Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
gaya hidup

Rahmat Dan Kasih Sayang Allah Itu Lebih Dirasai Tatkala Diberi-Nya Ujian. Bersabarlah, Cekal Dan Kuat Melaluinya.

Huda Hussain 10/05/2021 | 04:50 MYT
Menyantuni golongan asnaf, rakan mualaf yang Allah takdirkan melafazkan kalimah syahadah dihadapannya antara paparan dalam episod malam ini. Tidak lupa juga, mangsa nahas kapal selam KRI Nanggala 402 turut dititipkan doa menerusi pertemuan secara virtual.
Kredit Foto: Astro Prima
Misi Bantuan Golongan Asnaf di Cheras
Bertindak atas maklum balas orang ramai juga pengikut Ustaz Ebit Lew di Facebook, insan mulia ini tidak mahu berlengah. Dalam sela-sela masanya diselitkan juga untuk menyantuni anak OKU ini. Cerita Sabariah Ahmad ibu kepada Mohd Faizal, 28 tahun kepada team Jejak Ebit Lew (JEL) “Lepas bersalin, doktor maklumkan kepala dia memang kecil. Tak macam bayi lain. Kemudian, umur dia tujuh bulan kena demam panas dan sawan tarik. Mula-mula setiap pagi kakak uruskan dia. Siapkan semua. Dalam tujuh bulan macam tu semuanya okey. Tapi lepas setahun, badan dia semakin tegang dan mengeras. Waktu dia umur setahun lebih baru dapat tahu dia macam ni. Kemudian bawa pergi hospital. Ada juga buat terapi,” kongsinya kepada kru JEL. Tidak mampu bergerak dan terlantar begitu sahaja, Mohd Faizal hanya mampu menjerit jika perlukan apa-apa. Tambah ibunya lagi, dia selesa jika tubuhnya diurut. Menampung hidup seharian dengan berniaga kecil-kecilan menjual kerepek peria dan maruku untuk musim perayaan ini, wanita ini cekal membesarkan dua anaknya. Berbekalkan bantuan JKM dan Lembaga Zakat, itu disifatkan memadai untuknya menyara keluarga ini.
Kredit Foto: Astro Prima
Bagi membantu meringankan beban Sabariah, Ustaz Ebit Lew bermurah hati menghadiahkan sebuah kerusi yang ditempah khas mengikut ketinggian Mohd Faizal. Jualan maruku turut dibeli Ustaz Ebit Lew sebagai tanda sokongan agar wanita ini terus cekal menempuhi hari-hari mendatang.
Pesan Ustaz Ebit Lew
“Ujian ini kasih sayang Allah SWT. Walau kita rasa susah, sedih dengan liku-liku hidup tu; tapi apa-apapun hakikatnya hanya kerana kasihnya Allah diberi ujian kepada kita. Kadang-kadang bila kita penat kita fikir kenapa saya? Banyak dosa ke say ani? Susahkan orang ke? Buatan orang ke? Macam-macam fikir kan?” hurai Ustaz Ebit Lew sambil Sabariah menyeka air matanya yang kian menderu membasahi pipi. Akuinya itulah yang dilakukannya. Bertanya kepada diri kenapa dia yang terpaksa melalui semua ini sambil mengalirkan air mata."
Kredit Foto: Astro Prima
"Kita niat bantu dia. Walau kita cuma gembirakan dia beberapa jam saja, tetapi sepanjang hidupnya Kak Sabariah telah gembirakan anaknya selama 28 tahun. Begitulah dengan ibu-ibu diluar sana yang Allah beri mereka anak-anak OKU sebab Allah nak beri mereka anak-anak syurga. Dan Allah nak muliakan kebaikan yang banyak. Semoga Kak Sabariah dan Faizal kuat semangat tempuh kehidupan selepas ini."
Misi Ziarah Keluarga Mangsa Lemas, Rompin, Pahang
Ketibaan Ustaz Ebit Lew dan team JEL disambut penduduk dan Ketua Kampung Rekoh, Syed Haji Ibrahim yang menunjukkan jambatan gantung dibina pada 2016 lalu. Kesan daripada banjir yang berlaku turut menjejaskan struktur binaan jambatan gantung ini. Permukaan yang licin dan hanya dipagari dawai tidak dinafikan ia membahayakan penduduk yang saban hari menggunakan jambatan ini. Baik yang berjalan mahupun menaiki motosikal, bagi Ustaz Ebit Lew yang merasai sendiri pengalaman berjalan menelurusi jambatan ini cukup membahayakan.
Kredit Foto: Astro Prima
Mengimbas semula detik kejadian yang meragut nyawa dua beradik, Puteri Ramadhania Azzahra dan Dhenis Maulida Puteri Masari; menurut penduduk kampung si ibu dan anak-anak ini barul pulang dari menjalani pemeriksaan di klini. Entah bagaimana motosikal yang ditunggang ibu ini gagal dikawal lalu tersangkut pada dawai mengakibatkan anaknya terjatuh ke dalam sungai. Misi mencari bermula pada pagi Rabu dan mangsa ditemui sekitar 8 malam keesokan harinya.
Jika tidak menggunakan jambatan ini, penduduk kampung terpaksa mengikut jalan yang sejauh 2km selain melalui kawasan ladang kelapa sawit. Setibanya Ustaz Ebit Lew, kedua ibu mangsa dilihat lemah dan perlu dipimpin. Bapanya, tidak mampu lagi membendung perasaan sedih dan sayu yang diselubungi sepanjang pemergian anak tersayang. Lantas Ustaz Ebit terus memeluk erat dan merangkul kemas tubuh si ayah yang masih bersedih. Selain bantuan kewangan kepada keluarga mangsa, Ustaz Ebit Lew turut memberikan sedikit dana kepada Penghulu Kampung untuk membeli barang keperluan membaik pulih dawai pada jambatan gantung ini.
Kredit Foto: Astro Prima
Pesan Ustaz Ebit Lew
Bagi kita, kehilangan orang yang tersayang ini cukup berat. Tapi hakikatnya Allah terima mereka. Allah nak anak-anak ini masuk syurga. Allah sayang dia, Allah biar dia tunggu kakak dan abang dalam syurga. Dalam satu hadis yang bermaksud, ‘Aku melihat seorang hamba, aku nak beri kedudukan macam Nabi, syuhada. Aku beri mereka ujian yang berat dan sakit-sakit yang berat dengan kehilangan orang yang kita sayang. Tapi hakikatnya dalam Al Quran Allah kata, “Tak ada yang menimpa kita melainkan telah dikitabkan, ditentukan, ditakdirkan. Bila Allah takdirkan ia pasti terjadi. Doa dan kata-kata semangat dititipkan buat kedua ibu bapa ini yang kehilangan dua anak mereka moga terus diberi kekuatan dan tabah menempuhi hari-hari mendatang.
#Astro Prima #Ustaz Ebit Lew #Jejak Ebit Lew
;