gaya hidup

Rindunya Nak Pergi Majlis KAHWIN – Makan Nasi Minyak, Bau Bunga Rampai, Tengok Mak Andam Menyolek

gempak
Afiza Kamarulzaman
23/08/2021
04:08 MYT
Sponsor Banner
Rindunya Nak Pergi Majlis KAHWIN – Makan Nasi Minyak, Bau Bunga Rampai, Tengok Mak Andam Menyolek
Apabila dengar lagu-lagu orang kahwin, serta-merta terbayang-bayang lauk kenduri nasi minyak, ayam masak merah dan acar rampai. Terbau-bau bunga rampai yang menjadi asas acara merenjis. Rindu nak jenguk bilik pengantin sambil curi-curi tengok mak andam sibuk mekapkan ratu sehari.
Kalau masa kecil, berebut-rebut nak duduk depan pelamin, nak tengok dekat-dekat muka wajah mempelai. Ada rezeki, dapatlah bunga telur yang dicucuk pada bunga pahar tu. Atau merasa direnjis air mawar oleh mak cik dan pak cik yang datang merenjis itu.
Namun, semua itu bagaikan tinggal kenangan dalam keadaan pandemik sekarang. Bukan hanya tidak dapat lagi menikmati semua aktiviti itu, malah untuk menghadiri majlis pun belum tentu berpeluang dek SOP yang ketat oleh kerajaan sekarang.
Bayangkanlah jika ibu bapa pengantin pun tidak lagi dapat menyaksikan secara dekat anak-anak mereka diakad nikah, inikan pula tetamu. Aktiviti-aktiviti tidak penting seperti makan kenduri, menepung tawar, berhimpun bersalaman, merewang, berjoget lambak dan sebagainya sudah terang-terang tidak dibenarkan.
Kredit Foto: Google
Semoga Ada Sinar di Hujung Terowong
Semua kita mengharapkan ada sinar baru dalam perjuangan kita memutuskan rantaian Covid-19 terutamanya apabila kerajaan semakin agresif memberi suntikan vaksin kepada semua rakyat yang berkelayakan.
Kita tidak minta banyak, janji boleh melalui kehidupan seperti dulu kala; sekurang-kurangnya boleh kembali keluar bekerja tanpa risaukan keselamatan diri dan keluarga. Dan, aktiviti sosial seperti kenduri dan majlis kahwin juga antara yang sangat dinantikan untuk kembali dimeriahkan.
Bukan apa, selain untuk mengeratkan silaturahim sesama keluarga dan saudara, majlis ini juga wajar dihidupkan semula untuk membantu sektor perniagaan dan pekerjaan terlibat seperti perancang perkahwinan, katering, jurusolek, butik pengantin dan sebagainya.
Dalam membantu meningkatkan semula sektor ekonomi, semua orang tidak boleh dicicirkan walau sekecil mana sumbangannya kepada negara. Setiap orang perlukan penghidupan dan ruang untuk terus meraih pendapatan sendiri.
Sama-samalah kita doakan Allah angkat wabak ini dan kerajaan diberi kemampuan untuk merencana dan melaksanankan plan pemulihan yang lebih baik dari masa ke semasa. Seluruh masyarakat juga diseru untuk sama-sama bekerjasama dalam memastikan kita mampu menang demi kehidupan yang lebih baik kelak.
Kredit Foto: Google
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live