Menjadi kelaziman bagi kita untuk sedia menunggu di hadapan kaca televisyen bagi mendengar maklumat penting dalam Sidang Media Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sejak tempoh PKP dahulu. Jika dahulu sekitar jam lima hingga 5.30 petang sidang media telah bermula. Tetapi kebelakangan ini ia sedikit lewat. Mungkin juga kerana peningkatan kes yang telahpun menginjak tiga angka memerlukan penelitian tertentu daripada pihak yang bertanggungjawab.


Bagi kita mungkin biasa sahaja atau sekadar mahu mendengar berapakah jumlah kes positif dilaporkan juga kes kematian direkodkan saban hari. Tetapi bagi mereka yang berhempas-pulas bekerja, mata asyik tertumpu melihat data, angka dan sebagainya pastinya tidak mudah. Setiap satu maklumat dan perincian perlu dianalisa dengan teliti. Dan bayangkan saja, mereka ini tidak pernah berhenti bekerja sejak pandemik Covid-19 mula melanda negara kita hingga hari ini.

Kredit Foto: Facebook Dr Fadly Khairie

Perkongsian secara asas yang dimuat naik Dr Fadly Khairie dari Team Data atau Bilik Kaca Crisis Preparedness And Response Centre (CPRC Kebangsaan) ini sedikit sebanyak membawa pemikiran kita untuk sama-sama memahami cara pasukan ini bekerja saban hari. Menurutnya, sejak bermula PKP Mac lalu, ini tempat ketiga beliau menabur bakti. Bermula daripada berada di lapangan yakni di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bersama-sama menyarung baju PPE mengambil swab hingga menjaga bilik gerakan PKPD mahupun menyelaras beribu-ribu data. Kini diberi peluang berjuang di CPRC kebangsaan pula. Perginya siang, pulangnya sebelah malam. Itulah rutin harian yang dilaluinya bersama rakan-rakan petugas kesihatan yang lain. Yang pasti, tanggungjawab dan tugas mereka bukan mudah. Seperti juga barisan hadapan di lapangan, setiap keringat dan penat lelah mereka amat dihargai dalam menghadapi musuh dunia ini.


Satu hari di Team Data CPRC Kebangsaan

Hari kami bermula setiap hari pada pukul 8 pagi. Tepat pada waktunya Tan Sri Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) akan memulakan mesyuarat pagi dengan semua pemegang taruh dalam pengurusan covid di KKM termasuk ketua-ketua bahagian dan pakar-pakar perubatan. Isu-isu semasa yang berlaku, perincian kes harian, kluster aktif, keadaan hospital, klinik kesihatan, logistik, sampel dan sumber manusia akan dibincangkan seterusnya langkah-langkah yang perlu diambil akan diperhalusi.


Kemudian semua orang akan kembali ke pasukan masing-masing. Saya sendiri akan kembali ke team data. Team kami diketuai oleh Dr Hazlina Yahaya, Dr Shahrul dan terdiri daripada beberapa orang pegawai dari pelbagai bahagian KKM. Hanya Dr Hazlina dan Dr Shahrul merupakan anggota tetap dari cawangan survelan, bahagian kawalan penyakit manakala kami semua merupakan pasukan bantuan yang dikumpulkan khas untuk pengurusan data bagi krisis Covid ini.

Kredit Foto: Facebook Dr Fadly Khairie

Tugas kami bermula daripada menerima perlaporan dan notifikasi kes positif dari pukul 12 pm semalam hingga ke 12 pm pada hari ini. Setiap maklumat yang diterima akan di teliti dan di lakukan verifikasi untuk memastikan ketepatan dan kesahihan data. Setiap nama pesakit juga akan diberi nombor kes sebagai ‘deidentification’ bagi membolehkan analisa data dan kerahsian data pesakit terjaga.


Setiap data positif yang disiasat akan dikenal pasti tentang maklumat sosiodemografi, kadar CT value, punca jangkitan, jenis saringan dan risiko penyebaran kes kepada masyarakat. Kami juga akan mengenal pasti hubungan epidemik (epid link) antara satu kes dengan kes yang lain terutama apabila ia melibatkan hubungan antara negeri. Sekiranya ada, perbincangan akan diumumkan dengan negeri dan daerah untuk mengumumkan kluster tersebut. Tujuan kluster diumumkan adalah supaya tindakan proaktif dan saringan lebih giat boleh dilakukan di daerah dan lokaliti yang terlibat.

Kredit Foto: Facebook Dr Fadly Khairie

Pukul 4 hingga 5 adalah waktu-waktu genting untuk kami. Semua data perlu dimuktamadkan supaya boleh diumumkan sewaktu sidang media Tan Sri KPK. Proses verifikasi dan counter check dilakukan bagi memastikan tiada kesilapan yang berlaku. Ada beberapa orang ditugaskan untuk menyiapkan teks ucapan Tan Sri KPK dan akan mengumpul semua data yang penting untuk dimasukkan.


Semua proses perlu berlaku dengan cepat dan tepat. Antara yang menjadi cabaran adalah apabila bilangan kes harian yang sangat tinggi menyukarkan urusan analisa data. Apa pun yang berlaku, zero error dan 100% accuracy sentiasa jadi matlamat kami. Data yang sama ini juga akan diserahkan kepada pasukan-pasukan lain untuk analisa yang lebih terperinci. Analisa data inilah yang akan digunakan untuk membuat keputusan penting bagi mengekang penularan wabak Covid-19.


Setiap hari selain sidang media Tan Sri KPK, pasukan ini juga akan menghasilkan laporan harian linelisting akhir. Semua kes juga akan digeocode bagi klasifikasi mukim, daerah dan juga digunakan oleh team mysejahtera untuk hotspot tracking. Begitulah akhirnya satu hari berakhir dan keesokannya kitaran yang sama akan bermula semula.

Kredit Foto: Facebook Dr Fadly Khairie

Kami cuba sebaik mungkin untuk memberikan penyelesaian terbaik supaya negara ini dapat menang dalam peperangan menentang musuh covid19. Namun, ini semua tidak bermakna tanpa kerjasama daripada semua pihak yang lain.


Dr Fadly Khairie
Team Data @ Bilik Kaca CPRC Kebangsaan