Demi sebuah perjuangan yang tidak mengenal erti penat dan tanpa mengira kudrat, barisan hadapan dan staf di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia, Kepala Batas mengambil inisiatif untuk menjahit dan menyediakan sendiri uniform PPE mereka. Bukan tidak mendapat bekalan daripada pihak berkenaan, namun mereka tidak mahu menambah beban dan sepantasnya menyediakan payung sebelum hujan.

Hanya inilah usaha dan bakti yang mampu mereka taburkan demi menyempurnakan perjuangan barisan hadapan demi menentang wabak Covid-19 ini. Bersama salah seorang tunggak penting usaha ini, Pakar Perunding Oftalmologi & Pensyarah Perubatan USM, Prof Madya Dr. Bakiah Shaharuddin berkongsi pengalaman bersama-sama staf IPPT menyediakan PPE mereka sendiri.






Kenapa perlu disediakan sendiri semua keperluan PPE ini?

Keperluan PPE adalah seperti ‘pakaian perang’ kepada front liners. Staf IPPT yang turut mengenakan PPE adalah mereka yang terlibat dengan saringan dan ujian makmal diagnostik untuk Covid-19, dan mereka yang terlibat dengan kes pembedahan, dalam kes-kes tertentu. Oleh kerana bekalan keperluan PPE agak meruncing di seluruh negara, adalah sukar untuk mendapatkan stok. Lagipun harga PPE telah melambung tinggi, menyebabkan hospital terpaksa menanggung kos yang berganda. Dengan adanya sumbangan wang ringgit, masa dan tenaga daripada pelbagai sektor dan invidivu, maka IPPT telah mengambil peluang menjalinkan jaringan kemasyarakatan dengan NGO, individu perseorangan dan komuniti berhampiran untuk melancarkan Projek PPE IPPT.


Bila projek PPE IPPT ini bermula?

Projek telah bermula pada 1 April 2020. Dan, masih kami teruskan sehingga kini.







Berapa ramai individu dan sektor apa yang terlibat?

Secara keseluruhan, projek ini melibatkan seramai 117 orang sukarelawan yang terdiri daripada Pertubuhan Wanita IKRAM, Persatuan Gerak Amal Bersama (GRAB), Pertubuhan Kebajikan Ikhlas Wilayah Utara (Ikhlas), Persatuan HALUAN Negeri Pulau Pinang, Kolej Komuniti Kepala Batas, di samping individu perseorangan dan staf IPPT sendiri.



Kalau boleh dikongsi item yang dibuat sendiri dan kuantitinya?

Setakat ini projek PPE IPPT telah berjaya memproses sebanyak 2700 meter 'non-woven material' untuk dijadikan gaun isolasi (1100 helai), tudung (530 helai) dan sarung kasut (460 pasang). Alhamdulillah PPE ini bukan hanya mampu menampung keperluan kami di sini, malah sebahagian PPE turut disumbangkan kepada mereka yang memerlukan seperti Hospital Kepala Batas, Pejabat Kesihatan Daerah (Seberang Perai Utara), Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, Persatuan Pengurusan Jenazah Pulau Pinang, Anggota Perkhidmatan Awam, Klinik Kesihatan Kuala Ketil dan lain-lain.






Harapan anda untuk kakitangan yang terlibat dalam projek ini dan frontliners kita?

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua sukarelawan yang telah menyumbangkan tenaga dan masa kepada penyediaan PPE ini. Tidak lupa jutaan terima kasih kami kepada mereka yang telah menyumbangkan derma kepada Tabung Projek PPE IPPT. Semoga segala usaha dan sumbangan kita ini diterima oleh Allah SWT. Saya amat berharap segala usaha dan perkongsian ini kami sedikit sebanyak dapat memberi keyakinan dan keselamatan kepada semua frontliners untuk terus berkhidmat melawan wabak Covid-19 sehingga ia dapat dibasmi. Kita sedaya upaya cuba menyediakan perisai, dan selebihnya adalah kuasa daripada yang di atas sana. Semoga semua frontliners kita dapat berjuang di bawah lindungan Allah swt. Terima kasih sekali lagi.