gaya hidup
Radin Tak Jadi ‘Bahan’, Dato AC Mizal Imbas Momen Pernah Makan Tisu Cicah Kuah Roti Canai.
Menjanjikan kelainan dengan pendekatan lebih santai dan menghiburkan, Media Hiburan Throwback bakal menemui penonton di saluran Astro Prima bermula malam ini. Menampilkan Radin (Era) sebagai hos, program berdurasi 30 minit ini membawa penonton mengimbas kembali zaman kegemilangan selebriti kesayangan ramai dengan pendekatan yang lebih menarik.
Sebagai pembuka tirai episod pertama malam ini, Media Hiburan Throwback mengundang Dato AC Mizal yang tidak asing dalam industri hiburan. Konsep program ini, Radin akan berkongsi beberapa paparan artikel dan koleksi foto throwback selebriti jemputan yang pernah menghiasi ruangan majalah hiburan terkenal ini. Setiap paparan foto dan artikel yang dibingkaikan ini menyimpan pelbagai kenangan dan momen manis juga suka duka barisan selebriti dalam setiap episod.
Masa Untuk ‘Membahan’
Selepas satu persatu foto dan artikel ditunjukkan, banyak kisah lucu yang dikongsi. Baik daripada aspek penampilan, fesyen, perubahan susuk tubuh, stail yang in ketika itu dan banyak lagi diimbas bersama. Maka bermulalah siri ‘bahan membahan’, ketawa bersilih ganti antara Radin dan Dato AC kala melihat pelbagai koleksi yang pernah menghiasi ruangan Media Hiburan sekali gus menambahkan rencah dalam program ini. Dan ya, bukan semuanya manis dan indah belaka.
Paparan artikel dan foto yang mencetus kontrovresi turut dikupas. Tidak kurang juga momen pahit getir yang dilalui Dato AC Mizal sebelum dikenali seperti hari ini. Menyingkap detik awal pembabitan Dato AC Mizal, dia memulakan karier sebagai rapper bersama 4U2C pada 1991 dan kemudiannya menceburi bidang lakonan. Tidak keterlaluan jika dikatakan, bidang lakonan melonjakkan nama AC Mizal dan drama bersiri Roda Roda Kuala Lumpur adalah pencetusnya.
Imbau Momen Sukar
Tatkala Radin menunjukkan artikel bertajuk Emylia Terpaksa Jalani Pembedahan, suasana yang ceria dan gegak gempita dengan hilai tawa bertukar nada. Dato AC Mizal dedahkan pernah melalui momen susah dan perit sepanjang kariernya sebagai anak seni. Ceritanya lagi, “Waktu ni memang kami tengah susah. Duit yang ada sepanjang dia mengandung ada RM250 saja dalam akaun. Rezeki Allah, saya berlakon empat drama serentak sebelum isteri bersalin. Tapi belum terima bayaran lagi waktu itu. Dan duit simpanan yang ada untuk isteri saya bersalin cukup-cukup untuk beranak normal saja. Tapi memandangan dia sudah sakit 12 jam, maka terpaksa jalani pembedahan. Saya kata tak apa, duit saya boeh cari. Jadi saya pinjam duit dengan kawan saya Bai yang tinggal di Ipoh waktu itu untuk bayar bil hospital,” hurainya ketika mengimbas detik kelahiran Muhammad Reeve Damien, cahaya mata sulungnya bersama Datin Emylia.
Betapa susahnya saya semasa isteri mengandung, saya pernah makan tisu dengan kuah roti canai yang sudah dimakan orang lain dan minum air paip. Isteri tak tahu. Dan bila kawan-kawan ajak bersarapan diluar, saya kata tak apa; dah makan tadi,” ceritanya lanjut. “Malah selepas kelahiran Fea Aryssa juga rezeki kami mencurah-curah. Memang kami tumpang rezeki anak” tambahnya lagi.
Nak tahu siapa lagi yang ‘kena aib’ dan jadi ‘bahan’ Radin untuk dibongkarkan? Jangan ketinggalan untuk tonton Media Hiburan Throwback setiap Rabu 9 malam di saluran Astro Prima dan Prima HD.