Highlights
Rebut Peluang Kahwin Masa PKPP, Inilah SOP Sebenar Majlis Yang Digalakkan – Sederhana, Buat Yang Wajib Saja.
Berikutan pengumuman PKPP yang kini dijalankan di Malaysia, kerajaan melonggarkan satu demi satu syarat rutin kehidupan rakyatnya. Terkini, hal kenduri termasuklah perkahwinan dibolehkan untuk dilakukan mulai 1 Julai dengan mengambil kira beberapa syarat yang harus dipatuhi oleh penganjur majlis dan para tetamu. Berikut antara syarat SOP yang mesti dipatuhi ketika mengendalikan majlis atau kenduri.
- Kapasiti tetamu yang dibenarkan mestilah tidak melebihi 250 orang, tertakhluk pada saiz ruang dan lokasi majlis diadakan. Jarak sosial harus diambil kira agar ruang tidak terlalu padat.
- Had masa kenduri sekitar tiga ke lima jam sahaja.
- Jamuan harus dibuat secara hidangan atas meja dan bufet adalah dilarang.
- Kaunter saringan mesti diwujudkan di depan pintu masuk untuk mengambil butir-butir tetamu, suhu dan memastikan setiap mereka benar-benar sihat. Pengelola majlis perlu mendaftarkan semua tetamu di apps MySejahtera.
Dan, lihat gambar rajah di bawah untuk peraturan SOP yang lebih terperinci:
Kredit Foto: Google
Inilah Majlis Kahwin Yang Terbaik
Inilah sebenarnya yang dianjurkan Islam dalam pengendalian majlis kahwin tepat. Ia bukanlah menyusahkan malah lebih memudahkan pasangan untuk menghalalkan hubungan dan membina masjid. Dengan menghadkan tetamu, maka secara tidak langsung mengurangkan pembaziran dari segi tempahan makanan dan ruang penyewaan meja kerusi, bingkisan hadiah dan sebagainya.
Hidangan di atas meja yang dianjurkan juga cara terbaik mengelakkan pembaziran makanan berbanding dilakukan secara bufet sebelum ini. Tetamu akan makan mengikut keperluan di samping ia lebih tertib dalam menyantuni tetamu dalam menjamu selera. Sebenarnya, inilah adat perkahwinan kita zaman dulu. Tetamu dilayan makannya terus di atas meja dan bukannya perlu beratur untuk sepinggan nasi.
Had masa yang limited juga dilihat sebagai sesuatu yang positif untuk mengenepikan perkara lagha dibuat secara tidak sedar. Ada orang yang menganjurkan majlis kahwin dari pagi sampai ke malam, ada yang berlarutan berhari-hari. Pastinya kos meningkat dan memuncak berkali ganda. Tidak hairanlah ada yang menempah dua, tiga buah pelamin. Berpasang-pasang baju dan kos-kos lainnya turut terpalit.
Kredit Foto: Afiza Kamarulzaman
Pasangan Boleh Simpan Duit Lepas Kahwin
Inilah yang sangat dimahukan apabila pasangan boleh menyimpan duit lebihan yang ada untuk keperluan lain selepas kahwin. Kalau dulu, pasangan yang mahu berkahwin hanya fikir duit untuk kelangsungan majlis sehingga ada yang terpaksa berhutang. Dengan cara nikah PKPP ini, banyak yang boleh dijimatkan oleh pasangan muda yang baru menjengah fasa hidup berumahtangga.
Jika sudah ada bajet yang sepatutnya dihabiskan untuk kenduri, bolehlah disalurkan untuk membeli rumah atau keperluan lainnya yang lebih mustahak kelak. Ditambah dengan struktur ekonomi dunia yang masih tidak stabil ini, sebijaknya wang yang ada disusun dengan baik mengikut keperluan dan bukan lagi kehendak seperti bermewah-mewah untuk majlis kahwin yang hanya untuk sehari dua itu.
Selamat pengantin baru!
Kredit Foto: Afiza Kamarulzaman