Highlights

Ramadan 2020 – Bulan Yang Paling Dinanti, Dirindui Dan Akan Diingati. Pasti Ada Hikmah Disebalik Musibah Ini.

gempak
Huda Hussain
23/04/2020
14:11 MYT
Sponsor Banner
Ramadan 2020 – Bulan Yang Paling Dinanti, Dirindui Dan Akan Diingati. Pasti Ada Hikmah Disebalik Musibah Ini.
Ramadan yang dirindui menjelma lagi. Syukur Allah izinkan kita bertemu sekali lagi Ramadan ini. Tetapi ironinya, tidak pasti mengapa tetapi kali ini sungguh berlainan perasaannya. Menusuk rasa, syahdu dan menerbitkan keinsafan dari lubuk paling dalam. Apatah lagi semua umat Islam seluruh dunia berpuasa dalam keadaan sebegini. Masih 'berperang' dengan penularan wabak Covid-19 yang kesannya dirasai semua.
Kredit Foto: Google
Ramadan Kali Ini, Berbeza ‘Rasanya’
Dan entah kenapa sayu rasa hati meraikan kedatangan Ramadan kali ini. Bukan tidak teruja mahu berlumba-lumba merebut peluang yang setahun sekali ditawarkan. Tetapi memikirkan apa yang melanda kita semua, sebak di dada, syahdu terasa. Mana lagi teringatkan keluarga di kampung, pergerakan yang terbatas dan lain-lain hal. Allahu… Hanya Dia saja yang mengetahui.
Jika tidak pada waktu-waktu begini pastinya jalan raya dan lebuh raya sesak dek kerana orang ramai pulang ke kampung untuk meraikan bulan puasa bersama yang tersayang. Namun begitu, suasana itu seakan hanya tinggal kenangan. Dan bagi mereka yang ‘terperangkap’ di kampung halaman, kerajaan memberi kelonggaran apabila permohonan kembali ke ibu negara boleh dibuat dalam talian menerusi aplikasi ‘Gerak Malaysia’. Atau boleh juga membuat permohonan di balai polis berdekatan.
Sungguhpun begitu, ia bukanlah alasan selamat apatah lagi mahu mengambil kesempatan yang ada untuk melakukan pergerakan secara besar-besaran. Memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dan segala standard operasi piawaian (SOP) walaupun tempoh PKP ditamatkan perlu dipatuhi. Lantaran itu, gunakan peluang ini untuk menjalani ibadah berpuasa dirumah dalam suasana penuh kesyukuran, tawaduk dan kesederhanaan. Makan dan berbelanjalah seadanya. Bersedekahlah mengikut kemampuan yang ada kerana sememangnya bulan ini kita digalakkan untuk meningkatkan amalan mulia ini. Besar ganjaran pahalanya.
Kredit Foto: Google
Rindu Bazar Ramadan
Seperkara lagi, pasti ramai yang merindui suasana membeli juadah berbuka di bazar-bazar Ramadan. Waima perlu bersesak-sesak mencari parkir, beratur panjang demi membeli juadah kegemaran namun rutin itu tidak lagi kelihatan sepanjang bulan ini. Sementelahan tiada bazar Ramadan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh PKP, inilah masanya kalian tunjukkan bakat terpendam di dapur masing-masing. Pasti teruja kan?
Kredit Foto: Google
Tiada Solat Tarawih Di Masjid, Surau Seluruh Negara
Apabila berbicara mengenai kedatangan Ramadan, pasti tidak sempuna tanpa menunaikan solat Tarawih di masjid. Apatah lagi ini adalah malam pertama, menderu-deru orang ramai memenuhi rumah Allah di mana jua berada. Sama ada surau mahupun masjid, semua yang hadir tidak mahu melepaskan peluang mengumpul pahala di bulan mulia ini. Namun itu semua hanya kenangan Ramadan tahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya. Dan pasti menjentik hati, mengusik emosi. Seperti yang disarankan pihak kerajaan, gunakan masa terluang ini untuk menunaikan solat tarawih berjemaah dirumah. Selain mengeratkan ukhuwah sesama keluarga, dapat juga kita mensyukuri kedatangan Ramadan dalam suasana serba sederhana dan ketakwaan kepad-Nya.
Kredit Foto: Google
Teruskan Berdoa
Justeru, ambillah ibrah disebalik apa yang melanda negara kini. Ini masanya untuk kita perbanyakkan bertaubat, tingkatkan amalan solat sunat, tambahkan mana-mana ruang yang mungkin lopong sebelum ini. Ambil keberkatan bulan mulia ini, jangan sesekali mempersiakannya. Mengadu dan memohon ke hadrat Ilahi agar negara kita bebas daripada wabak Covid-19 segera. Agar kita dapat menjalani kehidupan biasa seperti sedia kala. Supaya kita dapat kembali ke kampung halaman bertemu dengan ibu ayah, ahli keluarga tercinta. Agar kita berupaya kembali bekerja mencari rezeki, anak-anak kembali bersekolah dan menjalani rutin harian yang normal. Insya-Allah, pasti dimakbulkan-Nya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live