gaya hidup

Rendahkan Ego, Jalin Hubungan Baik Dengan Anak Walau Selepas Berpisah. Inilah Contoh Papa TERAGUNG.

gempak
Afiza Kamarulzaman
09/03/2021
13:42 MYT
Sponsor Banner
Rendahkan Ego, Jalin Hubungan Baik Dengan Anak Walau Selepas Berpisah. Inilah Contoh Papa TERAGUNG.
Kalau sudah takdirnya terpaksa bercerai, apa daya kita menolak takdir? Hatta, rumah tangga yang dibina sudah pun runtuh, sang suami dan isteri berpisah rumah, namun anak-anak jangan diheret sama dalam belenggu ini sehingga rasa kekurangan dalam hidup mereka.
Contohi sikap segelintir bapa selebriti seperti Sharnaaz Ahmad, Keith Foo, Norman Hakim, Fizo Omar dan ramai lagi bapa tunggal lainnya yang masih mengambil berat perihal anak dengan bekas isteri. Masalah dengan bekas isteri jangan dijadikan alasan untuk menjauhi anak.
Ya, selalunya mahkamah akan meletakkan hak penjagaan anak-anak kepada si ibu terutamanya anak-anak yang di bawah umur. Ini bukan bermaksud, si bapa terlepas daripada tanggungjawab menjaga kebajikan anak-anak ya.
Malah, seorang bapa tunggal yang baik seharusnya menggandakan lagi sikap kebertanggungjawaban itu sementelah anak-anak masih dalam proses membiasakan diri dengan situasi penceraian ibu dan ayah.
Kredit Foto: Google
Jangan ‘Miss’ Waktu Melawat Anak
Apabila mahkamah sudah menetapkan masa melawat atau hari-hari untuk bapa bersama anak, jangan sesekali gagal untuk memenuhi waktu keemasan itu. Rebut peluang yang terhad itu untuk bersama anak-anak walau dalam kesibukan dan kekangan masa yang mencemburui.
Tiada apa yang lebih bernilai daripada momen bersama anak-anak yang sedang membesar. Hanya kenangan itu yang akan kekal bersama mereka untuk meyakinkan bahawa ayah mereka ada bersamanya. Dan, ayah itu tidak berubah walau status suami kepada ibunya sudah berakhir.
Pastikan kamu bersedia apabial tiba giliran boleh bersama anak. Aturkan aktiviti berkualiti bersama anak agar setiap saat yang berlalu benar-benar dilalui dengan kenangan terindah buat si anak. Waktu ini juga saat terbaik ‘membeli jiwa’ anak.
Jangan lupa untuk bertanya khabar dan perkembangan barunya. Curi juga masa ini untuk mendidik dan berkongsi ilmu yang baik buat mereka terutamanya yang berkaitan didikan agama yang palingn utama untuk anak-anak.
Kredit Foto: Google
Ketepikan Perselisihan, Bina Hubungan Sihat Dengan Bekas Isteri
Antara punca bapa tidak mampu meneruskan hubungan harmoni dengan anak-anak adalah kerana tiadanya hubungan baik dengan bekas isteri. Apabila isteri mempunyai hak mutlak terhadap anak-anak, bapa jadi terpinggir dek perasaan dendam yang masih tersisi.
Si bapa pula bersikap tegas dan tidak mahu mengalah. Ego menguasai diri sehingga tidak mahu duduk berbincang dengan cara baik. Inilah natijahnya apabila anak-anak menjadi mangsa dan akhirnya tidak dapat menikmati kasih-sayang kedua belah pihak.
Walaupun mahkamah memberi masa dan hari tertentu untuk bapa bersama anak, namun tidak berjaya dipenuhi si bapa hanya kerana tidak mahu berdepan dengan si isteri. Ini bukan tanda kamu seorang bapa yang baik atau berprinsip. Sebaliknya, menggambarkan kamu seorang lelaki pengecut yang menidakkan amanah Tuhan.
Tiada salahnya untuk merendahkan sedikit ego dan mengalah jika itu yang terbaik. Usahlah kata, “kenapa dia tak nak mengalah?” Fahamilah hati seorang perempuan. Kerasnya umpama kerak nasi sahaja, kalau disimbah air lembutlah ia.
Kenang sejenak jasa dan budinya selama bergelar isterimu. Dalam dendam dan amarah itu, jangan tipu kalau tiada langsung kebaikan bekas isteri kepada kamu, apatah lagi jika dia sudah pun bertarung nyawa melahirkan zuriat keturunanmu. Itu saja sudah cukup berbaloi untuk kamu beralah demi hubungan sihat antara kalian sekeluarga.
Kredit Foto: Google
Penuhi Sebaiknya Nafkah Zahir Rohani Anak
Selalulah bertanyakan pekembangan dan keperluan anak-anak kepada isteri. Janhan hanya ambil dan hantar anak di depan pintu tanpa menegur sapa ibu kepada anak itu. Ringankan mulut untuk melahirkan rasa prihatin dan ambil tahu.
Usahlah banyak pertikaian atau mencari salah silap si isteri. Ada lelaki sengaja membangkitkan isu-isu kecil seperti hal anak yang lambat belajar atau kenapa anak asyik sakit? Sedangkan kamu sendiri tidak bersama anak sepanjang masa.
Daripada bertanyakan kenapa, lebih baik diutarakan bagaimana untuk menyelesaiakn sebarang masalah anak? Sama-samalah berusaha untuk menjaga kebajikan anak itu walaupun mungkin isteri sudah mempunyai suami baru.
Nilai tanggungjawab ini bukan untuk diihat oleh bekas isteri tetapi lebih kepada menjadi ikutan contoh terbaik kepada anak-anak kelak. Apabila dia lihat begini rupanya bapa aku, pasti nilai ini yang akan dibawa sehingga mereka besar nanti.
Semoga kebaikan yang ditunjukkan menjadi asbab kelancaran urusan hidupmu sendiri nanti. Buatlah baik sebanyak yang boleh apatah lagi kepada darah daging sendiri. Inilah hartamu yang akan dibawa dan dipersoalkan hingga di akhirat nanti. Semoga anak ini memimpinmu ke syurga Allah. Amin.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live