kita Jaga Kita

Menyedari hakikat ini, menjadi tanggungjawab setiap lapisan masyarakat untuk memastikan segala SOP diikuti dan dipatuhi sepenuhnya. Malah Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mengingatkan dalam perutusannya, “Jadi, kini tibalah masanya kerajaan memberikan lebih banyak kelonggaran kepada saudara-saudari dengan syarat saudara-saudari sendiri mengambil tanggungjawab secara serius untuk mengamalkan kebiasaan baharu kehidupan dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Ini bermakna, tanggungjawab untuk memastikan wabak COVID-19 kekal terkawal berada di tangan saudara dan saudari sekalian.


Kredit Foto: Google


Saya juga ingin menekankan kepentingan peranan pemimpin masyarakat termasuk ketua kampung, ketua komuniti dan pemimpin NGO dalam membendung penularan wabak ini dengan memastikan semua anggota masyarakat mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Tidak kurang pentingnya ialah peranan 6 majikan. Para majikan juga mestilah memastikan semua pekerja mematuhi SOP di tempat kerja.

Jika saudara dan saudari semua terus berdisiplin dan beristiqamah, saya percaya insyaAllah penularan wabak ini akan kekal terkawal dan kita akan memasuki fasa normalisasi selepas 31 Ogos 2020 sehinggalah vaksin untuk virus COVID-19 ditemui. Namun, saya ingin mengingatkan sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes positif COVID-19 dalam tempoh ini, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD di kawasan atau lokaliti yang berkenaan. Saya harap kita semua sentiasa berdisiplin supaya peningkatan kes COVID 19 dapat kita elakkan.”


Kredit Foto: Google


Malaysia Boleh Bebas Jangkitan Covid-19 Walau Tiada Vaksin

Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula, Malaysia berupaya memutuskan kadar jangkitan Covid-19 tanpa penggunaan vaksin dengan pematuhan tinggi rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan yang ditetapkan. Hal ini berdasarkan pengalaman beberapa negara juga Malaysia sendiri berdepan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) sebelum ini.

Ujarnya, “Ada kemungkinan tanpa menggunakan vaksin kalau kita semua patuh kepada SOP dan saranan kesihatan, kita boleh memutuskan COVID-19 tanpa vaksin. (Jangkitan) SARS juga tanpa vaksin tapi kita boleh putuskan jangkitan. Kita juga boleh putuskan MERS-CoV," katanya pada sidang media harian Covid-19, semalam.


Kredit Foto: Google


Justeru, semua rakyat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan kaum, bangsa dan agama harus memainkan peranan penting dalam hal ini. Menjadi tanggungjawab kita semua untuk membiasakan diri dengan normal baharu yang kini sudahpun menjadi sebahagian daripada rutin harian. Mahu atau tidak, patuhlah. Ini soal keselamatan, kesihatan dan nyawa setiap daripada kita. Ayuh kita buktikannya Malaysia!