gaya hidup
Saat Kita Beli Barang Dapur Yang Mahal-Mahal, Masak Sedap-Sedap – Jenguklah Saudara Kita Yang Mungkin Tinggal Beras Saja
Inilah realiti untuk kebanyakan rakyat marhain hari ini yang bergelut dengan cabaran hidup kala pandemik. Ada yang mungkin kata, “ala tak akanlah, setakat duit makan pun tak ada. Internet boleh pula bayar!” Janganlah begitu mudah membuat telahan atas kehidupan orang dengan mata kasar.
Memang susah untuk kita memahami kesukaran hidup orang lain jika kita sendiri tidak pernah melaluinya. Hakikatnya, masih ramai orang yang luaran nampak macam okey, pakai elok, berkereta lagi, tapi duit dalam poket pun hanya tinggal beberapa ringgit. Dengan anak dua, tiga orang yang masih kecil, mana mungkin cukup untuk bermewah?
Dalam keadaan pandemik ini, ramai yang sudah diberhentikan kerja serta-merta tanpa pampasan. Ada peniaga kecil yang terpaksa tutup kedai kerana sekatan untuk beroperasi. Aset? Bagaimana untuk dicairkan dalam waktu sebegini? Duit simpanan? Kalau sudah lebih setahun kita berkeadaan PKP begini, puluhan ribu pun boleh habis sekelip mata.
Bukan soal tidak pandai uruskan duit atau bernafsu besar tetapi ini realiti kesusahan hidup yang tiasa siapa mahu menempuhnya kalau diberi pilihan. Tak mungkin seseorang yang waras itu sanggup menghabiskan duit membeli telefon kalau nak beli barang dapur pun tak lepas?
Sangat mustahil untuk seorang ibu atau ayah itu lebih sanggup membeli baju daripada membelikan anaknya susu kalau duit yang ada cukup-cukup makan saja? Kita bukan bercakap soal mereka yang pura-pura susah tetapi mereka yang nak makan pun sudah tidak berduit. Mana tidaknya, setiap bulan duit yang ada akan didulukan untuk membayar bil tetap seperti air, api, sewa rumah, kereta. Lebih yang ada barulah dibuat belanja makan.
Kredit Foto: Google
Jangan Banyak Soal Kalau Ikhlas Memberi
Jadi, kalau kita masih dalam keadaan mampu membeli barang dapur beratus ringgit, makan lengkap penuh meja dan tidak pernah sekali berasa lapar, maka jenguk-jenguklahs saudara kita yang mungkin hanya makan untuk melapik perut. Ramai ibu tunggal, anak yatim, asnaf yang sangat memerlukan bantuan kita.
Ayuh, kita ubah sikap yang hanya fikirkan diri dan keluarga sendiri dengan mula berasa bersalah jika ada keluarga atau jiran kita yang kebuntuan mencari sumber kewangan hatta makanan seharian. Jika tidak mahu membantu dari segi duit kerana takut disalahgunakan, boleh bantu dari segi membeli barang dapur atau bayarkan bil api atau air mereka.
Tidak dapat banyak, sedikit pun memadai untuk meringankan beban yang dihadapi. Dengan cara ini juga, kita dapat menaikkan kembali semangat mereka untuk hidup lebih tenang dan bermotivasi kerana mereka tahu yang masih ada yang ambil berat dan berasa diri sanngat dihargai.
Allah berfirman dalam Surat An-Nisa, ayat 114, "Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar."