Highlights

Raya Makin Hampir, MALAYSIANS Makin Kebal – Helo Skuad Baju Raya, Geng Pasar, Team Kedai Kek, Grup Bazar!

gempak
Afiza Kamarulzaman
18/05/2020
05:51 MYT
Sponsor Banner
Raya Makin Hampir, MALAYSIANS Makin Kebal – Helo Skuad Baju Raya, Geng Pasar, Team Kedai Kek, Grup Bazar!
Kita bukan mahu menjadi terlalu paranoid atau beria-ia takutkan wabak Covid-19. Kerana itu jugalah, kerajaan sendiri cuba bertolak-ansur dengan memmindahkan Perintah Kawalan Pergerakan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan harapan rakyat terus dapat menjalani rutin harian tanpa tekanan. Namun, dengan syarat setiap daripada kita mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Atau kini selalu diwar-warkan sebagai ‘norma baharu’.
Hakikatnya, bukan semua rakyat mampu menjadi seorang manusia yang benar-benar berdisiplin dan boleh berfikir dengan bijak. Walaupun dibenarkan itu dan ini, namun ia bukan bermakna boleh diguna pakai sewenang-wenangnya. Sebagai contoh, pelanggan sudah dibenarkan untuk makan di dalam kedai makan tetapi ia tentunya lebih kepada mereka yang benar-benar ‘terdesak’ untuk makan di situ.
Jadi, mengapa kita yang tidak berkeperluan untuk menikmati makanan di dalam premis berkenaan ingin turut serta? Adakah hanya kerana ‘teringin’, ‘terlalu rindu’ atau ‘saja-saja’ menjadi faktor untuk kamu sengaja makan di situ? Itu semua hanya tuntutan nafsu yang dilakukan atas kebodohan akal tanpa memikirkan risiko untung jangka masa panjang.
Dan ketika, bulan Ramadan sudah pun hampir ke penghujungnya, bermakna kita bakal menyambut hari kemenangan yakni Syawal menyaksikan kebanyakan rakyat Malaysia nampaknya semakin tidak senang duduk. Apatah lagi apabila kini kerajaan telah memberi kelonggaran untuk beberapa syarat seperti banyak perniagaan sudah dibernarkan beroperasi. Kebenaran keluar lebih seorang untuk ke mana-mana, jarak perjalanan yang diperluaskan, sekatan jalan yang semakin longgar dan banyak lagi. Ini membuatkan kebanyakan kita semakin ‘lupa diri’ dan lupa Covid-19 sedang memerhati.
Kredit Foto: Google
Berbazar Ramadan Kecil-Kecilan
Penulis sendiri ada meninjau di beberapa kawasan penjualan makanan berbuka di kawasan tempat tinggal penulis dan komen kawan-kawan lainnya. Ada yang mendapati terdapat beberapa gerai-gerai dibuka dengan meriah walaupun dalam skala kecil dan terhad. Meskipun kerajaan sudah melarang pembukaan bazar Ramadan sepanjang PKPB ini, namun kerajaan tetap punya budi bicara dengan membenarkan peniaga berjualan mengikut SOP.
Kita faham ada sesetengah peniaga yang mahu mencari pendapatan yang terjejas dek PKP ini, namun dalam mengimbangi antara ekonomi dan kesihatan, sifat tanggungjawab harus ada kepada setiap peniaga juga pelanggan yang datang membeli. Mungkin ada yang mengambil mudah perihal penjarakan sosial, pemakaian topeng, dan pembersihan tangan kerana berasakan kedai yang dikunjungi dekat dengan rumah. Namun, virus Corona tidak kenal jarak dekat atau jauh.
Kredit Foto: Google
Bersesak Memilih Ikan, Sayur
Kakak-kakak, mak cik-mak cik nampaknya semakin melupakan soal penjarakan sosial apabila sudah ternampak ikan-ikan segar, udang, ketam, sayur, buah-buahan ranum di depan mata! Bagaikan berada dalam perlumbaan, mereka tangkas berebut memilih barangan tersebut dalam keadaan kiri dan kanan berlanggar bahu dengan pelanggan lain. Walaupun topen melekap elok, namun mereka terlupa jarak 1meter yang perlu dipatuhi.
Inilah yang kita tidak mahu. Sia-sia sahaja kita beratur lama dan panjang di luar premis tadi untuk masuk ke dalam pasar raya, tiba-tiba apabila sudah berada di dalamnya, kita langgar semua yang ada hanya kerana berebutkan barangan yang diingini. Apalah sangat mahu dipilih ikan dan sayur itu kalau penyakit lain pula sedang menanti. Ini baru bulan puasa, nak dekat-dekat Raya nanti, tak tahulah bagaimana kalutnya?
Kredit Foto: Google
Kedai Kek dan Roti Pun Diserbu
Orang perempuan begitulah. Apabila semakin hampir Aidilfitri kita tidak mahu terlepas merasai suasana meriah itu. Membuat kuih dan biskut Raya antara yang menjadi rutin wajib sesetengah orang yang mahu menyemarakkan lagi mood Raya tersebut. Tidak dapat banyak, satu ke dua jenis kuih mesti diadakan, tidak kiralah dapat beraya seperti biasa atau hanya duduk di rumah. Raya tetap Raya, kuih raya tetap kena ada di meja.
Seorang kawan yang berniaga kuih raya memberitahu, sudah seminggu ini dia terpaksa beratur panjang di kedai kek dan roti untuk membeli barang-barang membuat biskut. Tidak pernah kedai kek dan roti menjadi tumpuan seperti itu. Tambahan pula, kebanyakan kedai ini saiznya kecil sahaja jadi, tidak ramai bilangan pelanggan dibenarkan masuk dalam satu-satu waktu itu. Maka, lamalah masa yang diambil untuk menunggu giliran.
Kredit Foto: Google
Shopping Baju Raya Lagi Parah
Dan, ini skuad paling dibimbangkan. Tular baru-baru ini apabila seorang warganet memuat naik video orang ramai berpusu-pusu masuk ke sebuah gedung pakaian terkenal di ibu kota. Kita bukan mahu berfikiran negatif tetapi jelas sekali di dalam video tersebut, ada yang tidak mengamalkan penjarakan sosial dengan ada yang bergesel bahu, berlanggar tangan. Masing-masing berebut-rebut mahu cepat sampai ke bahagian yang dituju.
Seorang teman di Bangi juga memberitahu terdapat beberapa butik di kawasan itu yang masih sesak seperti kebiasaan orang membuat persiapan Raya. Walaupun kebanyakan pengunjung mengamalkan pemakaian topeng, namun tidak untuk penjarakan sosial. Bayangkanlah kebanyakan butik pakaian, keluasannya tidak sebesar mana, dan pada kala orang sibuk memilih corak dan saiz baju, bagaimana untuk sentiasa ingat tentang SOP yang ditetapkan? Ini sangat logik.
Kredit Foto: Google
Bersediakah Kita Untuk Kluster Seterusnya?
Nauzubillahminzalik. Minta dijauhkan adanya pertambahan kes baru dan kematian pada hari-hari yang akan datang. Kita memang mendoakan yang baik-baik dan sentiasa berfikiran positif. Namun, itu sahaja tidak mencukupi jika kita tidak mengambil langkah pencegahan. Ayuh, rakyat Malaysia, jangan dek keghairahan yang sekejap, kita gadaikan seluruh keselamatan dan kesihatan sepanjang hayat kita. Bukan hanya kita, malah seluruh manusia sekeliling akan terkesan dek sikap tidak bertanggungjawab kita itu.
Pada kesempatan ini, saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus mengikut SOP yang ditetapkan. Jika tiada kepentingan untuk melakukan urusan di luar, maka janganlah keluar. Kelonggaran yang diberi bukan bermakna kita ‘wajib’ gunakan. Biarlah susah dahulu untuk kesenangan kemudian hari. Ingat, kita belum menang.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live