Puteri Raja Pun Turun Ke Dapur, Apa Pula Alasan Kita Nak Kilat Kuku Saja? Sampai Melecur Kulit, Tuanku Memasak.

Afiza Kamarulzaman
Mei 16, 2020 13:57 MYT
Tidak pandai, tidak mengapa kerana memasak juga satu seni dan bakat anugerah Tuhan. Namun, kalau malas puncanya, itu yang bahaya. Bayangkanlah jika setiap kali mahu makan, kamu terpaksa membeli dari luar sahaja atau menunggu pembantu rumah yang hidangkan. Adakah semua yang dihidangkan menepati citarasa? Atau kamu sememangnya jenis yang makan tidak berasa?
Kalau kamu pengikut setia Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj pasti tahu hobi dan kepakaran baginda dalam masak-memasak. Baginda kerap berkongsi juadah hasil air tangannya menerusi akaun Instagram Air Tangan Tunku Azizah. Baginda tidak hanya memasak untuk hidangan keluarga, malah ada kala Tunku Azizah memasak untuk kakitangan di istananya. Bertuah sungguh!
Katalah apa saja menunya? Daripada makanan barat sehinggalah menu timur, semuanya kelihatan sangat menyelerakan. Lauk-pauk, aneka pencuci mulut, roti, kek dan minuman disediakan baginda bersama bantuan pembantunya di dapur. Ada kalanya, baginda turut dibantu oleh puteri-puterinya sendiri iaitu Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah.
Menurut baginda permaisuri, baginda sendiri sudah diasuh daripada kecil oleh bondanya untuk selalu turun ke dapur belajar memasak. Daripada kecil lagi, Tunku Azizah memang suka memasak dan selalu menjenjuk pekerja-pekerja istana menyiapkan santapan di Raja. Sampaikan ada kala, baginda disuruh keluar kerana bimbang terkena minyak panas. Namun, itu bukanlah alasan bagi Tuanku Permaisuri untuk goyang kaki. Baginda suka menyalin resipi-resipi daripada tukang masak istana.
Dan kini, kedua-dua puterinya juga dididik perkara yang sama. Nampaknya Puteri Afzan dan Puteri Jihan masing-masing tidak kekok berada di dapur membantu bonda mereka. Tambahan pula menghampiri bulan Syawal ini, mereka bersama-sama ‘turun padang’ menyediakan pelbagai biskut raya kegemaran bonda dan ayahanda.
Tidak Hilang Glamor Kalau Ke Dapur
Kalau dulu, anak-anak perempuan sememangnya wajib disuruh turun ke dapur setiap kali mak-mak mahu mula memasak. Setinggi mana seseorang perempuan itu belajar atau sebijak mana pun dia, mereka tetap perlu belajar selok-belok di dapur. Mesti cekap melakukan hal-hal rumah tangga. Kalau nasi dimasak hangit, petanda anak perempuan itu tidak mahir menguruskan hal rumah kelak.
Ini bukan untuk membezakan ‘standard’ antara anak lelaki dan perempuan, tetapi lebih kepada mahu mempersiapkan anak-anak perempuan supaya tidak canggung menguruskan hal rumah tangga apabila sudah bersuami dan beranak-pinak nanti. Ini sangat penting agar mereka mampu mengemudi rumah tangga dengan sempurna bersama suami.
Dan, janganlah risau andainya kamu kena ke dapur, ia tidak sedikit pun menjejaskan gaya glamor kamu. Jika kuku cantik berkilat pun tapi pegang sudip tidak tahu, apalah faedahnya? Jika badan wangi sekali pun, dapur tak berasap, tidak berseri seisi keluarga kala sama-sama mengadap rezeki di atas meja. Lalukah, asyik makan nasi bungkus atau mengharapkan masakan orang sahaja?
Air Tangan Isteri Pengikat Hubungan
Orang-orang tua selalu kata; cara untuk ikat cinta suami, ikatlah perutnya. Maksudnya, masaklah juadah kegemaran suami, jamulah suami sehingga kenyang. Jangan biarkan suami berlapar sehingga menganggu emosinya. Kerana itu, timbullah isu-isu yang tidak sepatutnya. Sebab itu orang kata, gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati. Maka, bahagiakan hati suami dan anak-anak dengan jamuan yang enak-enak.
Selalu juga bukan kita mendengar anak-anak yang berkata rindu dengan air tangan ibunya? Atau’ tiada siapa boleh menandingi masakan seorang ibu. Apa hikmahnya air tangan seorang ibu itu? Terlalu banyak jika seorang ibu itu membesarkan anak-anaknya dengan sentuhan masakan daripada air tangannya sendiri. Dari situlah, hati dan ingatan anak-anak boleh diikat untuk sentiasa mengingati kita walau sejauh mana mereka pergi.
Sebelum memulakan masakan, angkatlah tangan berdoa agar Allah sentiasa melembutkan hati mereka, kuatkan iman mereka dan memberkati rezeki yang mereka makan itu. Sambil masak pula, banyakkan berselawat dan berzikir untuk menambahkan berkat ke dalam masakan itu. Adakah ini dapat dimiliki jika hidangan disiapkan oleh orang luar? Fikir-fikirkanlah ya.
#Raja Permaisuri Agong #Anak Raja #Tunku Azizah Maimunah