Setuju atau tidak, Aidilftri dalam PKPB ini telah mendidik kita khususnya yang tinggal di perantauan menjadi lebih berdikari. Bagi ibu-ibu muda misalnya, waktu inilah untuk kita buktikan bakat yang terpendam sekian lama. Kalau dahulu hanya membantu emak menghiris bahan mentah dan membasuh di dapur, nah… Ini waktunya kita beraksi, menyediakan semua daripada titik mula hingga akhir.


Kredit Foto: Google


Masa Untuk Uji Bakat Memasak

Daripada berbaris panjang untuk membeli barang mentah di pasar raya, hinggalah pulang ke rumah bersiang dan membersihkan semuanya. Kemudian merancang menu apa yang bakal disajikan di atas meja agar tidak terasa kesedihan tak dapat makan rendang, lemang dan ketupat emak di kampung. Maka bermulalah siri panggilan telefon atau panggilan video bertanyakan kepada emak bagaimana mahu memasak itu dan ini. Apa bahan-bahan yang diperlukan, berapa lama perlu memasak dan sebagainya semuanya ditanya dengan terperinci. Itu baru saja berbicara bab lauk-pauk dan menu raya.

Belum lagi tiba soal membuat kuih raya sendiri. Daripada yang tiada, diadakan. Segala jenis periuk, belanga bahkan hingga ketuhar sanggup dibeli. Demi memastikan semuanya tersedia daripada air tangan sendiri. Lantaran itu, menderulah orang ramai memenuhi kedai-kedai kek dan pastri. Jika habis bahan yang diperlukan, gigih pula mencari di kedai mahupun pasar raya.


Kredit Foto: Google


Masak Sendiri Lebih Puas!

Bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga ramai, sudah tentunya memasak sendiri juadah raya menjadi keutamaan. Memikirkan soal kos dan isi rumah, pasti lebih menjimatkan dan berbaloi apabila memasak sendiri lauk-pauk. Maklum sajalah, tidak ramai yang akan berkunjung dan ziarah raya tahun ini. Jadi, apa jua yang dimasak akan diulang makan seharian. Semua ini bukti kegigihan dan usaha kita untuk memastikan raya tetap raya.
Seperkara lagi, kepuasan lebih berganda apabila ia hadir dari air tangan kita yang bertungkus lumus menyiapkan semua. Apabila menu yang dimasak menjadi, lega rasa hati. Dan bertambah bangga apabila suami dan anak-anak memuji. Pasti segala penat lelah saat berhempas pulas memasak hilang begitu sahaja. Risau masakan tak menjadi? Tiada masalah, ada ruang untuk kita mengadu domba, berkongsi luahan, ketawa dan belajar perbaiki teknik masakan yang sebetulnya.

Kredit Foto: IG Manor.KL


Rebut Peluang Cari Rezeki

Bagi golongan peniaga pula, pastinya waktu sebegini menjadi peluang yang tidak harus dilepaskan untuk mencari rezeki. Apatah lagi majoriti warga kota tidak dapat pulang beraya di kampung, maka sudah tentu peniaga dalam talian yang menawarkan juadah Hari Raya jadi tumpuan. Khususnya bagi mereka yang tinggal bujang. Sudahlah tidak dapat balik kampung, nak masak untuk makan sendiri mungkin tak berbaloi kerana seorang diri sahaja yang mahu makan. Lantas jalan mudah adalah pesan sahaja bersama peniaga yang menawarkan khidmat ini.

Sebut sahaja apa jua hidangan raya seperti rendang ayam, rendang daging, lemang, ketupat, lontong bersama kuah lodeh dan sebagainya. Semuanya dihujung jari. Walau beraya berseorangan, sekurang-kurangnya dengan adanya juadah raya dapatlah juga mengurangkan kesedihan dan kerinduan beraya di kampung halaman. Meski takkan sama auranya, namun Aidilfitri tetap perlu dirai dengan penuh kesyukuran tanda kemenangan selepas sebulan berpuasa.


Kredit Foto: IG The Luckybeanie


Maka tidak salah jika disifatkan Aidilfitri ini sebagai kemuncak sambutan yang penuh warna-warni. Disambut dengan penuh kesederhanaan dan kesyukuran, menyimpan pelbagai kenangan suka dan duka; ia menjadi kenangan yang takkan kita lupakan. Semoga Aidilfitri tahun hadapan, kita mampu meraikannya seperti meriahnya suasana sebelum ini. Insya-Allah. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.