gaya hidup
Ramai Anak Lelaki Memang PENAT Tapi Kalau Dididik Sebaiknya, Merekalah ASET Terbesar Kita...
Ada yang mungkin sedih jika tidak memiliki langsung anak perempuan apabila sudah berderet mempunyai anak lelaki. Kata mereka, tak berseri rumah tidak punya sekuntum bunga di antara kumbang-kumbang mereka itu.
Usahlah bersedih ya ibu dan ayah. Anak-anak ini anugerah Allah. Tidak kira apa pun jantinanya, haruslah disyukuri dan menjadi tanggungjawab kita untuk membesar dan mendidik mereka dengan sebaiknya.
Anak perempuan atau lelaki jika gagal dibentuk dengan acuan yang sempurna, besarnya nanti pasti menghampakan juga. Maka, usah dikisahkan sangat tentang jantinanya. Sebaliknya, fikirkan cara terbaik untuk mendidik mereka agar menjadi umat berguna dan berakhlak mulia.
Cara Didikan Anak Lelaki Yang Dianjurkan
- Seawal usia lagi anak itu harus diterapkan dengan didikan agama yang seperincinya. Ibadah dan amalan sunnah haruslah dibeli penekanan agar mereka tidak leka dengan dunia semata, seimbangkan didikan dunia dan akhirat.
- Jaga makan dan minum yang masuk ke perut anak-anak sejak kecil lagi. Pastikan daripada sumber yang halal dan berkhasiat untuk membentu tumbesaran fizikal, mental dan rohani yang baik.
- Bina akhlak yang baik dalam diri anak-anak menerusi teladan yang baik. Teladan yang baik itu harus dimulakan daripada bapa mereka sendiri.
- Bapa pastikan melayan isteri dengan baik agar anak-anak lelaki juga akan menghormati wanita-wanita yang mereka temui di luar sana. Didik mereka untuk meletakkan penghormatan wanita di tahap tinggi.
- Jangan ada budaya anak lelaki tidak perlu buat kerja rumah. Ajari anak-anak untuk bertanggungjawab dalam pengurusan di rumah juga seperti mencuci pinggan selepas makan dan mengemas bilik sendiri.
- Terapkan sifat kepimpinan dalam diri anak lelaki agar mereka tebal dengan rasa bertanggungjawab dan berani memikul amanah.
- Tidak mengapa jika anak lelaki terlihat lebih lasak, aktif dan ‘kasar’. Ia bukan tanda anak itu degil atau ‘spoil’. Dedahkan mereka dengan aktiviti yang mencabar untuk mengasah mindanya menjadi lebih kental dan berdikari.
- Asuh anak-anak untuk tidak menjadi ego dengan sentiasa menzahirkan rasa kasih-sayang dan lafaz maaf jika melakukan kesilapan. Jadikan ia rutin biasa untuk menyatakan sayang dan memohon maaf.
- Lembutkan hati anak-anak dengan banyak membasahkan bibir berzikir dan selawat. Ajak anak-anak untuk selalu solat berjemaah, bertadarus, mendengar tazkirah dan berdoa bersama-sama.
Must-Watch Video