gaya hidup
PUTUS TUNANG Bukan Pengakhiran Tapi Permulaan Mencari Yang Lebih Baik – Reda dan Tawakal.
Bertunang bukan bererti ‘jadi’. Berapa ramai antara kita yang pernah mengalami pengalaman putus tunang? Ia dianggap perkara normal dalam budaya masyarakat kita. Namun, menurut pandangan beberapa Ulamak, ketika urusan pertunangan itu pastinya sudah mengikat perjanjian, maka mengingkari janji boleh dianggap sebagai satu kesalahan.
Ini selari dengan sabda Rasulullah SAW yang maksudnya; “Tanda-tanda munafik itu ada tiga, iaitu jika berbicara ia berdusta, jika diberi kepercayaan ia khianat, dan jika berjanji ia mengingkari.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim). Maka, mereka yang mengingkari janji boleh dikategorikan sebagai orang munafik.
Namun, Islam bukanlah begitu keras dalam menghukum. Perjanjian itu diharuskan untuk dibatalkan jika ia didorong oleh faktor-faktor yang mungkin boleh memudaratkan kedua-duanya jika diteruskan juga atau sudah mendapat persetujuan kedua belah pihak. Dan, kata putus dibuat tanpa menyakiti hati mana-mana pihak. Maka, ia dibolehkan.
Kredit Foto: Google
Putuslah Cara Baik Tanpa Bermusuhan
Kalau sungguh sudah tiada jodoh dan tiada jalan untuk meneruskan hubungan hingga ke jinjang pelamin, maka putuskanlah tali pertunangan itu dengan cara paling baik, tanpa merosakkan silaturahim. Buat pasangan, bincang baik-baik dan pastikan dimaklumkan kepada ke dua orang tua mengenai semuanya.
Pihak lelaki seharusnya menghubungi semula pihak perempuan dan katakan hasrat tersebut dengan cara paling berhemah. Seperti mana manisnya kalian datang meminang anak dara orang itu, kala mahu ditinggalkan, kunjungilah semula ke tempat yang sama dengan langkah yang betul.
Jangan sekali-kali dibiarkan hubungan itu jadi gantung tak bertali. Membiarkan sahaja pemutusan tanpa sebarang pesan dan kata-kata maaf. Bukan salah sesiapa, namun sudah takdir yang jodoh keduanya tidak kesampaian. Maka, janganlah ada rasa malu atau bersalah, terus-terang itu yang terbaik.
Jangan Sedih, Teruskan Berdoa
Kredit Foto: Google
Buat pasangan yang terpaksa menerima takdir ini, janganlah berasa gundah dan kemurungan. Ingat selalu bahawa jodoh itu memang kuasa Tuhan. Kita tiada daya untuk mengubahnya. Percayalah, semua yang berlaku pasti ada hikmah dan Tuhan lebih tahu apa yang terbaik untukmu.
Mungkin si dia itu bukan pilihan tepat untukmu. Biarlah dan lepaskan. Usah dikenang-kenang. Teruskan meminta petunjuk daripada Allah semoga diketemukan dirimu dengan seorang pengganti yang jauh lebih baik dan kekal menjadi pasanganmu hingga ke jannah. Untuk apa diteruskan pertunangan jika perkahwinan pula yang akan runtuh nanti?
Kata orang, biarlah sakit sikit dahulu daripada menanggung perit yang lebih lama kelak. Akan ada sinar yang lebih cemerlang untukmu di masa hadapan. Buang yang keruh, ambil yang jernih.
Must-Watch Video